Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

250 warga emas memerlukan diraikan dalam sambutan Lebaran anjuran bersama 4 masjid kelompok utara

Lebih 250 orang menyertai sambutan Hari Raya di Kelab Sukan SIA yang dianjurkan empat masjid daripada kelompok utara pada Khamis (10 Apr).

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 10 Apr 2025 05:21PM Dikemas Kini : 10 Apr 2025 09:12PM
SINGAPURA: Lebih 250 orang menyertai sambutan Hari Raya di Kelab Sukan SIA yang dianjurkan empat masjid daripada kelompok utara pada Khamis (10 Apr).

Para peserta terdiri daripada penerima bantuan, rakan kerja daripada sektor agama, akar umbi, serta sukarelawan.

Acara yang dianjurkan bersama Masjid Yusof Ishak, Masjid Assyafaah, Masjid Petempatan Melayu Sembawang, dan Masjid Darul Makmur itu turut disokong oleh Persatuan Rakyat (PA) serta dua syarikat swasta, Corporate Micron dan UPS.

Selama sekitar tiga jam, para peserta dapat menikmati pelbagai kegiatan seperti sesi tarian dan persembahan nyanyian lagu-lagu Lebaran bersama para penerima bantuan warga emas daripada Blossom Seeds.

Salah satu matlamat yang diharap dapat dicapai daripada acara itu adalah untuk menampilkan bakat serta komitmen para warga emas tersebut dalam menggalak satu sama lain untuk kekal sihat dan bersenam bersama.

Dalam pada itu, Blossom Seeds yang merupakan sebuah badan amal berharap acara tersebut dapat memberi ruang serta peluang kepada penerima bantuan bukan Muslim untuk turut sama menyambut Syawal bersama rakan-rakan mereka yang beragama Islam.

Usaha ini selaras dengan misi badan amal itu yang ingin memberi khidmat kepada warga emas berbilang kaum dan agama yang memerlukan serta aktif.

Blossom Seeds menambah misi itu juga diharap dapat membantu negara dalam aspek keharmonian silang agama dan perpaduan sosial.

"Dengan ada sambutan sebegini, kami menyatukan masyarakat supaya mereka boleh meraikan kemeriahan bersama agar mereka rasa dihargai dan tidak rasa seperti diri mereka dilupakan," kongsi Pengurus Kanan, Pusat Sukarelawan SG Cares, Blossom Seeds Cik Maggie Lim.

PERPADUAN DALAM KALANGAN MASYARAKAT

AP GRC Sembawang Mariam Jaafar yang juga tetamu terhormat acara itu memuji usaha dan kerjasama yang ditonjolkan empat masjid terlibat.

Beliau menekankan bahawa kerjasama yang terjalin antara empat masjid tersebut dengan Blossom Seeds membuktikan bahawa perpaduan dapat dicapai dalam kalangan masyarakat rencam Singapura.

"Dengan adanya mereka di sini hari ini, mengingatkan berapa rapat hubungan di antara Blossom Seeds dengan masjid-masjid kita dan juga warga emas yang ada di seluruh bandar Sembawang," ujar Cik Mariam.

Blossom Seeds turut menambah bahawa peluang untuk mendampingi warga emas adalah sangat penting, memandangkan semakin ramai warga emas kini berdepan dengan isu pengasingan sosial.

Lantaran itu, perpaduan ditunjukkan melalui acara kemasyarakatan seperti sambutan Hari Raya amat dialu-alukan.
Sumber : BERITA Mediacorp/RU/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan