26 ditangkap tunggang e-skuter, basikal elektrik tanpa sijil lulus ujian teori wajib: LTA
Seramai 26 orang ditahan sejak permulaan tahun ini, kerana menunggang e-skuter atau basikal elektrik tanpa lulus ujian teori wajib terlebih dahulu, menurut Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) pada Jumaat (7 Jan).

(Gambar: LTA)
SINGAPURA: Seramai 26 orang ditahan sejak permulaan tahun ini, kerana menunggang e-skuter atau basikal elektrik tanpa lulus ujian teori wajib terlebih dahulu, menurut Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) pada Jumaat (7 Jan).
20 daripada mereka merupakan pengguna basikal bermotor - atau PAB atau basikal menggunakan kuasa elektrik - dengan sesetengahnya didapati menunggang di laluan pejalan kaki, yang dilarang.
LTA memberikan kemas kini itu dalam satu catatan Facebook. Menurutnya pegawai penguatkuasaan mobiliti aktif mula menguatkuasakan peraturan baru tersebut yang berkuat kuasa pada 1 Jan lalu.
LTA menyatakan pada tahun lalu bahawa peraturan itu bertujuan "meningkatkan kesedaran mengenai peraturan mobiliti aktif, kod tingkah laku dan amalan menunggang selamat, demi menyokong landskap mobiliti aktif yang selamat dan mampan".
Ujian itu pertama kali ditawarkan pada 30 Jun tahun lalu, dengan penunggang diberi tempoh enam bulan untuk menjalani ujian itu sebelum penguatkuasaan bermula.
Ujian e-basikal itu meliputi 40 soalan pelbagai pilihan (MCQ) yang perlu diselesaikan dalam masa 40 minit sementara ujian e-skuter mempunyai 30 soalan MCQ yang perlu dijawab dalam masa 30 minit.
Calon ujian mesti mendapat keputusan sekurang-kurangnya 80 peratus dalam ujian itu, di mana mereka akan menerima sijil digital tanpa tarikh luput.
"Adalah satu kesalahan untuk menunggang skuter elektrik atau PAB di laluan awam jika anda belum lulus ujian ini," menurut LTA pada Jumaat.
Ia menambah bahawa mereka yang ditangkap berbuat demikian boleh didenda sehingga S$2,000 atau dihukum penjara selama enam bulan atau kedua-duanya bagi kesalahan pertama.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.