Skip to main content

Singapura

28 Jawatankuasa Eksekutif Kegiatan Melayu gabung tenaga agih 2,888 beg habuan

Anggaran Waktu Membaca:
28 Jawatankuasa Eksekutif Kegiatan Melayu gabung tenaga agih 2,888 beg habuan

Para pekerja pembersihan dan penghantaran makanan terima beg habuan di OTH. (Gambar: Persatuan Rakyat)

Diterbitkan : 23 Jan 2022 05:40PM

SINGAPURA: Para pekerja penghantaran dan pembersihan yang berada di Hab Tampines Kita (OTH) hari ini (23 Jan) tersenyum lebar.

Sekitar jam 10.00 pagi tadi, sekumpulan relawan berjalan mengelilingi OTH untuk mengagihkan beg habuan khusus buat dua golongan pekerja itu bagi menyemarakkan semangat ihsan dan keceriaan sempena Tahun Baru Cina.

Kesemuanya 188 beg diagihkan dan setiap satu mengandungi keperluan asas seperti pelitup muka, cecair pembasmi kuman, tisu basah antiseptik, biskut, oren dan kekacang.

Beg-beg itu juga direka khas dengan tema jahitan kain perca.

(Gambar-gambar: Persatuan Rakyat)

Menurut Majlis Penyelaras Kumpulan Kegiatan Melayu Persatuan Rakyat (PA MESRA) yang mengendalikan usaha di bawah projek dipanggil Perca-Perca ini, pemberian tersebut adalah satu tanda penghargaan kepada para pekerja pembersihan dan penghantaran makanan atas dedikasi luar biasa mereka di tengah-tengah keadaan pandemik sekarang.

Pengagihan sebegini akan terus dijalankan 28 Jawatankuasa Eksekutif Kegiatan Melayu (MAEC) merata Singapura, termasuk MAEC Tampines Central, yang ingin mengagihkan 2,888 beg habuan sepanjang tempoh antara 22 Januari hingga 6 Februari.

RAHAYU MAHZAM SERTAI BELIA GEMBLENG TENAGA DI OTH

Pengagihan di OTH hari ini (23 Jan) khususnya dijayakan 25 relawan - termasuk para belia dari Persatuan Muhammadiyah, Kumpulan NurIkhwan Politeknik Temasek, Kelana Purba dan PA MESRA.



Penasihat Belia PA Mesra, Rahayu Mahzam, turut turun padang untuk mengagihkan 188 beg habuan yang disiapkan sendiri oleh para relawan itu.

"MESRA selalu menganjurkan kegiatan dan acara semasa musim perayaan tetapi saya rasa hari ini khususnya istimewa kerana kita mendapat sokongan daripada pertubuhan lain," kata Cik Rahayu yang juga merupakan Setiausaha Parlimen Kesihatan merangkap Perhubungan dan Penerangan.



"Jadi ia satu peluang untuk kita membina usaha sedia ada. Ia dapat memperkukuh lagi peluang bagi kerjasama dan juga menunjukkan (kepada para belia) antara kerja-kerja yang perlu dilakukan untuk mendekati para anggota masyarakat dari pelbagai latar belakang yang berbeza," tambah beliau.

MESRA SETERUSNYA INGIN AGIH SELIMUT BAYI

Terdapat banyak lagi usaha dan program di bawah inisiatif Perca-Perca MESRA yang dilancarkan bagi meraikan ulang tahun ke-45 MAEC tahun ini.

Tema ulang tahunnya kali ini ialah "Memperkukuh Perpaduan, Menyatukan Masyarakat."

"Perca-perca melambangkan kasih sayang dan memberi kehangatan dan perlindungan buat keluarga dan orang-orang tersayang. Saya berharap pemberian kecil ini akan membuat mereka (pekerja penghantaran dan pembersihan) rasa dihargai ," kata Pengerusi Penganjuran Perca-Perca MESRA, Ramlee Kasiman.



Selepas pengagihan beg habuan yang dijalankan pada musim Tahun Baru Cina ini, MESRA ingin mengagihkan pula selimut bayi kepada keluarga-keluarga memerlukan.

Menariknya, selimut yang diagihkan itu akan dihasilkan dan disiapkan sendiri oleh para relawan.

Lebih 100 relawan dari pelbagai MAEC, pertubuhan-pertubuhan akar umbi dan masyarakat umum sudahpun tampil untuk membantu sejauh ini. Sebuah bengkel membuat selimut bayi juga akan dianjurkan pada Ahad depan (30 Jan).

Semua selimut yang disiapkan akan diagihkan sewaktu bulan Ramadan pada April nanti.

Sumber : BERITA Mediacorp/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita