Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

250 flat dengan kemudahan hidup berbantu di Bedok ditawarkan pada Dis

Anggaran Waktu Membaca:
 250 flat dengan kemudahan hidup berbantu di Bedok ditawarkan pada Dis

Lukisan bahagian dalam Apartmen Jagaan Masyarakat di Chai Chee Green. (Gambar: HDB)

SINGAPURA: Sekitar 250 flat dengan kemudahan hidup berbantu (assisted living) di Bedok ditawarkan dalam skim flat Bina Ikut Tempahan (BTO) bulan Disember.

Ini sebagai sebahagian daripada pembangunan Chai Chee Green.

Apartmen Jagaan Masyarakat (CCA) itu akan menawarkan perumahan mesra warga senja dengan khidmat-khidmat jagaan yang boleh disesuaikan mengikut keperluan individu.

CCA bertujuan menyokong warga emas untuk menua secara bebas dalam kalangan masyarakat, menurut Kementerian Pembangunan Negara (MND), Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) dan Kementerian Kesihatan (MOH) dalam satu kenyataan bersama pada Khamis (30 Nov).

Ini merupakan projek CCA ketiga yang akan dilancarkan menyusuli "respons positif" daripada dua projek pertama, iaitu Harmony Village @ Bukit Batok dan Queensway Canopy.

"Jika model yang menawarkan jagaan ini terbukti berkesan dan boleh dikembangkan, kami akan menambah bekalan CCA dan melancarkan sehingga 30 CCA di lokasi-lokasi berbeza di merata Singapura menjelang 2030," menurut pihak berkuasa.
Dikelilingi Chai Chee Lane dan Bedok North Road, Chai Chee Green terdiri daripada tujuh blok perumahan yang setiap satu setinggi 15 tingkat. (Gambar: HDB)
Unit-unit tersebut akan menjadi sebahagian daripada 1,234 flat BTO Chai Chee Green di Bedok, di samping flat-flat tiga, empat dan lima bilik.

Tempoh menunggu pula antara tiga tahun tiga bulan hingga tiga tahun tujuh bulan.

CIRI MESRA WARGA TUA, KHIDMAT JAGAAN

Dengan ruang dalam sekitar 32 meter persegi, setiap Apartmen Jagaan Masyarakat (CCA)akan menyediakan pintu utama yang boleh dibuka luas dan mesra kerusi roda, dengan bangku terbina di bahagian tepi.

Bilik air juga akan mesra kerusi roda dengan lantai tidak licin serta adanya pemegang. Terdapat juga ruang untuk menjemur pakaian, yang boleh diakses dari tandas.

Unit tersebut akan menyediakan almari, kabinet dan dapur siap diguna untuk membolehkan warga emas segera pindah masuk tanpa memerlukan banyak kerja ubah elok.

Flat-flat CCA direka dengan ruang terbuka dan menyediakan dinding sekatan mudah dibuka, dan mengasingkan ruang tamu dengan bilik tidur. Ini memudahkan unit tersebut agar mudah disesuaikan mengikut keperluan.
Lukisan ruang yang dikongsi bersama di Chai Chee Green, di mana penduduk boleh berinteraksi dengan tetangga. (Gambar: HDB)
Selain ciri-ciri mesra warga tua, flat-flat CCA juga direka untuk warga emas hidup berdikari dengan bantuan jagaan kesihatan disediakan apabila diperlukan.

Semua penduduk akan melanggani Pakej Khidmat Asas yang termasuk pemantauan dan respons kecemasan 24 jam serta pemeriksaan kesihatan asas.

Seorang pengurus masyarakat di lokasi juga akan membantu menghubungkan penduduk dengan khidmat-khidmat jagaan relevan dan membantu kerja-kerja baik pulih yang mudah.

Para penduduk juga akan ada akses kepada kegiatan-kegiatan kesejahteraan dan sosial.

Terdapat ruang-ruang yang dikongsi bersama di setiap tingkat yang boleh dimanfaatkan warga emas untuk bersosial antara satu sama lain.

Mereka yang memerlukan bantuan dengan kegiatan harian seperti penghantaran makanan, cuci kain baju dan membersihkan rumah, boleh mendapatkan khidmat-khidmat itu dengan bayaran tambahan.

Kemudahan-kemudahan sosial dan masyarakat yang berdekatan termasuk pusat makanan dan pusat interaksi penduduk.

Pengangkutan awam pula termasuk khidmat bas di Chai Chee Lane dan stesen MRT seperti Bedok North di Laluan Downtown selain Stesen Bedok dan Kembangan di Laluan Timur-Barat.
Peta projek Chai Chee Green yang akan datang. (Gambar: HDB)
PAMERAN HDB

Mereka yang mahu mengetahui lebih lanjut tentang Apartmen Jagaan Masyarakat (CCA) di Chai Chee Green boleh mengunjungi pameran di Atrium Hab HDB mulai 30 November.

Semua lawatan memerlukan janji temu dan slot boleh ditempah online.

Pameran itu akan menampilkan model-model 3D blok CCA dan unit flat, contoh ruang yang dikongsi bersama serta pameran flat.

Para pelawat juga boleh mendapatkan lebih banyak maklumat mengenai pakej khidmat dan syarat kelayakan di pameran itu, yang dibuka dari pukul 8.00 pagi hingga 5.00 petang setiap Isnin hingga Jumaat, tidak termasuk hari cuti.

Lebih banyak maklumat mengenai CCA Chai Chee Green juga disediakan online dan orang awam boleh menghubungi Khidmat Pelanggan HDB di talian 1800 866 3066.

Kriteria Kelayakan

USIA

Pemohon dan pasangan mereka, jika ada, mesti berusia 65 tahun dan ke atas.

HAD PENDAPATAN

Purata pendapatan bulanan bersih isi rumah tidak harus melebihi S$14,000.

KELUARGA, KERAKYATAN

Keluarga dengan sekurang-kurangnya seorang pemohon rakyat Singapura.

Orang bujang rakyat Singapura.

PEMILIKAN RUMAH

Pemohon yang memiliki sebuah rumah privet atau sebuah flat HDB mesti melepaskannya dalam tempoh enam bulan selepas mendapatkan kunci kepada Apartmen Jagaan Masyarakat.

PEMBELIAN SEBELUM INI

Mereka yang sudah menikmati dua subsidi perumahan dan pernah membeli apartmen studio atau menyewa dalam tempoh singkat flat flexi dua bilik tidak layak.

TEMPOH SEWA

Tempoh sewa yang dipilih mesti boleh meliputi semua pemohon dan pasangan mereka, jika ada, sehingga sekurang-kurangnya pada usia 95 tahun.

Pilihan adalah dalam lingkungan antara 15 hingga 35 tahun, dengan tambahan tempoh 5 tahun setiap kali.

HARGA

Kos keseluruhan unit itu terdiri daripada dua komponen:

Harga flat dan harga Pakej Khidmat Asas.

Flat mesti dibayar sebelum berpindah masuk.

Bagi Pakej Khidmat Asas, penduduk boleh memilih antara dua pelan pembayaran:

Bayaran perlu dibuat setiap bulan, dengan tambahan deposit keselamatan setahun pada permulaan tempoh sewa atau bayaran dibuat setiap tiga tahun sekali.
Kurangkan Artikel
Sumber : CNA/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan