Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

240 flat mesra warga emas dilancarkan di Queenstown Nov ini

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Sekitar 240 flat Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB), dengan ciri reka bentuk mesra warga emas, akan ditawarkan di Queenstown dalam pelancaran projek-projek Bina Ikut Tempahan (BTO) pada November ini.

Apartment Jagaan Masyarakat (CCA) itu akan menyediakan perumahan mesra warga emas dengan khidmat jagaan yang boleh disesuaikan berdasarkan keperluan individu.

Ini bertujuan bagi menghulurkan sokongan lebih baik kepada warga emas untuk menua secara berdikari dalam masyarakat, menurut Kementerian Pembangunan Negara (MND), Kementerian Kesihatan (MOH) dan HDB dalam satu lembaran fakta bersama pada Khamis (27 Okt).

Projek tersebut merupakan perintis CCA yang kedua. Projek perintis pertama, dilancarkan di Bukit Batok pada Februari 2021, mencatat kadar permohonan 4.2 pemohon bagi setiap unit.

Flat-flat di Queenstown itu adalah sebahagian daripada pembangunan BTO Queensway Canopy, yang terletak bersebelahan blok-blok flat tiga bilik dan empat bilik.

Menurut pihak-pihak berkuasa, integrasi terancang itu adalah untuk menggalakkan ikatan silang generasi selain mewujudkan masyarakat yang lebih inklusif dan memupuk interaksi masyarakat

Daerah Kesihatan @ Queenstown, di mana terletaknya Queensway Canopy, adalah tapak di mana HDB, Universiti Nasional Singapura (NUS), rakan-rakan kongsi jagaan kesihatan seperti Sistem Kesihatan Universiti Nasional (NUHS) dan pertubuhan akar umbi tempatan bekerjasama untuk merintis strategi-strategi baru dalam mewujudkan persekitaran terbina yang mengalakkan gaya hidup sihat serta aktif dan penuaan sihat.

Hospital Alexandra yang terletak berdekatan juga akan akan membolehkan khidmat perubatan dan jagaan kesihatan untuk disertakan ke dalam khidmat jagaan bagi para penduduk.
CIRI-CIRI FLAT

Setiap unit CCA akan dilengkapi dengan kelengkapan mesra warga emas, termasuk susur tangan, bilik air yang boleh diakses menggunakan kerusi roda dengan lantai tahan gelincir serta pintu utama yang lebar serta mesra kerusi roda.

Setiap unit CCA akan dipadankan dengan khidmat penting supaya warga emas boleh hidup secara berdikari dengan bantuan jagaan kesihatan, sekiranya diperlukan. Khidmat-khidmat tersebut termasuk pemantauan dan respons kecemasan 24 jam serta pemeriksaan asas kesihatan.

Warga emas yang memerlukan bantuan bagi kegiatan seharian atau khidmat isi rumah, seperti penghantaran makanan, khidmat dobi dan perkemasan, boleh mengambil perkhidmatan sedemikian pada kos tambahan.

KRITERIA KELAYAKAN

Untuk memohon, para pemohon mesti berusia 65 tahun dan ke atas. Mereka boleh memilih pajakan antara 15 hingga 35 tahun, dalam kenaikan lima tahun, selagi ia meliputi kedua-dua pemohon dan pasangannya sehingga mereka berusia sekurang-kurangnya 95 tahun.

Peruntukan flat akan diutamakan kepada warga emas yang mempunyai keperluan penjagaan, di mana sekurang-kurangnya seorang pemohon atau penghuni memerlukan bantuan tetap dengan kegiatan kehidupan seharian.

Purata pendapatan kasar bulanan isi rumah tidak boleh melebihi S$14,000. Pemohon yang memiliki hartanah privet atau flat HDB mesti melepaskan hartanah itu dalam tempoh enam bulan selepas mengambil kunci bagi flat CCA mereka.

Mereka yang pernah meraih manfaat daripada dua subsidi perumahan sebelum ini dan sudah membeli apartmen studio atau flat flexi dua bilik dengan tempoh pajakan pendek, tidak layak untuk memohon bagi CCA.

Orang ramai boleh mengunjungi pameran mengenai projek CCA di Hab HDB dari 28 Oktober hingga 31 Mac 2023.
Sumber : CNA/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan