27 suspek ditahan terbabit sindiket bawa masuk warga asing guna pas kerja haram
Peranti elektronik dirampas dalam operasi penguatkuasaan terhadap sindiket yang menyeludup pekerja asing menerusi pas kerja haram. (Gambar: MOM)
Seramai 27 orang yang didakwa terbabit dengan sindiket itu telah ditahan semasa operasi serbuan selama dua hari di merata negeri yang berakhir pada Rabu (17 Mei). Mereka dituduh membawa masuk 290 pekerja hijrahan dengan cara menipu.
Cara sindiket itu bertindak ialah dengan membuat sumbangan CPF kepada rakyat Singapura untuk menambah kuota menggajikan pekerja penghijrahan dengan cara menipu bagi syarikat yang biasanya hanya wujud di atas kertas, tanpa pekerja sepenuh masa dan tiada pejabat atau 'shell company', kata MOM dalam satu kenyataan media pada Sabtu (20 Mei).
“Rakyat Singapura ini, atau ‘phantom workers’, tidak diambil bekerja oleh syarikat-syarikat ini,” kata MOM.
“Berdasarkan kuota yang ditambah itu, syarikat akan memohon pas kerja untuk warga asing melalui pengisytiharan palsu. Warga asing ini kemudiannya akan masuk dan tinggal di Singapura menggunakan pas kerja yang diperoleh secara haram ini.”
Jumlah permit kerja dan pemegang Pas S yang boleh diambil oleh syarikat dihadkan kepada kuota yang berbeza-beza bagi setiap sektor.
Serbuan yang dijalankan MOM itu meliputi 19 lokasi, termasuk gerai makan, rumah dan pejabat milik suspek.
Rekod pembayaran dan 80 peranti digital seperti komputer riba dan telefon bimbit dirampas dalam operasi penguatkuasaan itu.
Siasatan terhadap suspek masih diteruskan, kata MOM.
Membuat pengisytiharan palsu bagi permohonan pas kerja adalah satu kesalahan serius, kata kementerian itu.
Jika sabit kesalahan, pesalah boleh didenda sehingga S$20,000, penjara sehingga dua tahun, atau kedua-duanya sekali.
Majikan yang ingkar juga akan digantung keistimewaan pas kerja mereka. Pemohon pas kerja juga boleh didakwa dan dilarang selama-lamanya daripada bekerja di Singapura.
Majikan yang mengambil pekerja asing tanpa pas kerja yang sah berdepan denda sehingga S$30,000, penjara sehingga 12 bulan, atau kedua-duanya sekali, bagi setiap tuduhan.
Mereka juga akan dilarang daripada menggaji warga asing.
Warga asing yang bekerja tanpa pas kerja yang sah berdepan denda sehingga S$20,000, penjara tidak lebih dua tahun, atau kedua-duanya sekali.
Apabila disabitkan kesalahan, mereka akan dilarang bekerja di Singapura buat selama-lamanya.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.