Skip to main content

Singapura

28,000 flat sewa dipasang alat pengesan asap secara percuma mulai pertengahan 2018

Sekitar 28,000 flat sewa sudah disenaraikan untuk dipasang alat pengesan asap secara percuma, menurut Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF).

Anggaran Waktu Membaca:
28,000 flat sewa dipasang alat pengesan asap secara percuma mulai pertengahan 2018

Gambar flat HDB. (Gambar: Hester Tan)

Diterbitkan : 03 Jan 2018 08:35AM Dikemas Kini : 03 Jan 2018 02:54PM

SINGAPURA: Sekitar 28,000 flat sewa sudah disenaraikan untuk dipasang alat pengesan asap secara percuma, menurut Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF).

Pemasangan pertama akan bermula pada pertengahan 2018 dan baki rumah yang akan dipasang dengan alat pengesan asap, yang dikenali sebagai Alat Penggera Kebakaran Rumah (HFAD), akan dilengkapi dengan alat tersebut dalam tempoh tiga tahun, menurut jurucakap SCDF kepada Mediacorp.

Pemerintah merancang untuk memasang HFAD di lebih 50,000 flat sewa menjelang 2021.

Jurucakap tersebut turut menambah bahawa jadual pemasangan di rumah-rumah sewa di beberapa kawasan sedang dilakarkan. Keluarga yang layak akan dimaklumkan tentang tarikh pemasangan alat berkenaan.

Bulan lalu, SCDF dan Kementerian Ehwal Dalam Negeri membuka tender bagi fasa pertama pemasangan HFAD di flat-flat sewa. Tender tersebut, yang ditutup pada Jumaat lalu (29 Dis), menerima 16 bidaan daripada syarikat-syarikat bagi kontrak setahun itu.

PENGESAN ASAP WAJIB PASANG DI SEMUA RUMAH BARU

Inisiatif ini menyusuli pengumuman Menteri Kedua Ehwal Dalam Negeri Josephine Teo mengenai rancangan pemerintah untuk mengemas kini Kod Kebakaran November lalu. Dengan itu, alat pengesan asap wajib dipasang di semua rumah baru bermula Jun tahun ini.

Bagi memastikan para penghuni flat sewa - yang biasanya bukan penghuni tetap - turut mendapat manfaat, SCDF, Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) dan Persatuan Rakyat (PA) akan memasang HFAD secara percuma di lebih 50,000 flat sewa secara bertahap-tahap.

Cik Joan Pereira memberitahu Mediacorp bahawa secara purata, sebanyak tiga hingga empat kebakaran berlaku setiap tahun di kawasan undinya di Henderson-Dawson antara 2015 hingga 2017.

"Meskipun ia bukan jumlah yang amat tinggi, ia masih membimbangkan saya kerana kebakaran boleh membawa maut. Saya secara khususnya bimbang mengenai warga emas yang tidak mempunyai kemahiran untuk menangani kebakaran," kata Anggota Parlimen GRC Tanjong Pagar itu.

"Yang penting adalah warga emas harus tahu bila untuk menggantikan HFAD atau bagaimana untuk meminta bantuan jika HFAD mereka rosak,” kata Cik Pereira.

Cik Pereira juga menanyakan siapakah yang bertanggungjawab atas penyenggaraan alat penggera tersebut di Parlimen Oktober lalu.

Beliau turut menambah: "Dengan itu, saya berharap pihak berkuasa boleh memaklumkan warga emas mengenai perkara ini semasa fasa pemasangan. Mesej dan maklumat ini boleh ditekankan lagi oleh pemimpin akar umbi saya dan saya sendiri semasa melakukan lawatan ke rumah, atau semasa program latihan yang dijalankan untuk penduduk kami."

Dr Lee Bee Wah, Anggota Parlimen GRC Nee Soon berkata sokongan masyarakat merupakan barisan pertama untuk memberikan respons semasa kecemasan.

"Saling menjaga antara satu sama lain, khususnya jika anda mempunyai jiran yang tua atau kanak-kanak, kerana mereka memerlukan bantuan dari semasa ke semasa."

Dr Lee menyingkap kebakaran yang berlaku tahun lalu di Nee Soon South.

"Saya amat berbesar hati dengan cara para penduduk saling bantu membantu antara satu sama lain," kata beliau.

"Semua penghuni berjaya dipindahkan ke tingkat bawah dengan selamat, meskipun ia berlaku pada tengah malam dan kebanyakan penduduk sudah tidur. Tetapi mereka membantu antara satu sama lain dan memindahkan mereka ke tingkat satu, sebelum bomba dan polis tiba." 

Sumber : CNA/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita