Skip to main content

Singapura

24 murid, 2 kakitangan alami gejala radang perut di PCF Sparkletots Mountbatten

Anggaran Waktu Membaca:
 24 murid, 2 kakitangan alami gejala radang perut di PCF Sparkletots Mountbatten

Sebuah prasekolah PCF Sparkletots. (Gambar fail: CNA/Ili Nadhirah Mansor)

Diterbitkan : 27 Aug 2025 05:13PM Dikemas Kini : 27 Aug 2025 06:03PM
SINGAPURA: Pihak berkuasa sedang menyiasat kes yang disyaki melibatkan radang perut (gastroentritis) dilaporkan di PCF Sparkletots Preschool di Mountbatten Blok 92.

Setakat sehingga Isnin (25 Ogos), 24 pelajar dan dua kakitangan dilaporkan mengalami gejala radang perut sejak Sabtu (23 Ogos), menurut Agensi Penyakit Berjangkit (CDA), Agensi Pembangunan Awal Kanak-Kanak (ECDA), dan Agensi Makanan Singapura (SFA) dalam kenyataan bersama pada Rabu (27 Ogos).

Tiada yang dimasukkan ke hospital dan semua pelajar serta kakitangan yang terjejas kini pulih dan sudahpun kembali ke prasekolah pada Selasa, menurutnya.

ECDA menyatakan ia sedang memantau keadaan dan bekerjasama dengan pengendali prasekolah untuk memastikan kesejahteraan kanak-kanak.

Prasekolah itu juga diingatkan supaya memastikan pematuhan kepada garis panduan pencegahan dan kawalan jangkitan yang berkaitan, menurut agensi itu.

PCF Sparkletots Preschool memberitahu Mediacorp pada Selasa bahawa pihaknya sedar tentang kejadian itu.

"Kesihatan dan keselamatan anak-anak kami kekal sebagai keutamaan kami, dan kami sedang menyiasat perkara ini dengan berwaspada," menurut prasekolah itu.

"PCFSP komited kepada kesejahteraan setiap kanak-kanak di bawah jagaan kami dan akan terus berwaspada dalam perkara ini."

Prasekolah dikehendaki mematuhi keperluan kebersihan makanan yang dinyatakan dalam kod-kod amalan ECDA.

SFA bekerjasama rapat dengan ECDA untuk mengukuhkan amalan keselamatan yang baik dalam prasekolah, menurut pihak berkuasa.

"Keselamatan makanan adalah tanggungjawab bersama. Walaupun SFA meletakkan dan menguatkuasakan langkah-langkah pengawalseliaan, pengendali makanan mesti memainkan peranannya dengan mematuhi amalan keselamatan makanan yang baik," tambahnya.

"SFA tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap pengendali makanan yang melanggar peraturan."
Sumber : CNA/AT/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita