250 belia teroka kerjaya, teknologi inovatif masa depan dalam Persidangan Masyarakat Gemilang di Google SG
SINGAPURA: Peluang melakukan pelbagai aktiviti inovatif, termasuk hologram, realiti maya, pengalaman realiti tambahan (AI), serta menjalani ujian kepimpinan.
Itulah pengalaman yang diraih kira-kira 250 belia yang menyertai Persidangan Masyarakat Gemilang (MGC) yang julung-julung kalinya diadakan di pejabat Google Singapore pada Sabtu (13 Jul).
Persidangan itu adalah anjuran Yayasan MENDAKI diadakan sempena bulan Raikan Ilmu tahun ini.
Acara tahun ini mahu menyokong perjalanan kejayaan pelajar dengan memahami aspirasi mereka, mentakrif semula definisi kejayaan serta merangka pelan untuk mencapainya.
Ia juga mencabar para peserta untuk memikirkan semula konsep kepimpinan dan menggalakkan semangat kerjasama dan berdaya tahan dalam menghadapi cabaran kehidupan.
Selain itu, mereka juga berpeluang meneroka pekerjaan di masa depan.
GUNA TEKNOLOGI VR, AR TEROKA MASA DEPAN KERJA
Tiga astaka interaktif di pejabat Google memberi para peserta peluang untuk melalui pelbagai pengalaman inovatif seperti hologram, Realiti Maya (VR), Realiti Terimbuh (AR), serta ujian-ujian personaliti dan kepimpinan.
Para peserta juga berpeluang meneroka peluang kerja di masa hadapan, kepimpinan dan semangat sukarelawan.
Misalnya, dengan menggunakan teknologi VR, para peserta berpeluang menjalani sesi temu duga secara virtual dalam pelbagai sektor termasuk sektor khidmat kewangan dan pelancongan.
"Saya gembira sekali kami menjalankan acara ini di Google kerana ia membayangkan keadaan masa depan yang bukan hanya kerjaya yang berlaku dalam ruang fizikal tetapi juga peluang yang terbuka kerana digital, apa lagi juga dengan adanya kecerdasan buatan (AI).
"Ini memberikan pandangan dan tasawwur kepada masyarakat kita supaya jangan menyempitkan pemikiran mereka dari segi kerjaya mereka dalam bidang-bidang yang tradisional. Dan ini bukan sesuatu yang mereka mungkin tidak capai sekarang tetapi adalah peluang yang terbuka sepanjang hidup mereka," kata Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga dan Menteri Kedua Kesihatan merangkap Ehwal Masyarakat Islam, Masagos Zulkifli kepada wartawan Nazirah Jamsuri.
Encik Masagos yang juga Pengerusi MENDAKI menambah: "Mereka merasakan sendiri bagaimanakah masa hadapan yang mereka akan hadapi terutama dalam kerjaya yang begitu luas yang belum kita dapat fikirkan apa lagi dengan adanya AI, pendigitalan dan sebagainya. Kedua, kita juga mengingatkan mereka bahawa mereka juga perlu memikirkan bagaimana memberi kembali sumbangan yang telah mereka dapat kepada masyarakat demi meningkatkan lagi mereka yang mungkin masih ketinggalan. Akhirnya dengan melalui kerja mereka dan juga usaha kesukarelawan mereka, mereka akan merealisasikan potensi sebagai pemimpin masyarakat."
PEMERINTAH AKAN TERUS BINA EKONOMI YANG CERGAS & PRODUKTIF
Tetamu terhormat Menteri Tenaga Manusia merangkap Menteri Kedua Perdagangan dan Perusahaan, Dr Tan See Leng berkata Pemerintah akan melakukan yang terbaik untuk membina ekonomi yang cergas dan produktif yang menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan yang baharu dan menarik.
Beliau juga lahirkan rasa sukacita dengan sokongan yang kukuh yang diberikan kepada MENDAKI.
Pada 2023, lebih 1,200 relawan menyokong program-program MENDAKI.
"Saya menggesa anda untuk meneroka, belajar, berhubung, membina, memberi inspirasi kepada masyarakat yang lebih baik dan saya berharap anda akan memanfaatkan, menggunakan sepenuhnya peluang ini untuk mentakrif semula kejayaan mengikut makna anda sendiri untuk membangunkan kemahiran kepimpinan anda dan melihat bagaimana anda boleh meningkatkan kehidupan orang lain.
"Dakap dan hidupkan lagi potensi anda yang tiada hadnya kerana bersama, apabila kita berfikiran tanpa had, kita boleh membina masa depan yang lebih cerah untuk semua rakyat Singapura dan untuk generasi yang mendatang," kata Encik Tan.
PESERTA TERUJA DAPAT AMBIL BAHAGIAN DALAM MGC
Para peserta yang ditemui BERITA Mediacorp berkata mereka teruja dapat mempelajari lebih lanjut tentang kepimpinan sebenar dan bagaimana mereka dapat memberi inspirasi dan membawa kesan positif kepada orang lain.
"Saya dapat lebih mengenali akan kekuatan saya dan juga kelemahan saya. Dengan mengenali diri saya dengan lebih baik lagi, saya dapat berkhidmat kepada masyarakat saya dengan lebih mendalam lagi, Insya-Allah," kata Muhammad Arif Abdul Halim, 22 tahun yang bekerja dalam industri Fintech.
Aishah Jamaludin, 33 tahun pula dapat mempelajari bagaimana belia hari ini dapat menyumbang kepada masyarakat menerusi kerja-kerja sukarelawan.
"Ia memberi (belia) seperti saya peluang untuk berjumpa dengan belia lain yang berfikiran sama and kita belajar bagaimana kita boleh bekerjasama untuk memperkasakan diri dan juga untuk menyumbang kepada masyarakat dan meningkatkan kehidupan kita bersama," ujar Aishah, yang bekerja sebagai Peneraju Sumber Manusia di PERGAS.
Bagi pelajar Politeknik Republic, Aniq Ariq Aqil Mohamed Ariffin, 20 tahun pula, beliau dapat pelajari tentang gaya-gaya kepimpinan menerusi ujian personaliti yang dipaparkan semasa acara itu.
"Saya dapat berinteraksi dengan belia-belia Singapura yang lain. Bukan itu sahaja, saya juga dapat mempelajari tentang gaya-gaya kepimpinan MBTI yang berbeza," kongsi Aniq.
"Acara ini amat penting untuk belia-belia yang ingin meneroka industri teknologi. Mereka juga boleh meneroka gaya-gaya kepimpinan dan menyumbang kepada masyarakat," tambahnya.
Persidangan itu diadakan diadakan sempena bulan Raikan Ilmu tahun ini.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.