Skip to main content

Singapura

27,000 penonton semarakkan lagi ulang tahun ke-60 SG di Padang

Anggaran Waktu Membaca:
 27,000 penonton semarakkan lagi ulang tahun ke-60 SG di Padang

27,000 penonton semarakkan lagi ulang tahun ke-60 SG di Padang. (Gambar: Nazirah Jamzuri)

SINGAPURA: Sekitar 27,000 penonton menyemarakkan lagi sambutan ulang tahun Singapura yang terbesar di Padang hari ini.

Pelbagai segmen khas dan elemen istimewa diperkenalkan dalam Perbarisan Hari Kebangsaan kali ini sempena SG60.

Para pemimpin luar negara turut diundang bagi sama-sama meraikan ulang tahun Singapura yang ke-60.

Mereka adalah Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah, Presiden Indonesia Prabowo Subianto, Timbalan Perdana Menteri Malaysia Ahmad Zahid Hamidi dan Pemangku Sultan Johor Tunku Ismail.

‘Majulah Singapura’ bergema di Padang hari ini (9 Ogos), meraikan perjalanan 60 tahun pembangunan negara, dan menyeru rakyat Singapura terus membina masa depan bersama.

Related article image
Para penonton NDP 2025. (Gambar: Nazirah Jamzuri)

Tajuk Lagu Kebangsaan itu juga menjadi tema Perbarisan Hari Kebangsaan (NDP) yang cukup istimewa kali ini.

Buat pertama kalinya sempena SG60, para penyelam tentera laut dan Red Lions beraksi dalam segmen Terjunan Perpaduan.

Para penyelam tentera laut membuat terjunan dari ketinggian 6,000 kaki dan kemudian melakukan terjunan bebas sebelum membuka payung terjun untuk mendarat di kawasan perairan Marina Bay.

Dinanti-nantikan ramai - terjun keluar dari pesawat Hercules C-130 RSAF pada ketinggian 10,000 kaki ialah pasukan Red Lions.

Membentuk formasi, melaksanakan gerakan 'bomb burst' kegemaran penonton dan mendarat secara bergilir-gilir di Padang.

Selepas terjunan, kedua-dua pasukan memberikan tabik hormat serentak di kedua-dua lokasi iaitu Padang dan Marina Bay.

Keistimewaan sebegini sempena SG60 di NDP membuatkan para penonton lebih rasa teruja.

Related article image
Cik Nur Hanizah (kiri) bersama rakannya. (Gambar: Nazirah Jamzuri)
Antaranya ialah Cik Nur Hanizah Ahmad, 37 tahun, yang datang bersama rakannya.

“Hari ini hari jadi Singapura, jadi saya rasa berbangga untuk menyambutnya dengan seluruh rakyat Singapura di sini,” kongsi Cik Hanizah kepada wartawan Nazirah Jamzuri.
 
Related article image
Encik Hamran bersama anaknya. (Gambar: Nazirah Jamzuri)

Encik Muhammad Hamran Zakaria, 33 tahun pula datang bersama keluarga khas buat SG60.

“Saya datang ke Padang hari ini untuk menyaksikan NDP kerana ini adalah SG60 dan saya rasa ini adalah acara yang sangat istimewa. Dan saya berasa untung kerana mendapat tiket dan dapat membawa anak saya ke sini,” kongsi Encik Hamran.

Bagi Cik Zainap Onan pula, meskipun ini bukan kali pertama menyaksikan NDP secara langsung, namun ia cukup istimewa memandangkan ini merupakan tahun meraikan SG60.

“Saya gembira betul dan gembira hati. Sangat-sangat teruja. Saya sudah siap awal untuk datang ke sini,” kongsi Cik Zainap, 71 tahun.

Seorang lagi penonton juga berkongsi keghairahan dapat menyaksikan NDP di Padang kali ini.

“Saya datang sini dengan isteri saya kerana saya ingin menyokong abang saya daripada Kontinjen Persatuan Rakyat di Padang,” kongsi Encik Mohamed Tajuddin, 32 tahun.

SCDF SERTAI KONTINJEN KAWALAN KEHORMATAN BUAT PERTAMA KALI

Persembahan pancaragam gabungan beruniform membuka tirai segmen acara perbarisan dan istiadat.

Perbarisan tahun ini dipimpin Komander Perbarisan, Leftenan Kolonel Firdaus Ghazali.

Buat julung-julung kalinya dalam sejarah NDP, Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) menyertai Kontinjen Kawalan Kehormatan berbaris bersama angkatan tentera dan polis, memaparkan perpaduan dan pertahanan mutlak Singapura.

SEGMEN PERBARISAN & ISTIADAT TAMPIL 40 KONTINJEN BERBARIS, TERBESAR SEJAK 1990
 

Related article image
Lebih 2,100 peserta membentuk 40 kontinjen berbaris. (Gambar: Nazirah Jamzuri)

Kali ini, lebih 2,100 peserta membentuk 40 kontinjen berbaris termasuk 18 daripada kumpulan sosial dan ekonomi dan 10 kontinjen daripada pertubuhan belia berseragam, menjadikan bilangan kontinjen paling banyak di Padang sejak 1990.

NDP 2025 DISERTAI KEHADIRAN PEMIMPIN DARI NEGARA JIRAN

Kemunculan para anggota parlimen dan menteri kabinet disambut penuh meriah oleh para penonton.
Istimewanya sempena SG60, NDP kali ini turut diserikan lagi dengan kehadiran para pemimpin dari negara-negara jiran.

Penonton di Padang terus memberikan tepukan gemuruh, menyambut ketibaan Perdana Menteri Lawrence Wong dan sorakan untuk Presiden Tharman Shanmugaratnam.

Semangat patriotisme jelas dirasakan dengan lantunan suara penonton menyanyikan Lagu Kebangsaan sedang Bendera Negara dibawa terbang lalu.

Related article image
Bendera Negara dibawa terbang lalu. (Gambar: Nazirah Jamzuri)

Kemudian, Presiden Tharman memeriksa kontinjen Kawalan Kehormatan, disempurnakan dengan Tembak Hormat Kepresidenan meriam 21 das, serta tembakan 'feu de joie'.

Di udara pula, enam jet pejuang F-15SG diketuai Leftenan Kolonel Muhammad Iskandar laksanakan gerakan letupan bom.

Diikuti dengan empat jet pejuang F-16 yang terbang dalam formasi 'diamond', meraikan 'jubli intan' sempena ulang tahun ke-60 Singapura.

KONTINJEN KENDERAAN KEMBALI KE PADANG UNTUK SG60

Khas sempena SG60 juga, Kontinjen Kenderaan kembali dalam format yang baharu - menyepadukan aset-aset ketenteraan, Home Team dan Penguasa Kelautan dan Pelabuhan Singapura (MPA) di udara, darat dan laut.

Lintas terbang pesawat di ruang udara Padang, perarakan dinamik kenderaan sepanjang St Andrew's Road dan pertunjukan aset-aset maritim di Marina Bay.

Related article image
Perarakan kenderaan NDP semasa acara Hari Kebangsaan di Padang pada 9 Ogos 2025. (Gambar: CNA/Ili Mansor)

Sebanyak 170 aset dipamerkan dan dijayakan lebih 800 peserta dan kakitangan sokongan.

Segmen itu turut memberi penghormatan kepada pegawai-pegawai veteran yang telah berkhidmat untuk negara serta menurunkan ilmu dan kemahiran kepada generasi seterusnya.

SEGMEN PERSEMBAHAN TAMPIL 39 ARTIS & LEBIH 3,000 PESERTA

Gabungan yang lama dengan yang baharu turut disaksikan dalam segmen Persembahan.

Gandingan penyanyi Kit Chan dan Charlie Lim mendendangkan lagu tema NDP tahun ini, 'Here We Are'.

Seterusnya, penyanyi legenda Ramli Sarip menghiburkan penonton dengan penyanyi rap, Abangsapau.

Related article image
Segmen Persembahan NDP 2025. (Gambar: Nazirah Jamzuri)

Segmen persembahan kali ini menampilkan 39 artis dan lebih 3,000 peserta.

Ini termasuk bakat-bakat muda seperti Heema Izzati yang membuat persembahan khas bersama para penari Maya Dance Theatre.

Lebih menarik lagi, kemunculan penyanyi Dick Lee yang masuk ke pentas utama menaiki belon udara.

Semangat yang menyatukan rakyat Singapura jelas terpancar menerusi persembahan lagu ‘Not Alone’ yang disampaikan secara serentak oleh Benjamin Kheng dari pentas terapung bergerak di Marina Bay dan biduanita, Rahimah Rahim, yang mengalunkan suara dari pentas utama Padang.

NDP kali ini juga memberi penghormatan kepada pelbagai generasi rakyat Singapura antara lain Nuryanee Anisah dan datuknya Abdullah Jaffar.

Para penonton di sini juga dapat turut serta menjadi sebahagian daripada persembahan malam ini.

Menggunakan 'thunder stick', mereka boleh bertepuk mengikut rentak persembahan dram yang dilakukan serentak di dua lokasi iaitu di pentas utama Padang dan di Marina Bay.

Ini membangkitkan lagi kemeriahan suasana di Padang pada malam ini.
Para penonton juga sama-sama menyanyikan lagu-lagu hari kebangsaan kegemaran ramai bagi meraikan ulang tahun negara ke-60.

PENONTON DIHIBURKAN DENGAN PERTUNJUKAN BUNGA API

Related article image
Pertunjukan bunga api. (Gambar: Nazirah Jamzuri)
Dan pastinya segmen yang paling dinanti-nantikan iaitu pertunjukan bunga api.

Sambutan malam ini sampai ke kemuncaknya dengan Detik Majulah di mana semua penduduk Singapura diajak untuk melafazkan Ikrar Negara dan nyanyian Lagu Kebangsaan bersama-sama.
Sumber : BERITA Mediacorp/nj
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita