234 didenda langgar langkah COVID-19 di taman, pantai semasa tempoh Tahun Baru Cina
Seramai 234 orang didenda kerana melanggar langkah COVID-19 di taman dan pantai sepanjang dua hujung minggu semasa tempoh perayaan Tahun Baru Cina.
SINGAPURA: Seramai 234 orang didenda kerana melanggar langkah COVID-19 di taman dan pantai sepanjang dua hujung minggu semasa tempoh perayaan Tahun Baru Cina.
Para individu itu didenda S$300 setiap seorang kerana melanggar langkah COVID-19, termasuk perhimpunan dalam kumpulan-kumpulan melebihi lapan orang dan pergaulan antara kumpulan-kumpulan, menurut Kementerian Kemampanan dan Alam Sekitar pada Rabu (24 Feb).
Di Taman Pantai Changi, 76 individu didenda termasuk 20 yang didapati berhimpun dalam satu kumpulan.
Semua kesalahan itu berlaku pada 13, 14, 20 dan 21 Feb di taman dan pantai yang diuruskan oleh Lembaga Taman Negara.
LEBIH BANYAK CAWANGAN F&B DIDENDA, DIARAHKAN TUTUP
Cawangan-cawangan makanan dan minuman (F&B) juga diarahkan tutup kerana melanggar garis panduan COVID-19.
Club One Min di Concorde Shopping Mall didapati membenarkan perhimpunan lebih lapan individu dan menyediakan pelayan-pelayan yang berinteraksi dengan para pelanggan pada 19 Feb.
Lembaga Pelancongan Singapura sudah mengeluarkan arahan yang mewajibkan pengendali itu menutup operasi untuk 20 hari dari 20 Feb hingga 11 Mac, termasuk kedua-dua tarikh. Ini adalah kesalahan kedua kedai itu. Sebelum ini, ia ditutup untuk 10 hari dari 20 Dis hingga 29 Dis kerana membenarkan perhimpunan lebih lapan individu.
Pihak pemerintah memandang serius pelanggaran peraturan oleh pengendali itu dan siasatan sedang dijalankan, menurut MSE.
Tiga kedai lain didenda kerana membenarkan para pelanggan untuk minum arak selepas pukul 10.30 malam.
Food Park Coffeeshop di 69 Bedok South Avenue 3 didapati membenarkan para pelanggan untuk minum arak selepas waktu yang dibenarkan pada 14 Feb. Agensi Makanan Singapura telah mengeluarkan arahan yang mewajiibkan pengendali itu untuk menutup operasi selama 10 hari dari 19 Feb hingga 28 Feb.
Jin Jin Eating House di 496 North Bridge Road dan 200 HCM Food di 200 Joo Chiat Road masing-masing melanggar peraturan pada 19 Feb dan 20 Feb. Penguasa Pembangunan Semula Bandar (URA) mengeluarkan arahan tutup operasi kepada kedua-dua pengendali untuk 10 hari dari 23 Feb hingga 4 Mac.
Sebanyak 13 cawangan F&B juga didenda S$1,000 setiap satu kerana para pelanggan duduk pada jarak kurang 1 meter antara satu sama lain dan gagal mengelakkan pergaulan antara para pelanggan.
Cawangan-cawangan itu termasuk tiga kedai makanan di pusat beli-belah Waterway Point di Punggol - Yayoi Japanese Teishoku Restaurant, Kuriya Japanese Market dan Rong Hua Bak Kut Teh.
Beberapa restoran popular di Orchard Road juga didenda. Restoran-restoran itu adalah Basil Thai Kitchen dan Imperial Treasure Super Peking Duck di Paragon, East Ocean Teochew Restaurant di Ngee Ann City, Donpachi Sake Bar di Cuppage Plaza dan Shi Li Fang di Orchard Central.
Cawangan-cawangan F&B lain adalah Foresta Restaurant di The Grandstand, Steak Me Restaurant di Jalan Kayu, Kopi Breweries di Jurong West, Three’s A Crowd Cafe di Race Course Road and Lluvia di Telok Ayer.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.