Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

240 pelajar tidak lagi kerap ponteng sekolah setelah dibantu UPLIFT

Lebih 240 pelajar sekolah rendah dan menengah, yang dahulunya kerap 'ponteng' sekolah, kini didapati mempunyai rekod kehadiran lebih baik. 

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Lebih 240 pelajar sekolah rendah dan menengah, yang dahulunya kerap 'ponteng' sekolah, kini didapati mempunyai rekod kehadiran lebih baik.

Ini setelah mereka mendapat bantuan dari Pasukan Bertindak bagi Peningkatan Pelajar dalam Kehidupan dan Memberi Inspirasi kepada Keluarga, atau singkatannya UPLIFT.

Inisiatif yang dipimpin Menteri Kedua Pendidikan Dr Maliki Osman ini mengenal pasti para pelajar yang sering tidak hadir ke sekolah lalu mencari tahu apakah punca mereka berbuat sedemikian. UPLIFT mahu menangani masalah ponteng sekolah jangka panjang.

Pasukan itu kemudian menyediakan sokongan berdasarkan keperluan keluarga murid berkenaan. Ini dilakukan dengan menyelaraskan bantuan daripada sekitar 50 pertubuhan masyarakat.

Secara keseluruhan, UPLIFT sudah membantu lebih 300 pelajar sejak dirintis pada Januari tahun lalu. Bermakna ia sudah mencapai sasaran untuk mendekati 300 pelajar antara tahun 2020 hingga 2022.

Jumlah pelajar yang dilapor mempunyai rekod kehadiran lebih baik, membentuk sekitar 80 peratus pelajar yang didampingi UPLIFT.

"Kami melihat hasil yang sangat sangat positif. Apa yang terjadi kepada baki 20 peratus? Kes-kes sebegini sebenarnya sangat rumit. Kami masih berdepan masalah untuk mendekati (sebilangan) ibu bapa dan pelajar, (misalnya) mereka yang berpindah-randah," kata Dr Maliki yang juga merupakan Pengerusi UPLIFT.

"Kami akan terus mencuba mencari huraian bagi masalah dan cabaran-cabaran yang dihadapi 20 peratus kes ini," tambahnya.

SEKITAR 100 SEKOLAH KESEMUANYA AKAN DAPAT SUMBER TAMBAHAN

Menyusuli "kemajuan besar" projek rintis ini, usaha serupa bakal diperluaskan ke lebih banyak kawasan kejiranan termasuk Geylang Serai, Bedok dan Yishun.

Lebih banyak sekolah akan turut mendapat "sumber tambahan" untuk menyokong lebih baik pembelajaran para pelajar yang berdepan masalah keluarga. Sebagai contoh, 24 sekolah akan mendapat sehingga 5 guru 'baru' yang berupaya mengatur program-program intervensi.

"Di MOE kita mempunyai guru-guru yang sudahpun dilatih bukan sahaja dari segi kemahiran perguruan tetapi juga dilatih dari segi keupayaan untuk membimbing anak didik mereka.

"Dengan ini kita boleh 'redeploy' - kita boleh mengambil guru-guru daripada sekolah-sekolah yang mungkin tidak mempunyai keperluan yang tinggi dan kita akan menyalurkan mereka kepada sekolah-sekolah yang mempunyai keperluan lebih tinggi," terang Dr Maliki.

Selain para guru, MOE juga akan mengerahkan guru pembantu dan kaunselor ke sekolah-sekolah yang didapati mempunyai ramai pelajar yang berdepan pelbagai masalah keluarga.

Kesemuanya sekitar 100 buah sekolah dijangka mendapat sokongan tambahan khusus ini dan apabila dilaksanakan sepenuhnya, ini akan membantu 13,000 pelajar.

ANTARA PUNCA PELAJAR UPLIFT TIDAK KE SEKOLAH

Merenung kembali kes-kes yang ditangani UPLIFT sejauh ini, Dr Maliki berkata situasi yang dihadapi pelajar sering kali begitu kompleks. Namun, jarak antara tempat tinggal dengan sekolah merupakan antara faktor yang mudah mempengaruhi pilihan mereka untuk tidak ke sekolah.

(Gambar fail: TODAY) 

"Mereka sering bertukar alamat (tempat tinggal). Saya beri contoh... kadang-kadang keadaan keluarga itu tiba-tiba berubah - mungkin bapanya dipenjara lalu si ibu perlu jaga tiga orang anak bersendirian. Dan mungkin kerana itu, keluarga ini terpaksa berpindah, tinggal bersama datuk dan nenek untuk menyokong keluarga tersebut," kata Dr Maliki dalam satu wawancara dengan pihak media secara online bagi berkongsi renungannya mengenai perkembangan UPLIFT.

Dr Maliki juga melihat beberapa kes di mana pelajar ponteng sekolah kerana terpaksa menjaga adik-adik mereka yang masih sangat kecil, sedang ibu bapa mereka keluar bekerja.

"Dalam keadaan sedemikian, kita melihat bagaimana keluarga ini boleh dibantu secara menyeluruh. Misalannya, kita boleh membantu mereka mendapatkan tempat di pusat-pusat tajaka."

Bagi kes-kes di mana keluarga pelajar sukar dihubungi pula, UPLIFT akan berganding bahu dengan agensi lain seperti Khidmat Perlindungan Kanak-Kanak di Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF) untuk memastikan kebajikan kanak-kanak terpelihara.

Yang pasti, UPLIFT terus memantau perkembangan para pelajar di bawah programnya. Ia juga berharap, lebih banyak data dapat dikumpul untuk dijadikan sebagai rujukan pada masa akan datang.

"Hasil yang kita lihat sejauh ini bersifat kualitatif kerana para pelajar dikenal pasti berdasarkan keperluan masing-masing. Ia mungkin dari segi pendapatan keluarga ataupun masalah keluarga yang mereka hadapi. Kemudian ada yang menunjukkan tanda-tanda tingkah laku berlainan. Jadi kita memantau dari segi aspek-aspek yang berbeza," ujar Dr Maliki lagi. 

Sumber : BERITA Mediacorp/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan