Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

23% rayuan diterima HDB daripada pemilik flat gagal jual flat dek EIP adalah orang Melayu

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Sejak tiga tahun lalu, sekitar suku daripada rayuan yang diterima HDB daripada pemilik flat yang gagal menjual flat mereka kerana peraturan Dasar Integrasi Kaum (EIP), adalah pemilik rumah Melayu.

Demikian dedah Menteri Negara Pembangunan Negara (MND) Dr Faishal Ibrahim dalam satu wawancara susulan bagi mengulas pengumuman pemerintah semalam (8 Mac). 

Menteri MND Desmond Lee semalam menyatakan para pemilik flat yang menghadapi kesukaran untuk menjual flat mereka kerana terhalang oleh kuota EIP kini boleh menjual balik flat mereka kepada Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) pada "harga yang wajar".

Pada tahun lalu sahaja, sebanyak 440 rayuan diterima HDB daripada para pemilik akibat peraturan tersebut.

"Kalau kita lihat pada 2019, 630 rayuan telah diketengahkan. Ini membentuk 3 peratus daripada keseluruhan permohonan penjualan rumah yang dibuat tahun lalu.

faishal

"Jumlah ini menurun pada tahun lalu kepada 440 di mana peratusannya juga menurun kepada 1 peratus daripada jumlah iaitu 30,000 permohonan dalam pasaran jualan semula. Di kalangan mereka adalah pemilik Melayu di mana 23 peratus rayuan dibuat oleh pemilik Melayu," kata Dr Faishal.

EIP diperkenalkan pada 1989 di mana kuota kaum diterapkan pada setiap blok HDB atau kejiranan. Apabila had kuota sesuatu kaum dicapai, pemilik flat tidak boleh menjual flatnya kepada kaum etnik berkenaan dalam usaha mewujudkan suasana berbilang kaum.

Inilah yang membuatkan sebilangan pemilik flat tidak dapat menjual flat mereka, perlu menunggu lama untuk menjual flat mereka atau berdepan dengan permintaan harga lebih rendah dari pelanggan.

PERKONGSIAN PEMILIK RUMAH TERKEKANG EIP

Antara pemilik rumah yang sangat mengalu-alukan kelonggaran terbaru itu ialah Cik Suhana Suhaimi.

Ibu seorang anak itu sudah berhasrat menjual menjual rumah "Maisonette Eksekutif" di Aljunied sejak tahun 2016 lagi.

Beliau yang kini masih dalam proses menjual rumahnya itu akur berdepan dengan pelbagai masalah gara-gara peraturan tersebut.

"Masalahnya ialah kaum minoriti selalu ada persepsi bahawa rumah yang dikenakan EIP ini tidak akan dapat dijual dengan harga yang kompetitif di pasaran berbanding rumah yang tidak dikenakan EIP. Kemudian, bangsa yang selalunya tidak terhad kepada isu EIP mampu membayar harga yang tinggi di pasaran. 

"Dan kerana bilangan kaum minoriti ini kecil, agak sukar untuk kita menjual dengan masa yang cepat berbanding rumah yang tidak dikenakan EIP," luah beliau.

Lantaran itu pengumuman yang dibuat HDB semalam, jelas dapat membantu golongan seperti Cik Suhana.

Meskipun akur ia suatu "inisiatif yang baik" dan "tepat", beliau tidak menafikan masih ada keraguan terhadap kelonggaran terbaru itu.

"Ia akan membantu lebih-lebih lagi golongan yang perlu menjual atas sebab-sebab tertentu ataupun yang terdesak atas sebab kewangan atau masalah kesihatan. 

"Tetapi saya tidak berapa konfiden tentang syarat di mana ia akan dibeli dengan harga ‘fair price’. Saya berharap harga itu memadai ataupun kompetitif dengan harga pasaran dan bukannya harga yang mendatangkan kerugian pada penjual," kongsi beliau.

EJEN HARTANAH ALU-ALUKAN KELONGGARAN TERBARU

Ejen-ejen hartanah yang ditemui juga rata-rata mengalu-alukan kelonggaran terbaru itu dan akur bahawa pengumuman ini begitu melegakan para pemilik flat yang terhimpit dalam situasi tersebut.

Ejen hartanah Nona Kirana sendiri pernah berdepan lebih 15 kes sedemikian, malah pernah menjadi 'ejen keempat' yang cuba menjual sebuah rumah yang sukar dijual dek peraturan EIP.

nona kirana

Nona berkata: "Beliau kata jual sajalah asalkan dapat pembeli. Dan bayangkan kalau pada masa makcik itu nak jual ada skim sebegini disebabkan usia tuanya, beliau merasakan rumah itu terlalu besar, beliau harus pindah ke rumah lebih kecil berdekatan dengan anak-anak. 

"Kalau skim ini ada dua tiga tahun yang lalu, saya rasa dapat memudahkan proses makcik itu untuk pulangkan sahaja pada HDB kerana pada beliau ada keperluan baginya untuk menjual rumah besar tersebut."

Berkongsi sentimen yang sama, ejen hartanah Azhar Sulaiman pula berkata beliau pernah mengambil masa beberapa tahun untuk membantu seorang pemilik menjual flat yang tertakluk di bawah peraturan tersebut.

azhar sulaiman

"Yang paling lama saya pernah menjual satu rumah EIP ini ialah empat tahun lebih - nak dekat lima tahun. Jadi tentu sekali EIP adalah masalahnya. Tapi tentunya ada masalah lain juga, macam (rumah) dia tingkat dua, menghadap tong sampah, dan harga rumah dia pun agak tinggi. Jadi kalau dah kena EIP, makin susah.

"Saya harap HDB tak akan beli harga rumah itu dengan murah sangat. Harap-harap ia memadai dengan pasaran," kata beliau.

Dr Faishal memberi jaminan seorang penilai hartanah yang bertauliah akan dilantik bagi menilai flat tersebut dan HDB akan menawarkan harga yang wajar kepada pemilik rumah itu.

"Setiap flat atau rumah itu adalah unik dari segi lokasi, dari segi saiznya dan juga dari segi aspek-aspek dalaman flat itu tapi kita mahu menjamin kepada pemilik-pemilik rumah flat ini, bahawa harga yang kita beli adalah padat dan juga mengikuti prinsip-prinsip penilaian yang sedia ada," jelas beliau.

Pemerintah semalam menyatakan, permintaan untuk menjual balik sesebuah flat akan dinilai berdasarkan "kes demi kes".

Pemiliknya hendaklah sudah tinggal di flat berkenaan selama sekurang-kurangnya 10 tahun dan sudah benar-benar cuba menjual flatnya di pasaran terbuka pada harga yang wajar.

Harga yang wajar itu misalnya termasuklah merujuk kepada harga jual beli flat-flat serupa dalam lingkungan 200 meter flat yang mahu dijual.

Sumber : BERITA Mediacorp/IM/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan