Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

26 masjid mula satu sesi solat Jumaat tanpa jemaah perlu tempah slot

Anggaran Waktu Membaca:
26 masjid mula satu sesi solat Jumaat tanpa jemaah perlu tempah slot

Gambar: Rosli A Razak

SINGAPURA: Sebanyak 26 masjid tidak lagi memerlukan jemaah menempah slot solat Jumaat bermula minggu ini.

Ini termasuk Masjid Jamiyah Ar-Rabitah yang juga merupakan antara 40 masjid yang kembali menawarkan satu sesi pada 5 Ogos.

Pihak masjid tersebut menyatakan, kelonggaran itu membolehkannya memanfaatkan tenaga kerjanya dengan lebih baik.

Apabila sistem tempahan slot solat diperkenalkan, Encik Husin Abdul Wahab terpaksa mendapatkan bantuan pihak masjid Jamiyah Ar-Rabitah untuk menempah slot jika ingin solat di masjid.
"Sedih sikit kerana harus buat tempahan. Kalau tidak tempah, tidak boleh datang kan? Jadi macam seolah-olah terhalang hendak pergi sembahyang," ujar Encik Husin Abdul Wahab, 84 tahun.

Ramai jemaah lanjut usia yang tinggal di sekitar kawasan masjid Jamiyah Ar-Rabitah di Tiong Bahru memerlukan bantuan serupa.

"Telefon bimbit pun tidak tahu guna. Minta tolong siapa boleh tolong, tolong," kata Encik Bidin Salim, 83 tahun.

Bukan warga emas sahaja yang menarik nafas lega selepas tempahan slot dimansuhkan di masjid Jamiyah Ar-Rabitah mulai Jumaat (5 Ogos).

Jemaah lain turut mengalu-alukan langkah menawarkan semula satu sesi di 40 masjid, termasuk Masjid Jamiyah Ar-Rabitah.

"Kapasiti di masjid ini pun besar, bukan kecil. Kadang-kadang sesi pertama masih ada lagi ruang. Sesi kedua pun tidak ramai sangat, ujar seorang jemaah masjid berkenaan, Encik Hanis Abdul Hamid.
"Saya gembira tidak payah buat tempahan, jadi senang kita datang ke masjid, sebab selalu kalau sesi pertama tidak boleh ditempah, dan tidak boleh pergi sesi kedua kerana ada hal-hal sekolah macam CCA." ujar seorang jemaah, Encik Muhamed Kahirulnizam.

Pihak Masjid Jamiyah Ar-Rabitah di Tiong Bahru menyatakan jumlah tempahan yang diterima bagi sesi pertama slot solat Jumaat merosot kepada sekitar 500 hingga 600 orang sejak beberapa bulan lalu meskipun 1,100 slot disediakan.

Jumlah yang hadir bagi sesi kedua pula antara 100 dengan 200 jemaah sahaja.

Menurut MUIS keputusan memperhalusi pengaturan solat Jumaat membolehkan masjid-masjid memanfaatkan sepenuhnya sumber-sumber.

Pihak pengurusan masjid itu menyatakan ia beruntung kerana mempunyai tenaga relawan yang ramai untuk membantunya melaksanakan pelbagai langkah pengurusan selamat.
"Ada kalangan relawan masjid Jamiyah Ar-Rabitah juga adalah pemandu Grab juga. Jadi mereka datang awal untuk bantu selama COVID-19 melanda. Mereka memberi komitmen mereka itu yang sangat kami syukuri," kata Pengerusi Eksekutif
Masjid Jamiyah Ar-Rabitah, Muhammad Khaiul Jameel Yahya.

"Kami merasakan tenaga relawan itu sangat diperlukan di masjid kerana masjid mempunyai banyak aktiviti dan program. Namun kita lihat waktu solat Jumaat ini kita dapat kurangkan. Mudah-mudahan ada warga kerja yang dapat memberi tumpuan kepada aktiviti lainnya," ujar beliau.

Tambahnya, kelonggaran terbaru ini membolehkannya memanfaatkan tenaga kerjanya dengan lebih baik.

Misalnya, hanya 15 pegawai dan relawan yang bertugas sewaktu sesi solat Jumaat pada 5 Ogos berbanding 30 orang sebelum ini.

27 masjid akan terus menjalankan solat Jumaat dalam dua sesi, dengan tempahan diperlukan untuk sesi pertama.
Sumber : BERITA Mediacorp/RR/fa

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan

Aa