Skip to main content

Singapura

233 sampel swab COVID-19 'dibuang secara tidak sengaja' sebelum diuji akibat 'kelemahan' Quest Laboratories

Sebanyak 233 sampel ujian swab COVID-19 "dibuang secara tidak sengaja" sebelum sampel-sampel itu dapat diuji dalam satu insiden yang dikaitkan dengan "kelemahan pada proses pematuhan", menurut sebuah makmal privet pada Isnin (12 Okt).

Anggaran Waktu Membaca:
233 sampel swab COVID-19 'dibuang secara tidak sengaja' sebelum diuji akibat 'kelemahan' Quest Laboratories

(Gambar: AFP)

Diterbitkan : 12 Oct 2020 11:10PM Dikemas Kini : 12 Oct 2020 11:15PM

SINGAPURA: Sebanyak 233 sampel ujian swab COVID-19 "dibuang secara tidak sengaja" sebelum sampel-sampel itu dapat diuji dalam satu insiden yang dikaitkan dengan "kelemahan pada proses pematuhan", menurut sebuah makmal privet pada Isnin (12 Okt).

Quest Laboratories mengumpul sampel-sampel tersebut daripada klinik-klinik di merata Singapura di bawah program Swab-and-Send-Home, menurut makmal itu dalam kenyataan medianya.

"Isu itu hanya diketahui oleh pihak makmal itu dua hari kemudian apabila klinik-klinik tersebut mula menghubungi makmal berkenaan bagi mendapatkan hasil ujian pesakit mereka," dedah kenyataan tersebut.

Quest Laboratories memaklumkan Kementerian Kesihatan (MOH) mengenai insiden tersebut pada 9 Okt, menurut kementerian itu dalam satu kenyataan yang berasingan. Ia juga menyatakan bahawa klinik itu sudah mengesahkan bahawa tiada sampel ujian swab lain yang terjejas.

Setakat sehingga Ahad (11 Okt), seramai 102 pesakit yang terjejas sudah diuji, dengan kesemuanya diuji negatif COVID-19, menurut Quest Laboratories. Kesemua klinik yang terjejas juga sudah dimaklumkan.

KELEMAHAN PADA PEMATUHAN, KAKITANGAN AKAN DIKENAKAN TINDAKAN DISIPLIN

Siasatan terhadap insiden itu mendedahkan dua kelemahan pada pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang melibatkan cara menangani dan menghapuskan sampel-sampel ujian, menurut Quest Laboratories.

"Kelemahan pertama adalah berkaitan dengan penyerahan sampel dari pihak penghantar kepada kakitangan yang menerima sampel berkenaan. Ia berlaku pada masa yang sama ketika kakitangan makmal sedang membuang sampel-sampel lama," dedah kenyataan tersebut.

Kelemahan kedua pula melibatkan tindakan kakitangan makmal "membuang sampel di kawasan menerima sampel, menyebabkan sejumlah sampel yang belum diuji dibuang," tambah kenyataan itu lagi.

MOH menegaskan bahawa ia "memandang serius" terhadap insiden itu dan sedang bekerjasama dengan makmal tersebut bagi memaklumkan klinik-klinik dan menghubungi para pesakit yang terjejas supaya kembali ke klinik masing-masing untuk menjalani ujian swab sekali lagi.

"Kami sedang menyiasat perkara ini dan akan bekerjasama dengan makmal itu bagi melaksanakan langkah-langkah pembetulan dan pencegahan sewajarnya bagi memastikan kejadian sedemikian tidak akan berlaku lagi," menurut MOH.

MOH menambah ia akan mengambil tindakan yang sewajarnya terhadap makmal itu jika siasatan mendapati terdapat sebarang pelanggaran pada peraturan yang ditetapkan.

"Kami juga ingin mengingatkan makmal berlesen yang lain tentang betapa pentingnya untuk memastikan para kakitangan menjalani latihan yang betul dan mematuhi SOP," menurut MOH.

Quest Laboratories menyatakan kesemua kakitangan yang relevan sudahpun dimaklumkan tentang isu yang menyebabkan kejadian itu dan kesannya, dengan kakitangan terbabit akan dikenakan tindakan disiplin.

Makmal itu turut mendedahkan bahawa langkah-langkah untuk memperbaiki cara mengendalikan dan menghapuskan sampel juga sudah dilaksanakan.

"Bekas untuk menerima sampel yang dihantar kini mempunyai kod warna dan ia berbeza daripada bekas-bekas yang digunakan untuk membuang sampel bagi mengelakkan berlaku sebarang kekeliruan antara sampel-sampel yang belum diuji dan sudah diuji dan sampel-sampel untuk dibuang," menurut makmal itu.

Ia menambah: "Kami memperkenalkan langkah-langkah pengesahan kedua di mana kesemua sampel yang ingin dibuang perlu disahkan dan ditandatangani oleh dua orang individu."

"Kami benar-benar sangat menyesali atas kelemahan pada sistem kami," kata Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Quest Laboratories Ginny Foo, sambil menambah bahawa semakan untuk mengetatkan lagi "rantaian penjagaan" makmal itu dan tugas melatih semula kakitangan juga sudah mula dijalankan.

Cik Foo menegaskan bahawa keutamaan makmal itu adalah bagi memastikan sampel-sampel yang terjejas dapat menerima status ujian COVID-19 mereka tanpa berlengah lagi.

Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita