261 ditahan dalam operasi bilang agensi diketuai Divisyen Polis Bedok
Polis menahan 214 lelaki dan 47 wanita, berusia antara 16 tahun dengan 76 tahun, atas pelbagai kesalahan semasa operasi berbilang agensi selama tujuh hari dari 24 hingga 29 Jun dan 1 Julai 2019.
(Gambar hiasan: Mediacorp)
SINGAPURA: Polis menahan 214 lelaki dan 47 wanita, berusia antara 16 tahun dengan 76 tahun, atas pelbagai kesalahan semasa operasi berbilang agensi selama tujuh hari dari 24 hingga 29 Jun dan 1 Julai 2019. Demikian menurut Pasukan Polis Singapura (SPF) dalam satu kenyataan pada Rabu (3 Jul).
Operasi itu dipimpin Divisyen Polis Bedok dan disokong para pegawai Biro Narkotik Pusat (CNB), Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA), Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF), Penguasa Sains Kesihatan (HSA), Kastam Singapura dan Kementerian Tenaga Manusia. Ia meliputi beberapa kawasan seperti Pasir Ris, Tampines, Chai Chee, Bedok, East Coast, Joo Chiat, Eunos Crescent, Mountbatten dan Geylang.
Semasa operasi tersebut 75 lelaki dan empat wanita, berusia antara 16 tahun dengan 76 tahun ditahan atas pelbagai kesalahan di bawah Akta Rumah Judi Terbuka, Akta Pertubuhan, Akta Penyalahgunaan Dadah dan Akta Kastam.
Sebanyak 1,157 paket rokok tidak dibayar cukai disita. Jumlah keseluruhan cukai dan GST yang dielakkan masing-masing sebanyak S$10,080 dan S$740. 8,999 pil dan 47 botol ubat batuk bernilai sekitar S$13,000 dirampas.
Para pegawai juga melakukan serbuan dan pemeriksaan penguatkuasaan di beberapa cawangan hiburan awam dan kedai urut. Lapan cawangan hiburan dan rumah urut didapati tidak mempunyai lesen yang sah.
Dalam pada itu, 104 lelaki dan 26 wanita, berusia antara 18 hingga 68 tahun, diberkas kerana disyaki terlibat dalam kegiatan penipuan pinjaman dan tailong. Antara mereka, 48 lelaki dan 13 wanita, ditahan atas kesalahan Akta Pemiutang Wang.
10 lelaki dan empat wanita berusia 19 hingga 64 tahun pula ditangkap atas kesalahan berkaitan penipuan.
Lagi 25 lelaki dan 13 wanita ditahan kerana disyaki terlibat dalam kesalahan berkaitan penipuan dan pengubahan wang haram bernilai lebih S$1.9 juta.
Siasatan terhadap semua suspek masih lagi dijalankan.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.