25% murid Darjah 4 hingga 6 pernah dibuli: Kajian SG
Satu kajian baharu yang diterajui oleh seorang penyelidik di Institut Pendidikan Nasional (NIE) mendapati sekitar satu daripada empat murid sekolah rendah pernah dibuli, dengan sejumlah kecil berkata mereka adalah pembuli.
(Gambar: Instagram/Sgfollowsall)
Kajian itu dijalankan dengan kerjasama Persatuan Kanak-Kanak Singapura dan Universiti Nasional Singapura (NUS), menyusuli beberapa rakaman video yang tular di media sosial memaparkan kanak-kanak dan remaja diserang.
Kajian itu - yang belum diterbitkan lagi namun sudah dinilai rakan sejawatan - melibatkan 581 murid di peringkat sekolah rendah yang berusia sembilan hingga 13 tahun, bersama dengan salah seorang penjaga utama mereka.
Sekitar 23 peratus kanak-kanak yang ditinjau menjawab "ya" apabila ditanya jika mereka dibuli dalam tempoh dua hingga tiga bulan kebelakangan ini.
Kajian itu memberi tumpuan kepada murid-murid sekolah rendah di peringkat atasan disebabkan oleh tahap pendedahan lebih tinggi dalam kumpulan usia itu yang mengalami dibuli.
KANAK-KANAK DIBULI BERPALING KEPADA IBU BAPA DAHULU
Para pengkaji juga mendapati mangsa selalunya mendekati teman atau rakan sedarjah dan ibu bapa mereka dahulu, sebelum meminta bantuan dari guru atau kaunselor.
Ia merupakan satu dapatan yang mengejutkan, kata penyiasat utama kajian itu, Cheung Hoi Shan, yang merupakan seorang penolong profesor di jabatan psikologi dan pembangunan kanak-kanak & manusia di NIE.
"Kami selalunya menjangkakan murid-murid lebih terbuka untuk memberitahu guru mereka, kerana ia berada dalam konteks sosial yang sama di mana kejadian buli itu berlaku.
"Jika mereka dibuli di sekolah, tentu sekali, orang dewasa terdekat untuk mereka laporkan hal itu adalah guru di sekolah," katanya.
"Namun bukan itu yang berlaku. Pada hakikatnya, hanya sekitar 5 peratus murid melaporkan bahawa mereka mengadu kepada guru atau kaunselor."
Selaras dengan itu, kajian itu juga mendapati bahawa selepas mengambil kira sokongan dari keluarga, sokongan daripada teman tidak dapat mengurangkan dengan ketara kejadian buli dan kemungkinan menjadi mangsa.
Mereka yang melaporkan tidak dibuli atau menjadi pembuli mempunyai sokongan kuat daripada ibu bapa atau penjaga mereka.
Ini sekali gus menekankan peri pentingnya sokongan ibu bapa dalam kes buli dan bagaimana ia merupakan faktor penting bagi menghalang kanak-kanak daripada sama ada menjadi pembuli atau mangsa buli, demikian menurut kajian itu.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.