25 pelajar cemerlang terima anugerah, dermasiswa S$36,000 Persatuan AlWehdah
Persatuan Arab, AlWehdah, memberikan anugerah dan dermasiswa bernilai S$36,000 kepada 25 pelajar tahun ini di majlis penyampaiannya pada Jumaat (28 Sep).
SINGAPURA: Persatuan Arab, AlWehdah, memberikan anugerah dan dermasiswa bernilai S$36,000 kepada 25 pelajar tahun ini di majlis penyampaiannya pada Jumaat (28 Sep).
Ini termasuk anugerah bagi pelajar yang meraih keputusan terbaik dalam kohortnya serta mereka yang menghasilkan tesis terbaik mengenai masyarakat Arab setempat.
Antara 25 penerima di majlis tersebut adalah Syed Hafiz Salim Alsree, penuntu di Politeknik Nanyang (NYP).
Minatnya terhadap dinamik bendalir atau 'fluid dynamics' yang sering digunakan dalam pembikinan kenderaan udara dan darat, berjaya membawa beliau ke podium sebagai penerima Anugerah Valedictorian AlWehdah.
Pelajar itu dipilih kerana muncul sebagai antara pelajar terbaik dalam jurusan Teknologi Aeroangkasa dan Aeronautik.
Atas kejayaannya itu, Syed Hafiz menerima hadiah wang tunai S$2,000 daripada persatuan Arab tersebut.
"Anugerah ini sangat bermakna sebab dapat berkongsi kepakaran saya kepada umum. Saya ingin membina kenderaan masa depan untuk kebaikan masyarakat," kata Syed Hafiz bila ditanya BERITAmediacorp.
Bagi mengiktiraf pula sumbangan ilmiah mengenai masyarakat Arab setempat, Hadiah Buku Alwehdah-Ameen Talib & Associates juga disampaikan bagi Tesis Terbaik.
Dua pemenangnya menerima $1,500 setiap seorang.
"Tesis saya mengenai bagaimana Land Acquisition Act memberi kesan kepada kekayaan orang Arab di Singapura," kongsi seorang penerima anugerah itu, Cik Shireen Naila Ramlee, siswi sarjana muda kewangan di Universiti Sains Sosial Singapura (SUSS).
"Saya selalu tertarik dengan golongan Arab di Singapura dan ini telah membuat saya memulakan tesis ini. Dengan ini saya amat gembira kerana Alwehdah menghargai usaha saya dan saya berharap ini akan memberi lebih motivasi kepada saya untuk membuat lebih banyak tesis pada masa akan datang."
Lagi 22 pelajar dari peringkat politeknik dan universiti sepenuh masa pula masing-masing menerima dermasiswa Alwehdah, bernilai S$1,000 dan S$2,000.
"Anugerah pelajaran seperti ini adalah penting sebab ia memberi motivasi kepada pelajar-pelajar kita dan ini adalah penting kerana ia satu motivasi untuk mereka menghadapi cabaran-cabaran adalah penting dan mereka tahu bahawa Alwehdah ada di belakang mereka memberi sokongan dan barangkali di masa akan datang, setelah mereka bekerja, mereka akan datang kembali ke organisasi ini untuk sama-sama memberi khidmat kepada masyarakat Arab di sini," kata Anggota Parlimen GRC Marine Parade Dr Fatimah Lateef.
Ini merupakan tahun kelima Persatuan AlWehdah memberikan anugerah dan dermasiswa kepada para pelajar Arab di Singapura.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.