Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

250 pekerja hijrahan dijamu juadah buka puasa, jumlah naik seganda berbanding tahun lalu

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Sekitar 250 pekerja hijrahan dijamu juadah berbuka puasa pada Sabtu (16 Mac) di dormitori North Coast Lodge.

Acara itu dianjurkan bersama Kumpulan Jaminan, Penjagaan dan Pendampingan (ACE) dari Kementerian Tenaga Manusia (MOM) dan rakan-rakan kerjasama untuk menyambut Ramadan.

Secara keseluruhannya, sekitar 60 relawan menyingsing lengan untuk sama-sama menyiapkan makanan untuk acara berbuka puasa ini.

Mereka daripada Persatuan Khidmat Sosial Muslim India, Masjid An-Nur, Masjid An-Nahdhah, F-FRY dan Hope Initiative Alliance.

Gambar: Kumpulan ACE, MOM

Terlebih dahulu, penyediaan dan pembungkusan makanan dilakukan para relawan di Kelab Masyarakat Marsiling.

BANGKITKAN SEMANGAT KEBERSAMAAN SEMPENA RAMADAN

Antara yang menyumbang tenaga untuk acara tersebut termasuk sukarelawan belia dari sebuah perusahaan sosial, F-Fry, Yasmin Asyura, 24 tahun.

Beliau membantu untuk membungkus makanan seperti kurma, nasi biryani dan karipap untuk diagihkan kepada pekerja hijrahan.

"Saya rela hati untuk datang ke sini meluangkan masa kerana saya rasa bahawa ini adalah peluang yang sangat istimewa untuk kami beribadah dan juga mengenali masyarakat kita di Singapura," kongsi Cik Yasmin.

"Saya rasa sangat gembira dapat membantu pekerja hijrahan pada hari ini kerana saya rasa mereka telah (menyumbang) sedikit sebanyak untuk negara kami dan ini merupakan salah satu cara untuk kami memberi kembali kepada mereka," tambahnya.

Malah, semangat kebersamaan dalam masyarakat turut menyerlah pada acara itu dengan interaksi antara para relawan dari pelbagai kaum, agama dan latar belakang bersama pekerja hijrahan.

"Acara seperti ini dapat memanfaatkan masyarakat Melayu dan juga pekerja hijrahan dengan memberikan kami peluang berinteraksi bersama mereka apabila kami mengedarkan makanan dan duduk bersila bersama mereka untuk iftar dan ini merupakan peluang yang istimewa untuk kami berbicara bersama mereka untuk mendapat tahu tentang kehidupan mereka," kongsi Cik Yasmin.

INTERAKSI ANTARA RELAWAN DAN PEKERJA HIJRAHAN HIDUPKAN SEMANGAT RAMADAN

Perasaan yang sama turut dirasakan oleh sukarelawan dan kakitangan Masjid An-Nur, Sharifah Rauqatus Sorfina, 27 tahun.

"Alhamdulillah selaku sukarelawan dan petugas masjid, peranan saya hari ini adalah untuk mendukung program ini dan juga inisiatif Masjid An-Nur secara khusus dan selaku masjid di Singapura dan ini pun merupakan peluang untuk saya untuk memupuk sifat kesukarelawanan dan juga dapat meluaskan lagi rangkaian ukhuwah sesama masyarakat Singapura," kongsi Cik Sorfina kepada wartawan Nazirah Jamzuri.

"Saya pun turut berterima kasih kerana masjid dapat (turut) menjayakan acara sebegini di mana bukan sahaja kita dapat memberi mereka makanan malah dari segi rohani juga kerana sepanjang acara ini, kita pun dapat menyaksikan bagaimana pekerja hijrahan mengamalkan acara iftar mereka berbuka puasa dan juga solat berjemaah di sini," tambahnya.

Interaksi sebegitu menurut Cik Sorfina dapat menghidupkan lagi semangat Ramadan pada bulan yang mulia itu.

Ketua Kumpulan ACE MOM, Tung Yui Fai turut menghargai kerjasama itu dan berharap dapat meneruskan inisiatif ini.

"Apa yang baharu tahun ini adalah kami boleh menyatukan pelbagai pertubuhan bersama. Dahulu kami bermula sebagai pertubuhan bersendirian yang menjalankan aktiviti mereka sendiri tetapi selama bertahun-tahun, kami sudah membangunkan hubungan ini dan saya fikir ia adalah sangat baik kerana rakan-rakan kongsi berlainan bersatu untuk menjalankan acara yang bukan secara tradisi dianjurkan mereka. Jadi saya rasa ia sesuatu yang kami mahu galakkan," kongsi Encik Tung kepada Wartawan Nazirah Jamzuri.

JUMLAH PEKERJA HIJRAHAN UNTUK ACARA BUKA PUASA NAIK LEBIH SEGANDA

Malah, untuk acara berbuka puasa tahun ini, jumlah pekerja hijrahan naik lebih seganda berbanding tahun lalu.

Pihak penganjur juga berbesar hati dapat sokongan lebih ramai relawan yang turun padang untuk sama-sama bantu menyediakan dan mengagihkan lebih banyak juadah berbuka puasa kali ini.

Tambah Encik Tung, acara perayaan untuk pekerja hijrahan sebegini merupakan satu cara untuk memberi peluang kepada masyarakat Singapura mengenali lebih mendalam tentang mereka.

"Yang penting sekali, mereka (pekerja hijrahan) lebih merindukan rumah semasa acara perayaan seperti ini dan saya harap menerusi acara ini, kita dapat membawa para relawan untuk berhubung dengan para pekerja, berkongsi kegiatan yang sama dan menunjukkan penghargaan antara satu sama lain dan menerusi ini, saya rasa kita sedang membawa masyarakat lebih dekat bersama," ujar Encik Tung.

Dalam pada itu, beliau berharap lebih ramai akan tampil ke hadapan untuk menyumbang tenaga.

"Saya sangat berharap lebih ramai akan tampil ke hadapan kerana menjaga para pekerja hijrahan bukan sahaja tanggungjawab pemerintah. Seluruh masyarakat boleh datang bersama, sama ada anda dari NGO, majikan, anak muda atau hanya anggota masyarakat. Semua boleh memainkan peranan untuk membantu para pekerja hijrahan kita rasa seperti di rumah agar mereka dapat menjalankan tugas di Singapura dengan lebih baik," kata Encik Tung.

Selain itu, para relawan juga meluangkan waktu untuk berinteraksi dan berbuka puasa beramai-ramai dengan para pekerja hijrahan.

Mereka juga dapat mengikuti perkongsian oleh para asatizah seperti Ustaz Luqman Hakim dari Masjid An-Nahdhah dan Ustaz Muhammad Umaruddin dari Masjid An-Nur serta mendirikan solat Maghrib secara berjemaah.

PEKERJA HIJRAHAN TERUJA, HARGAI ACARA IFTAR SEBEGINI

Antara jemaah yang menyertai acara itu termasuk Balal Mohammad.

"Terima kasih atas acara hari ini untuk pekerja hijrahan Islam di Singapura. Saya ingin mengucapkan terima kasih berulang kali. Saya rasa semua teruja datang ke sini selepas kerja, menikmati juadah dan menjalankan ibadah," kongsi Encik Balal, 35 tahun, yang sudah bekerja di Singapura selama sembilan tahun.

"Saudara Islam kami juga suka akan acara ini dan mereka semua gembira. Kami suka makanan yang diberikan oleh semua orang," kongsi seorang lagi pekerja hijrahan, Ali Md Ashik, 26 tahun.

Beliau sudah bekerja di Singapura selama lapan tahun dan berjauhan dengan keluarga tersayang.
Sumber : BERITA Mediacorp/nj
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan