Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

28 banduan terima diploma dalam bidang media

Kumpulan pertama seramai 28 banduan yang menjalani kursus media dengan Akademi Media Singapura (SMA), menerima sijil diploma dan diploma pakar mereka hari ini.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Kumpulan pertama seramai 28 banduan yang menjalani kursus media dengan Akademi Media Singapura (SMA), menerima sijil diploma dan diploma pakar mereka hari ini.

Sepanjang empat hingga lapan bulan, mereka mengikuti kursus itu di Hab Multimedia Penjara dalam bidang-bidang seperti pemasaran media sosial dan penerbitan filem.

(Gambar: Reben Kuning Singapura)

(Gambar: Reben Kuning Singapura)

Sejak November 2020, para banduan di Kompleks Penjara Changi gigih menjalani latihan dua kali seminggu bagi kursus yang dikendalikan SMA.

Mereka antara 13 banduan kohort pertama yang mengambil kursus Diploma Pengurusan dan Penerbitan Media - Penolong Pengarah.

Menerusi kursus itu, mereka didedahkan kepada selok-belok dunia penerbitan termasuk mengarah, penggunaan kamera dan pengurusan biaya yang dibahagikan kepada tujuh modul kesemuanya.

Setiap sesi berlangsung selama empat jam dan mereka lebih giat keluar ke lokasi-lokasi untuk membuat penggambaran yang terhad di sekitar kawasan Kompleks Penjara Changi sahaja.

DIPLOMA BERI PELUANG CAPAI IMPIAN DALAM DUNIA PENERBITAN

Antara yang mengikuti kursus itu ialah "Adam", bukan nama sebenar.

Sebelum ditahan atas penyalahgunaan dadah, pemuda berusia 31 tahun itu berpengalaman sebagai teknisyen audio visual bagi acara-acara hiburan.

Namun, dia tidak pernah menerima pendidikan atau latihan formal dalam bidang penerbitan.

Lantaran itu, apabila peluang itu ditawarkan kepadanya, dia terdorong untuk mengambilnya demi memperluaskan kemahirannya dalam bidang penerbitan bagi menyara keluarganya.

"Dorongan yang paling besar adalah bila rasa nak meningkatkan diri demi isteri dan anak saya. Program ini dia satu inisiatif yang baik kerana ia memberi pesalah seperti saya peluang untuk menjalani kursus dan meningkatkan diri dalam kemahiran media sambil menjalani hukuman penjara. Jadi saya dapat menggunakan masa ini dalam penjara dengan baik," kata "Adam".

(Gambar: Reben Kuning Singapura)

(Gambar: Reben Kuning Singapura)

Meski pada awalnya, "Adam" berasa kurang yakin, dia berjaya mengatasi perasaan itu apabila mula tertarik kepada kandungan kursus yang diikutinya.

"Apabila nak pergi kursus ini, saya sangat risau, rasa macam takut tapi apabila sudah menjalani kursus ini, saya rasa ia tidak mustahil untuk terus belajar," kata "Adam".

Dalam sesi wawancara menerusi Zoom, "Adam" berkongsi bahawa dia merupakan antara yang termuda dalam kelasnya manakala 'pelajar' paling berusia di dalam kelasnya adalah seorang banduan berusia 60 tahun.

"Modul yang paling saya minati ialah apabila mereka (pelatih) menerangkan kepada kami apakah itu penerbitan. Bagaimanakah operasi berjalan, latar belakang, siapa yang terlibat dan peranan dan tanggungjawab berbeza-beza. Oleh itu kami mempunyai projek sebagai satu kelas. Ia melibatkan semua (pelajar), semua mempunyai peranan untuk dimainkan," jelas "Adam".

Memandang ke hadapan, "Adam" berharap agar dia dapat diberi peluang untuk terlibat dalam penerbitan filem, suatu hari nanti.

"Diploma ini dapat membantu saya kerana saya berhasrat mencari pekerjaan dalam bidang ini apabila dibebaskan nanti. Saya harap ada majikan yang mahu beri pekerjaan kepada saya," kata "Adam".

INDUSTRI MEDIA, KEJURUTERAAN KETEPATAN DAN LOGISTIK BERPOTENSI TINGGI

Harapan "Adam" dan beberapa banduan lain untuk mendapat pekerjaan dalam sektor media kian cerah apabila mereka menerima sijil diploma masing-masing hari ini.

Majlis tamat pengajian secara online pada Rabu (6 Okt) turut menyaksikan penyampaian diploma kepada 15 banduan lain yang mengikuti program Diploma Pakar dalam Pemasaran Media Sosial dan Penerbitan Kandungan Online.

(Gambar: Reben Kuning Singapura)

(Gambar: Reben Kuning Singapura)

Acara itu turut disertai para majikan yang menyokong inisiatif 'TAP and Grow' Reben Kuning Singapura (YRSG) bagi membantu para banduan mempertingkatkan kemahiran dan mendapat peluang pekerjaan apabila mereka dibebaskan kelak.

Bahkan, YRSG berkata, sambutan yang diterima oleh para majikan setakat ini cukup memberangsangkan.

"Dalam sesi pelibatan majikan yang YRSG telah jalankan pada Mac lalu, kira-kira 15 majikan yang menawarkan pekerjaan dalam bidang media menghadiri sesi itu dan beberapa majikan juga telah luahkan minat dan hajat untuk memberi pekerjaan kepada bekas pesalah," kata Cik Nuristianah Amran, Penolong Sekutu Kanan di YRSG.

Dalam ucapannya di majlis itu, Menteri Negara Kanan, Kementerian Perhubungan dan Penerangan, Dr Janil Puthucheary berkata permintaan dalam sektor media menampakkan trend yang menggalakkan.

Justeru, kerjasama antara YRSG dan Mediacorp untuk menawarkan kursus media itu dianggap beliau sebagai 'tepat pada masanya'.

"Peranan kami di YRSG ini adalah untuk membantu bekas pesalah ini untuk mendapat pekerjaan dalam bidang media. Jadi kami akan bekerja dengan Mediacorp untuk mendapatkan sebarang peluang pekerjaan sedia ada untuk mereka. Kami akan meneroka industri-industri yang berpotensi dan boleh memberikan pekerjaan yang stabil dan tetap, pilihan kerjaya yang lebih baik untuk bekas pesalah," tambah Cik Nuristianah.

(Gambar: Reben Kuning Singapura)

(Gambar: Reben Kuning Singapura)

Selain kursus media, YRSG juga akan menawarkan kursus diploma dalam sektor-sektor berkembang lain seperti kejuruteraan ketepatan dan logistik.

Kursus dalam kejuruteraan ketepatan akan bermula pada bulan Oktober ini manakala kursus dalam bidang logistik akan bermula pada bulan November.

Dengan usaha-usaha yang dijalankan, YRSG berharap dapat melatih seramai 60 banduan setiap tahun.

"Apabila dibebaskan nanti, mereka dapat peluang mendalami kemahiran ini melalui program kemahiran SG United. Dengan laluan pekerjaan yang jelas ini, kami berharap mereka akan mempunyai motivasi untuk berjaya di dalam kerjaya mereka dan juga memupuk pembelajaran sepanjang hayat," jelas Cik Nuristianah.  

Sumber : BERITA Mediacorp/sy
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan