Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

25 tutor terima Anugerah Skim Tuisyen MENDAKI tahun ini

Daripada 48 pencalonan kesemuanya, 25 orang tutor akhirnya dipilih untuk memenangi anugerah Skim Tuisyen MENDAKI (MTS) dalam satu Majlis Penghargaan yang diadakan pada Sabtu (9 Nov).

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 09 Nov 2019 10:00PM Dikemas Kini : 09 Nov 2019 10:06PM

SINGAPURA: Daripada 48 pencalonan kesemuanya, 25 orang tutor akhirnya dipilih untuk memenangi anugerah Skim Tuisyen MENDAKI (MTS) dalam satu Majlis Penghargaan yang diadakan pada Sabtu (9 Nov).

21 orang menerima anugerah Tutor Cemerlang manakala tiga orang dijulang sebagai Ketua Tutor Cemerlang.

Acara tahunan anjuran bersama Yayasan MENDAKI dan sayap latihannya, Mendaki SENSE itu memberi pengiktirafan kepada para tutor MTS yang mempamerkan kecemerlangan yang tinggi demi mendidik anak-anak Melayu/Islam yang menyertai program itu.

Pemilihan pemenang bukan sahaja dari pihak penganjur, malah pencalonan dari ibu bapa dan para pelajar turut diambil kira.

AZLAN BAHAROM PEMENANG ANUGERAH SUMBANGAN CEMERLANG

Hanya satu anugerah tertinggi dikeluarkan tahun ini iaitu Anugerah Sumbangan Cemerlang dan penerimanya ialah Encik Azlan Baharom, 55 tahun. Beliau merupakan Penyelia Pusat MTS di Sekolah Menengah Fuchun.

Beliau yang bertugas sebagai seorang guru mula menjadi tutor Skim Tuisyen MENDAKI sejak 1998. Secara konsisten Encik Azlan menyumbang lebih daripada skop tugas dan tanggungjawab yang ditetapkan ke atasnya.

Pernah satu ketika salah seorang tutor di Pusat MTS kendaliannya sedang sarat hamil. Demi memudahkan pergerakan rakan kerjanya itu, beliau bertindak untuk menukarkan bilik darjah tutor tersebut dari tingkat atas ke tingkat satu. Perwatakannya yang prihatin itu juga menjadikannya amat popular di kalangan para pelajar.

"Seharusnya ini adalah satu tugas yang murni dan sebagai seorang penyelia, bukan saja pekerjaan ini kita kerjakan tetapi satu tanggungjawab, amanah yang harus kita pikul dengan penuh dedikasi kerana ia dapat membuat sesuatu perubahan atau meningkatkan taraf kemajuan anak Islam, Melayu Singapura," kata Encik Azlan kepada BERITAmediacorp.

MOHD FAIZAL KHIDMAT SELAMA 6 TAHUN, MENANG 3 KALI

Bagi Encik Mohd Faizal Mohd Firoz, 46 tahun pula, keupayaan beliau sebagai Tutor MTS nampaknya terbukti hebat.

Dalam masa enam tahun sejak menjadi tutor MTS, beliau sudahpun merangkul tiga anugerah MTS. Sebelum ini beliau menjulang Anugerah Tutor Cemerlang (2013) dan Anugerah Ketua Tutor Cemerlang (2017). Tahun ini, beliau sekali lagi membawa pulang Anugerah Ketua Tutor Cemerlang.

Jadi, apakah rahsia kejayaannya?

"Tiada rahsia apa-apa. Cuma hasrat untuk berjaya dalam kerja saya menjadi pemacu untuk sentiasa mendorong saya untuk berbuat lebih hebat dari apa yang pernah saya lakukan sebelum ini," kongsi Encik Faizal, yang memimpin para tutornya untuk kelas-kelas peringkat sekolah rendah di Sekolah Menengah Tampines.

JAINAMBUNACHIER 'MUKA BARI' YANG MENGESANKAN

Seorang daripada pemenang Anugerah Tutor Cemerlang pula ialah Cik Jainambunachier Abdul Kader, 41 tahun.

Walaupun baru dua tahun menjadi tutor MTS, 'muka baru' dalam pengajaran bahasa Inggeris ini giat mengisi kelasnya dengan kegiatan menarik tetapi mencabar dan mengesankan.

"Saya memberikan diri saya jangkaan yang tinggi, sering mengikuti trend terkini, amalan dan sumber-sumber terbaik dalam arena pendidikan supaya menjadi guru yang lebih mahir dan efektif," kata Cik Jainambunachier, yang mengajar di dua sekolah di kawasan barat - Sekolah Menengah Jurong West dan Sekolah Menengah Unity.

RAHAYU TEKANKAN PERANAN 'AMAT PENTING' PARA TUTOR

Tetamu terhormat majlis, Anggota Parlimen GRC Jurong Cik Rahayu Mahzam, akur betapa peranan tutor "amat penting" dalam meningkatkan taraf pendidikan anak-anak Melayu.

"Selain daripada itu kerana hubungan rapat mereka dengan para pelajar, ini sememangnya dapat membantu mereka memberikan perangsang kepada anak-anak muda kita. Dan sebenarnya kita dapat melihat statistik yang menunjukkan bahawa anak-anak ini berasa motivasi apabila mereka ada hubungan yang baik dengan tutor mereka," ujar Cik Rahayu.

Kesemua pemenang Anugerah MTS membawa pulang trofi, sijil pencapaian dan wang tunai S$300 setiap seorang.

Majlis itu dihadiri seramai 230 individu meliputi para tutor, penyelia pusat dan rakan-rakan kerja MTS. 

Sumber : BERITA Mediacorp/SY/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan