Skip to main content

Singapura

2.5 juta bayaran, urus niaga ATM tidak dapat dilakukan susuli gangguan khidmat DBS, Citibank

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Sekitar 2.5 juta bayaran dan urus niaga ATM tidak dapat dilakukan semasa berlakunya gangguan khidmat DBS dan Citibank bulan lalu, menurut Menteri Negara Perdagangan dan Perusahaan Alvin Tan di parlimen pada Isnin (6 Nov).

Sehingga 810,000 percubaan bagi mengakses platform perbankan digital kedua-dua bank itu juga gagal dilakukan antara 2.54 petang pada 14 Okt dengan 4.47 pagi keesokan harinya, kata Encik Tan, sambil menyifatkan kesan gangguan itu sebagai "meluas".

Khidmat bayaran dan perbankan online DBS dan Citibank mengalami gangguan, manakala mesin ATM DBS di sebilangan lokasi tidak dapat digunakan.

Gangguan itu berpunca daripada "isu teknikal" dengan sistem penyejukan di pusat data Equinix.

Suhu di pusat data itu meningkat melebihi julat operasi optimum, menyebabkan sistem teknologi maklumat (IT) kedua-dua bank itu terjejas.

Encik Tan berkata DBS dan Citibank mengaktifkan pelan pemulihan bencana IT dan pelan kesinambungan perniagaan dengan segera.

"Bagaimanapun, kedua-dua bank berdepan isu teknikal yang menghalangnya daripada memulihkan sistem yang terjejas itu sepenuhnya di pusat data sokongan masing-masing," kata beliau.

DBS terjejas oleh kesilapan konfigurasi pada rangkaian dan Citibank terjejas oleh isu ketersambungan.

Khidmat DBS dan Citibank dikembalikan secara beransur-ansur masing-masing bermula 8.21 malam dan 7.05 malam pada 14 Okt, tetapi hanya pulih sepenuhnya pada awal pagi 15 Okt.

DBS dan Citibank tidak berjaya menepati syarat Penguasa Kewangan Singapura (MAS) untuk memastikan keandalan sistem IT yang penting terhadap gangguan berterusan, kata Encik Tan.

MAS memerlukan bank untuk membangunkan pelan pemulihan bencana IT dan mengujinya dengan kerap.

Pihak bank juga mesti menjalankan latihan pemulihan bencana dengan pusat data sokongannya bagi memeriksa sistem dan khidmat penting boleh dikembalikan dalam masa empat jam selepas mengalami gangguan.

DENDA KE ATAS DBS

Minggu lalu, MAS mengumumkan DBS tidak dibenarkan membuat perubahan IT tidak penting atau membuka perniagaan baharu selama enam bulan.

MAS juga menyatakan DBS mesti mengekalkan saiz cawangannya dan rangkaian ATM miliknya buat masa ini, dan terus menggunakan pengganda 1.8 kali pada aset berlandaskan risiko bagi operasinya.

Meskipun institusi kewangan harus mengambil tindakan pantas sekiranya gangguan seumpama itu berlaku bagi mengurangkan kesulitan terhadap pelanggan, para pengguna juga harus bersiap sedia bagi gangguan tersebut, kata Encik Tan.

Semasa insiden gangguan itu berlaku pada 14 Okt, pelanggan yang dapat beralih kepada kaedah pembayaran alternatif, atau memiliki wang tunai kurang terjejas, dedahnya.

Tambahan itu, pengguna dan perniagaan harus sedar bahawa sebilangan orang mungkin tidak dapat membuat peralihan kepada pembayaran digital dengan lancar.
Sumber : CNA/IM/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita