Skip to main content

Singapura

2,530 orang miliki dan gunakan vape diberkas sedang penguatkuasaan dipertingkat

Anggaran Waktu Membaca:
2,530 orang miliki dan gunakan vape diberkas sedang penguatkuasaan dipertingkat

(Gambar: HSA)

Diterbitkan : 01 Aug 2024 11:52PM
SINGAPURA: Kira-kira 2,530 orang diberkas antara 1 April dengan 30 Jun kerana memiliki atau menggunakan vape di Sinfgapura, sedang usaha penguatkuasaan dipertingkatkan.

Demikian menurut Kementerian Kesihatan (MOH) dan Penguasa Sains Kesihatan (HSA) pada Khamis (1 Ogos).

Ini adalah kenaikan 20 peratus berbanding 1,950 yang diberkas pada suku sebelumnya daripada 1 Januari hingga 31 Mac, dedah MOH dan HSA dalam satu kenyataan media bersama.

"Usaha pelbagai agensi yang dipertingkatkan untuk melindungi penduduk kita daripada bahaya vape membuahkan hasil," tambah pihak berkuasa itu.

Pesalah diberkas di kawasan "ramai orang" seperti kawasan pusat bandar, pusat hiburan dan di sekitar pusat beli-belah.

Dalam tempoh yang sama, kakitangan disiplin di sekolah juga menyerahkan 690 pelajar kepada HSA kerena mereka menggunakan atau memiliki vape. Para pelajar tersebut dikenakan denda.

"Operasi penguatkuasaan dijalankan di institut pengajian tinggi dalam tempoh yang sama berjaya memberkas kira-kira 40 individu yang melakukan perbuatan serupa," dedah MOH dan HSA.
SERBUAN ATAS PEMBEKAL DAN PENJUAL

Menurut MOH dan HSA, beberapa serbuan dijalankan ke atas pembekal vape sejak beberapa bulan lalu.

Pada 24 April, HSA merampas vape dan komponennya bernilai lebih S$5 juta dari sebuah gudang di Taman Perindustrian Woodlands.
Dua warga Thailand berusia 22 dan 30 tahun dijatuhi hukuman penjara 10 bulan, dan masing-masing didenda S$9,000 dan S$7,000.

Antara 14 dengan 18 Jun, HSA merampas lebih 350,000 vape dan komponennya bernilai lebih S$6 juta dalam serbuan di tiga lokasi berbeza.

Dua lelaki dan dua wanita berusia antara 34 dan 52 tahun ditahan berkaitan dengan serbuan itu.

Pada 8 Julai, HSA mengganggu rangkaian pengedaran vape yang melibatkan lebih 17,000 vape dan komponennya bernilai S$200,000, yang bertujuan untuk dijual di aplikasi Telegram.

Rangkaian itu diganggu oleh serbuan yang dilakukan di Jalan Kilang Timor, Toh Guan Road dan Anchorvale Drive dalam tempoh 24 jam. Dua lelaki berusia 30 dan 44 tahun sedang membantu dalam siasatan.

"Dalam tempoh yang sama, HSA juga bekerjasama dengan pentadbir platform e-dagang dan media sosial tempatan untuk menghapuskan lebih 2,000 penyenaraian vape dan komponennya seperti pod dan kartrij," tambah MOH dan HSA.

Seramai enam orang berusia antara 24 dengan 36 tahun didakwa di mahkamah kerana menjual vape dan komponennya antara 1 April hingga 30 Jun. Mereka didenda lebih S$51,000.

PENGUATKUSAAN DI PUSAT PEMERIKSAAN

Menurut HSA dan MOH, HSA juga menjalankan beberapa operasi bersama di pusat pemeriksaan Singapura bersama ICA antara April dengan Jun.

Agensi tersebut menyatakan HSA sedang bekerjasama dengan ICA untuk mengesan dan mencegah penyeludupan produk vape melalui sempadan Singapura.

Operasi tersebut dijalankan di pusat pemeriksaan darat Woodlands dan Tuas, Lapangan Terbang Changi, Pusat Peleseran Singapura, Pusat Peleseran Marina Bay Singapura dan Terminal Feri Tanah Merah, dan melibatkan lebih 5,000 pelancong.

Daripada 5,000 pelancong, 19 orang ditemui memiliki vape.

"Para pelancong tidak dibenarkan untuk membawa produk tembakau terlarang seperti vape ke Singapura. Pelancong yang ditemui dengan vape atau komponennya akan didenda," tegas MOH dan HSA.

"Syarikat pengangkutan dan pemandu yang membawa produk tembakau terlarang ke Singapura akan dikenakan tindakan penguatkuasaan. Warga asing yang disabit kesalahan akan dihantar pulang dan dilarang daripada memasuki Singapura."
Sumber : CNA/AE/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita