Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

24% anggota masyarakat Melayu/Islam sudah gunakan Kredit SkillsFuture

Sekitar 83,000 atau satu daripada setiap empat anggota masyarakat Melayu/Islam berusia 25 tahun ke atas sudah menggunakan Kredit SkillsFuture mereka sejak program itu diperkenalkan pada 2015.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Sekitar 83,000 atau satu daripada setiap empat anggota masyarakat Melayu/Islam, yang berusia 25 tahun dan ke atas yang mendapat Kredit SkillsFuture, sudah menggunakan kredit mereka sejak program itu diperkenalkan pada 2015.

Jumlah itu, menurut Menteri Kedua Pendidikan merangkap Ehwal Luar Dr Mohamad Maliki Osman, adalah satu "perkembangan yang baik" dan menunjukkan mereka "benar-benar ingin mempertingkatkan kemahiran" termasuk dalam bidang ekonomi baru.

Dr Maliki berkata demikian kepada BERITAmediacorp selepas sesi dialog online anjuran bersama MENDAKI dan Institut Pengajian Dasar (IPS).

Sesi dialog yang merungkai topik 'Developing a Resilient Community through Lifelong Learning' (Membangunkan Masyarakat Berdaya Bingkas menerusi Pembelajaran Sepanjang Hayat) itu adalah yang kedua dianjurkan, dengan yang pertama adalah pada 2019.

Ia bertujuan mendampingi anggota masyarakat Melayu/Islam bagi membincangkan isu-isu dasar.

Dialog tersebut diadakan sebagai sebahagian daripada program Bulan Raikan Ilmu MENDAKI.

Dalam ucapannya di sesi itu, Dr Maliki menekankan bahawa "belajar dan belajar semula adalah satu norma". Ini sedang rakyat Singapura mempersiapkan diri bagi masa depan yang tidak menentu - masa depan yang akan terus-menerus mencabar namun sarat dengan pelbagai peluang.

ANGGOTA MASYARAKAT MELAYU/ISLAM PILIH KURSUS RELEVAN

Dengan perkembangan baik, iaitu sekitar 83,000 anggota masyarakat Melayu/slam yang sudah memanfaatkan Kredit SkillsFuture mereka, Dr Maliki berharap, lebih ramai yang akan ikut jejak mereka.

"Yang penting ialah mesej kita ajukan pada hari ini - pembelajaran sepanjang hayat adalah sesuatu yang ingin kita cuba terapkan dalam naluri setiap anggota masyarakat kita kerana ia merupakan salah satu aspek yang akan dapat menjamin masa depan yang lebih baik. Bukan saja untuk anak-anak muda kita tetapi juga para pekerja dewasa kita, para pekerja mapan kita," Dr Maliki memberitahu BERITAmediacorp.

Beliau menambah, kursus-kursus yang diikuti mereka yang sudah menggunakan Kredit SkillsFuture mereka juga merupakan kursus-kursus yang relevan - seperti infokom dan keselamatan.

Menurut Dr Maliki lagi, bidang-bidang tersebut akan membuka peluang pekerjaan dalam industri-industri baru.

"Kesedaran sudah mula wujud di kalangan anggota masyarakat kita bahawa inilah kursus-kursus yang membawa kepada peluang pekerjaan baru di industri-industri baru seperti infokom, seperti keselamatan, dan selain daripada Kredit SKillsFuture kita juga sudahpun melihat ramai di antara mereka berkecimpung dalam SGUnited Skills," kata Dr Maliki.

SGUnited Skills atau Kemahiran SGUnited adalah kursus atau rancangan yang pemerintah lakarkan untuk membantu mereka yang mungkin kehilangan pekerjaan, untuk mendapatkan pekerjaan atau latihan menerusi kemahiran baru dan diberi elaun sedang mereka mengikuti kursus tersebut.

"Ramai yang mungkin ragu-ragu pada permulaan. Takut sama ada jika mereka melangkah ke arena baru tidak tahu sama ada mereka akan berjaya atau akan terdapat pekerjaan tersebut. Kita tahu pasca COVID, akan terdapat industri-industri yang terus berkembang dan mewujudkan pekerjaan-pekerjaan baru dan kami harap lebih ramai lagi di antara para pekerja kita mengikuti kursus-kursus yang sedia ada, yang dapat memberi jaminan tersebut," kata Dr Maliki.

TINJAUAN: RESPONDEN CENDERUNG BEKERJA DALAM SEKTOR STABIL

Di sesi dialog itu, MENDAKI mendedahkan hasil tinjauan yang dijalankan ke atas sekitar 200 responden berusia antara 15 dengan 35 tahun.

Tinjauan itu dijalankan antara hujung bulan Ogos 2020 dengan pertengahan September 2020.

Ia menunjukkan bahawa para responden percaya mereka boleh mendapat pekerjaan lebih baik jika terus mempertingkatkan kemahiran.

Mereka juga lebih cenderung untuk bekerja dalam sektor yang dilihat stabil dalam keadaan ekonomi tidak menentu.

"Pekerja-pekerja muda bawah umur 35 tahun berura-ura untuk meningkatkan pelajaran mereka sepanjang hayat. Itu adalah satu perkembangan yang baik sekali dan kita dari segi MENDAKI kita akan menolong mereka," kata Pengurus Kanan Kajian dan Perancangan, Yayasan MENDAKI, Muhammad Faisal Aman.

Sokongan yang akan diberikan oleh MENDAKI termasuk menerusi wadah-wadah seperti bidang tumpuan keempat M³ (FA4), MENDAKI Sense dan juga inisiatif-inisiatif nasional.

Encik Faisal menambah bahawa dapatan tinjauan itu juga menunjukan bahawa sembilan daripada 10 pekerja bawah usia 35 tahun percaya dengan peningkatan kemahiran, ia akan membuka peluang mendapatkan pekerjaan. Selain sektor awam dan pembelajaran, tinjauan mendapati sektor IT dan perbankan menarik perhatian mereka.

Mengulas tentang dapatan tinjauan MENDAKI itu, Dr Maliki menyifatkannya sebagai "memberangsangkan" dan memberi harapan kepada para responden bahawa mereka boleh mencari pekerjaan baru.

"Ini adalah satu mesej untuk semua anggota masyarakat kita. Bagi para penuntut kita misalnya, kita juga harus melihat bahawa pembelajaran sepanjang hayat adalah sesuatu yang harus mereka terap dalam naluri mereka pada awal lagi. Dan kami harap dalam meningkatkan kemahiran, mereka sedar bahawa mereka bukan sahaja mengejar ijazah tetapi mengejar kemahiran," kata Dr Maliki.

Sesi dialog MENDAKI-IPS ini diikuti 100 peserta dari pelbagai segmen masyarakat termasuk belia, wakil kementerian, pusat-pusat kajian dan pertubuhan-pertubuhan Melayu/Islam.  

Sumber : BERITA Mediacorp/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan