Skip to main content

Singapura

255 firma dikaitkan dengan infrastruktur kritikal SG didakwa sasaran kebocoran data laman web gelap

Dokumen-dokumen yang dibocorkan ke dalam laman web gelap (dark web) pada tahun lalu mendakwa 255 pertubuhan Singapura yang dikaitkan dengan infrastruktur maklumat penting negara ini (CII) dicerobohi sebagai sebahagian daripada operasi siber sulit.
Anggaran Waktu Membaca:
255 firma dikaitkan dengan infrastruktur kritikal SG didakwa sasaran kebocoran data laman web gelap

Sebanyak 12,000 dokumen dibocorkan oleh kumpulan yang didakwa menjalankan operasi penggodaman semasa beroperasi secara terbuka sebagai firma keselamatan siber. (Gambar: iStock)

Diterbitkan : 27 Feb 2026 09:17PM
SINGAPURA: Dokumen-dokumen yang dibocorkan ke dalam laman web gelap (dark web) pada tahun lalu mendakwa 255 pertubuhan Singapura yang dikaitkan dengan infrastruktur maklumat penting negara ini (CII) dicerobohi sebagai sebahagian daripada operasi siber sulit.

Sebanyak 12,000 dokumen dibocorkan sebuah kumpulan yang dipercayai melakukan operasi penggodaman walaupun ia beroperasi secara terbuka sebagai sebuah firma keselamatan siber.

Mediacorp tidak mendedahkan nama kumpulan itu atas sebab keselamatan.

Salah satu dokumen itu menyenaraikan beberapa negara yang menjadi tumpuan, termasuk Singapura.

Fail itu mendakwa firma-firma berkaitan dengan sektor utama CII seperti telekomunikasi, tenaga dan kewangan terjejas.

Bahagian keselamatan siber gergasi teknologi Google sebelum ini menyatakan terdapat tanda-tanda bahawa sebuah kumpulan yang disokong pemerintah mungkin terbabit.

"Kami melihat beberapa petikan yang menyebut Singapura sebagai salah satu kawasan sasaran yang diarahkan oleh pelanggan syarikat swasta itu untuk tujuan pengumpulan maklumat," kata Encik Lim Yihao, penasihat perisikan ancaman utama bagi Jepun, Asia Pasifik dan Timur Tengah dan Afrika di Kumpulan Perisikan Ancaman Google.

Beliau berkata terdapat "sesuatu bentuk hubungan kerja antara entiti negara dengan kontraktor swasta."

Namun, Encik Lim lebih berhati-hati dalam mengaitkan serangan yang dipercayai berlaku itu dengan mana-mana negara secara khusus.

"Dokumen-dokumen itu mungkin palsu, dan tentu sekali, boleh dilakukan oleh pihak lain yang mahu memburukkan negara lain," katanya.

Pakar keselamatan siber memberitahu Mediacorp bahawa serangan itu mungkin permulaan trend meningkat di mana perusahaan kecil dan sederhana (SME) menjadi sasaran penggodam.

Mereka memberi amaran, oleh kerana kebanyakan firma yang menyokong pengendali CII adalah SME, kelemahan mungkin terletak jauh dalam rantaian bekalan digital.

SG SASARAN UTAMA

Ini bukan kali pertama entiti-entiti di Singapura diserang.

Pada 2025, Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Negara K Shanmugam mengenal pasti kumpulan ancaman berterusan canggih UNC3886 sebagai dalang di sebalik serangan siber terhadap Singapura.

Ia kemudian didedahkan bahawa kumpulan itu menyasarkan sektor telekomunikasi.

Laporan oleh Agensi Keselamatan Siber Singapura (CSA) mendapati bahawa serangan yang disyaki oleh ancaman berterusan canggih seperti UNC3886 melonjak lebih empat kali ganda antara 2021 hingga 2024.

Encik Adam Meyers, naib presiden kanan bagi operasi menentang musuh di firma keselamatan siber Amerika Syarikat CrowdStrike berkata Singapura kekal sebagai antara lima negara yang sering disasarkan di Asia Pasifik.

"Singapura sangat penting dan terletak di persimpangan laluan perkapalan ke Asia. (Ia) adalah pusat kewangan di seluruh Asia-Pasifik dan (negara lain) pastinya mahu mengumpul maklumat risik tentang apa yang masuk, apa yang keluar, ke mana ia pergi," katanya.

Beliau menambah bahawa sistem telekomunikasi amat berharga dari sudut perisikan, contohnya apabila sesebuah negara asing cuba mengesan pembangkang.

"Anda sebenarnya boleh memburu mereka berdasarkan nombor telefon bimbit mereka dan mendapatkan bukan sahaja maklumat tentang mereka, tetapi ke mana mereka pergi, siapa yang berada bersama mereka, apa kandungan pesanan teks mereka, perkara seperti itu," jelasnya.

SME 'PAUTAN PALING LEMAH'

Sektor infrastruktur maklumat penting Singapura ditadbir oleh Akta Keselamatan Siber, yang mengenakan piawaian keselamatan yang lebih tinggi dan kewajipan pelaporan insiden.

Namun, para pakar memberi amaran bahawa walaupun syarikat-syarikat itu mungkin dikawal selia dengan ketat, ekosistem di sekeliling mereka mungkin tidak.

Pengendali infrastruktur maklumat penting bergantung kepada para pengendali – yang termasuk SME – bagi logistik, pembangunan perisian, kejuruteraan dan perkhidmatan profesional.

Namun, kebanyakan firma yang lebih kecil itu tidak dikawal selia secara langsung di bawah Akta tersebut.

Dalam ekosistem digital yang sangat berhubung kait, tahap keselamatan siber yang lebih lemah di pihak vendor yang lebih kecil boleh memberi penggodam pintu masuk, yang berpotensi menembusi pertubuhan lebih besar dan lebih penting dari segi strategik, kata pakar-pakar.

"Ia adalah satu kelemahan yang besar," kata Encik Nicky Choo, naib presiden dan pengurus besar untuk Asia-Pasifik di syarikat pembekal keselamatan siber Mimecast.

"Setiap pertubuhan yang berurusan dengan setiap pertubuhan besar yang merupakan sebahagian daripada infrastruktur kritikal menjadi sasaran serangan. Jadi, ramai penggodam kini menyerang bahagian paling lemah, kerana ia cara lebih mudah untuk tembus," tambahnya.

Menurut laporan Landskap Siber Singapura 2024/2025 Agensi Keselamatan Siber, kes perisian tebusan meningkat sebanyak 21 peratus pada 2024, dengan 159 insiden dicatatkan.

Dengan lebih 350,000 SME beroperasi di Singapura setakat 2024, bilangan besar firma-firma kecil ini memberi penggodam banyak pintu masuk berpotensi.
Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita