27 pemimpin industri dilantik sebagai penasihat rangkaian profesional MENDAKI
Pelantikan itu menurut MENDAKI, dilakukan demi memperkukuh ekosistem profesional Melayu/Muslim dan memperluas barisan pemimpin masyarakat yang memberi bimbingan dan pengetahuan kepada karyawan muda dalam sektor rangkaian masing-masing secara sukarela.
Para penasihat yang dilantik akan menggalas peranan secara rasmi mulai 1 Januari 2026 hingga 31 Disember 2027.
Menurut MENDAKI, para pemimpin industri yang dilantik mempunyai kepakaran dan pengalaman luas dalam pelbagai sektor, sekali gus menyumbang kepada usaha memupuk bakat dalam kalangan rangkaian karyawan MENDAKI.
Dalam satu majlis makan malam bersama para penasihat pada Rabu (22 Okt), seramai 13 daripada 27 anggota panel penasihat itu hadir untuk menerima surat pelantikan daripada Pengerusi MENDAKI, Zaqy Mohamad.
Majlis itu turut dihadiri ketua dan penolong ketua dari 13 rangkaian profesional di bawah naungan MENDAKI.
Majlis itu turut dihadiri ketua dan penolong ketua dari 13 rangkaian profesional di bawah naungan MENDAKI.
Encik Zaqy yang juga merupakan Menteri Negara Kanan Pertahanan merangkap Kemampanan dan Sekitaran berkata: "Kita boleh menjalankan program, memberikan dana untuk mereka jalankan sesi rangkaian. Mereka juga boleh membawa kapital industri lain untuk membantu juga. Ia penting untuk membawa para pemimpin industri dari sektor swasta, pemerintah kerana mereka sudah lebih senior. Mereka boleh membawa pengalaman, rangkaian dan juga peluang."
"Kita juga memahami akan bagaimana kita menjalankan program ini, di mana ada penasihat yang berkecimpung dalam bidang tertentu, memberi pementoran kepada karyawan kita dan mereka menyumbang kembali kepada belia kita dan mereka yang ingin mendapat nasihat dan dorongan. Kita juga mahu melihat masyarakat Melayu kita berkembang, bukan sahaja di peringkat sekolah tetapi juga mahu melihat lebih ramai pemimpin yang dapat menguasai industri di Singapura. Kita mahu membawa tenaga, karyawan kita di Singapura, untuk membawa masyarakat ke hadapan," tambah beliau lagi.
27 ANGGOTA PANEL PENASIHAT RANGKAIAN PROFESIONAL MENDAKI DILANTIK
Rangkaian Profesional MENDAKI, yang dilancarkan pada 2022, kini merangkumi lebih 1,000 profesional daripada 13 sektor pertumbuhan termasuk penerbangan, perbankan dan kewangan, kejuruteraan serta penjagaan kesihatan.
Sejak penubuhannya, para profesional telah menjalankan lebih 60 sesi lawatan pembelajaran dan sesi jalinan untuk menyokong golongan belia, pencari kerja pertengahan kerjaya serta rakan profesional lain.
Antara para pemimpin industri yang dilantik sebagai anggota panel penasihat rangkaian profesional MENDAKI adalah Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif syarikat teknologi, Rekanext VC, Wahab Yusoff.
Encik Wahab berkata: "Bidang teknologi satu bidang yang kompleks. Peranan mentor ini amat penting untuk memberi konteks yang tepat untuk membantu anak-anak muda kita mengemudi kerjaya yang berjaya dan memberikan konteks yang relevan. Ia penting untuk mendapat pengalaman mentor ini."
Bagi sektor kesihatan pula, Ketua Pegawai Eksekutif, Specialist Care Group dan Pengarah Eksekutif, IAPPS Health Group, Profesor Madya Abdul Razakjr Omar, dilantik sebagai salah seorang penasihat panel itu.
Beliau yang sudah mempunyai pengalaman selama 30 tahun dalam bidang itu berkata: " Cabarannya ada, sangat mendalam tetapi dengan usaha lebih kuat, kita boleh mengatasi cabarannya. Peluang pun ada. Saya berharap pada masa depan, lebih ramai anak Melayu yang melangkah ke bidang penjagaan kesihatan dan dengan peluang, mereka akan boleh berjaya."
"Sejak MENDAKI ditubuhkan, dapat kita lihat kemajuan untuk orang Melayu/Islam Singapura. Struktur di MENDAKI itu dapat membuat kejayaan sekarang. Kita boleh menjadikannya lebih baik, berinovasi, dan boleh kita lihat kemajuan di bidang penjagaan kesihatan," tambah Dr Abdul Razakjr.
Senarai para penasihat untuk setiap rangkaian profesional MENDAKI:
1. Penerbangan
Musdalifa Abdullah, Ketua Pegawai Eksekutif, Ground Team Red
Sharael Taha, Anggota Parlimen, GRC Pasir Ris–Changi
Zakir Hamid, Ketua Wilayah (APAC), Airbus
2. Perbankan & Kewangan
Saktiandi Supaat, Anggota Parlimen, GRC Bishan–Toa Payoh
Shariq Barmaky, Rakan Urus Negara, Deloitte Singapura
3. Pembangunan Awal Kanak-Kanak
Rahayu Buang, Pengarah, Sokongan Antara Generasi & Penjaga Awam, Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga
4. Kejuruteraan
Sharael Taha, Anggota Parlimen, GRC Pasir Ris–Changi
A/P Aziz Amirali Merchant, Naib Presiden Eksekutif, Seatrium Limited
Azmoon Ahmad, Pengarah Urusan, Mutiara LLC
Shahrin Abdol Salam, Mantan Ketua Pegawai Eksekutif, SingPost
5. Penjagaan Kesihatan
A/P Abdul Razakjr Omar, Ketua Pegawai Eksekutif, Specialist Care Group; Pengarah Eksekutif, IAPPS Health Group
Dr Syed Harun Alhabsyi, Setiausaha Parlimen Kanan, Kementerian Pendidikan & Kementerian Pembangunan Negara
6. Sumber Manusia
Aslam Sardar, Ketua Pegawai Eksekutif, Institut bagi Karyawan Sumber Manusia
Ishak Ismail, Pesuruhjaya Tinggi Bukan Pemastautin (Pakistan), Kementerian Ehwal Luar
7. Perundangan
Hamidul Haq, Rakan Kongsi, Litigasi Komersial, Rajah & Tann Singapore LLP
Rahayu Mahzam, Menteri Negara, Kementerian Pembangunan Digital dan Maklumat & Kementerian Kesihatan
Zhulkarnain Abdul Rahim, Anggota Parlimen, GRC Choa Chu Kang
8. Sains Hayat
Dr Abdullahi Sheriff, Pengarah Urusan, MSD Singapura, Malaysia & Brunei
Prof Jackie Yi-Ru Ying, Pengarah Eksekutif, Institut Biokejuruteraan dan Nanoteknologi
9. Media & Kreatif
Adam Abdur Rahman, Pengarah Urusan, Ketua Komunikasi Asia Selatan, Citi
Hazlina Abdul Halim, Anggota Parlimen, GRC East Coast
10. Sektor Awam
Aaron Maniam, Pengarah, Pendidikan Transformasi Digital, Universiti Oxford
Anwar Abdullah, Ketua Pegawai Eksekutif, Polytron.AI
11. Kerja Sosial
Fareez Fahmy, Ketua Pegawai Eksekutif, Allkin Singapura
Nadia Ahmad Samdin, Anggota Parlimen, GRC Ang Mo Kio
12. Kemampanan
A/P Aziz Amirali Merchant, Naib Presiden Eksekutif, Seatrium Limited
Abu Bakar Mohd Noor, Pengerusi, M Kapital Holdings Pte Ltd
13. Teknologi
Azmoon Ahmad, Pengarah Urusan, Mutiara LLC
Mariam Jaafar, Anggota Parlimen, GRC Sembawang
Wahab Yusoff, Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif, Rekanext VC
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.