250 bakal jemaah haji jalan pantas 2.5 km bagi persiapan fizikal
Seramai 250 jemaah haji dan pegawai Shahidah Travel & Tours dan keluarga mereka jalan pantas beramai-ramai di Sembawang pada pagi Ahad (12 Mei).
SINGAPURA: Seramai 250 jemaah haji dan pegawai Shahidah Travel & Tours dan keluarga mereka jalan pantas beramai-ramai di Sembawang pada pagi Ahad (12 Mei).
Acara 'Get Fit For Haj' yang dianjurkan bersama Jawatankuasa Eksekutif Kegiatan Melayu (MAEC) Sembawang dan M³@Woodlands itu antara usaha mempersiapkan para jemaah untuk menunaikan rukun Islam yang kelima itu.
Kali terakhir acara itu dianjurkan adalah pada 2022.
(Gambar: Syawal Yusoff)
Sejak 8.30 pagi, para peserta sudah mula berkumpul di Kelab Masyarakat Sembawang.
Khidmat bas ulang-alik dari stesen MRT Canberra juga disediakan bagi memberi kemudahan kepada para peserta yang datang dari kawasan-kawasan lain.
Selepas mendengarkan taklimat acara, para peserta kemudian diajak melakukan senaman memanaskan badan.
Menteri Kesihatan Ong Ye Kung turut hadir untuk memberikan sokongan dan merasmikan acara.
Encik Ong berharap para jemaah akan terus melakukan lebih banyak persiapan fizikal menjelang hari keberangkatan.
"Sudah tentu satu sesi ini tidak mencukupi. Di luar ini saya berharap mereka mengambil tabiat itu dan mempersiapkan diri secara fizikal dan cergas untuk menunaikan haji," kata Encik Ong, yang juga penasihat Pertubuhan-pertubuhan Akar Umbi Sembawang Central.
Beliau juga memuji inisiatif sedemikian dalam memberi peluang masyarakat untuk sama-sama turut serta.
"Saya rasa menjalani keseluruhan proses ini, persiapan serta haji sebagai sebuah komuniti dengan sokongan daripada semua kaum untuk berkumpul bersama. Saya rasa ia satu aktiviti yang sangat bermakna," tambah Encik Ong.
(Gambar: Syawal Yusoff)
JARAK PERJALANAN SAMA DENGAN MINA-JAMARAT
Dalam edisi kali ini, jarak perjalanan juga disingkatkan kepada 2.5 kilometer berbanding 5 kilometer sebelum ini.
Lebih simbolik juga, jarak 2.5 km itu juga kira-kira sama dengan jarak antara Mina dengan kawasan jamrah.
(Gambar: Syawal Yusoff)
Dua tempat rehat turut disediakan bagi membolehkan jemaah membasahkan tekak sebelum meneruskan perjalanan.
Cuaca mendung juga tidak menghambat semangat para peserta kerana pemandangan menarik yang dapat dinikmati di sekitar kawasan Sembawang.
(Gambar: Syawal Yusoff)
Selepas satu jam setengah, para peserta akhirnya tiba ke destinasi iaitu di Masjid Petempatan Melayu Sembawang.
Setibanya di sana, para peserta langsung dibawa untuk melakukan kegiatan simulasi melontar jamrah sebelum makan tengah hari.
Program yang turut disokong Kementerian Kesihatan (MOH) itu juga turut mempunyai gerai untuk galak para jemaah mendaftar bagi SG Lebih Sihat.
(Gambar: Syawal Yusoff)
PARA JEMAAH BERSEDIA DARI SEGI MENTAL & FIZIKAL
Secara keseluruhan, para peserta yang ditemui amat menghargai sesi sedemikian.
Bahkan, sebilangan jemaah sudahpun mengambil langkah proaktif dengan melakukan senaman sendiri.
Antaranya ialah pasangan suami isteri Encik Mohamad Sadawi, 65 tahun dan Cik Salmah Ismail, 64 tahun yang sudah menunggu 11 tahun untuk menunaikan haji.
"Saya sudah ada aktiviti sendiri untuk kawasan kejiranan saya. Jadi kami memulakan senaman satu minggu dua kali jadi ia bermakna tidak ada masalah buat saya insya-Allah," kata Cik Salmah, seorang surirumah.
Bagi Encik Mohamad yang sudah bersara pula: "Shahidah Travel juga ada beri kita peringatan supaya buat aktiviti riadah sedikit. Jadi saya ada buat di daerah estet saya dalam dua, tiga kilometer dengan berjalan. Tidak dilakukan setiap hari tapi bila saya ada masa lapang, mungkin tiga hari sekali, saya akan lakukan riadah itu untuk persiapan fizikal kita."
Selain persiapan fizikal, para jemaah seperti Encik Rosli Suip, 59 tahun pula bertanya kepada kenalan untuk ketahui pengalaman mereka.
"Saya akan bertemu dengan teman-teman, saudara mara yang ada pengalaman untuk saya siapkan diri, keadaan di sana, mungkin cuaca ke, ramai orang di sana macam begitulah," kongsi Encik Rosli yang akan ke tanah suci bersama isterinya.
LEBIH BANYAK LATIHAN FIZIKAL & MANASIK HAJI DIBERIKAN
Menurut Pengarah Urusan Shahidah Travel & Tours, Ayoob Angullia, seramai 220 jemaah haji yang bakal mengikuti rombongannya tahun ini.
Prihatin dengan demografi jemaah yang lebih berusia dengan ada sehingga 80 tahun, lebih banyak penekanan diberikan kepada latihan fizikal di samping latihan manasik haji.
"Demografi jemaah yang datang ini banyak sudah berumur. Jadi kita kena banyak buat latihan, penerangan, membuat banyak pendidikan. Maknanya kita kena beri banyak informasi. Mustahak sekali motivasi supaya mereka dapat ikuti program.
"Kita gunakan buku elektronik atau 'e-book' sekarang. Jemaah sangat prihatin terhadap apakah yang perlu dilakukan pada hari keberangkatan. Jadi kita berikan 'e-book', ada prosedur langkah demi langkah, gambar latihan, kita adakan sesi interaksi, kita buat latihan amali. Jadi mereka akan bersedia secara mental dan rohani," kata Encik Ayoob.
Dua rombongan jemaah dari Shahidah Travel & Tours akan berangkat pada 8 dan 10 Jun nanti.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.