23 pameran bergerak diadakan untuk dampingi warga Generasi Merdeka
Mulai bulan ini, sejumlah 23 pameran bergerak masyarakat akan diadakan untuk mendampingi warga senja yang layak menerima Pakej Generasi Merdeka.
SINGAPURA: Mulai bulan ini, sejumlah 23 pameran bergerak masyarakat akan diadakan untuk mendampingi warga senja yang layak menerima Pakej Generasi Merdeka. Demikian menurut Perdana Menteri Lee Hsien Loong di Pameran Bergerak Generasi Merdeka yang diadakan buat julung-julung kalinya di Kolej Tengah ITE pada Ahad (2 Jun).
Semasa acara tersebut, Encik Lee turut mengagihkan fail Pakej Generasi Merdeka kepada 50 penduduk yang merupakan antara sekitar 500,000 warga senja yang layak menerima pakej itu.
Di pameran-pameran bergerak sedemikian, yang akan diadakan di estet-estet kejiranan seperti Bukit Gombak, Jurong West dan Sengkang, warga senja boleh mendapatkan khidmat rujukan daripada Duta Generasi Warga Emas. Mereka dapat mempelajari tentang manfaat-manfaat pakej tersebut serta skim jagaan yang lain.
Malahan, mereka juga boleh memenangi hadiah sekiranya mereka ikut serta dalam aktiviti-aktiviti, permainan dan persembahan untuk memaparkan pemahaman mereka mengenai pakej tersebut.
Selain itu, terdapat beberapa pondok astaka yang disediakan oleh Persatuan Rakyat dan Lembaga Penggalakan Kesihatan (HPB) untuk menggalak warga tua untuk mengambil bahagian dalam program-program meniti usia penuaan secara aktif. Mereka akan ditawarkan akses kepada kemudahan-kemudahan Sport Singapore's ActiveSG dan program-program pada kadar yang istimewa.
Pejabat Negara Bijak dan Pemerintah Digital (SNDGO) dan Penguasa Pembangunan Infokom Media (IMDA) juga akan berada di pameran bergerak untuk membimbing warga senja mengenai khidmat digital pemerintah dan memberikan tip-tip celik digital.
Mulai Julai ini, warga senja Generasi Merdeka akan menerima tokokan S$200 pertama kepada akaun Medisave mereka. Mereka juga boleh mendapatkan tokokan S$100 pada kad Warga Emas PAssion yang boleh digunakan untuk membayar yuran kursus-kursus dan kemudahan di kelab-kelab masyarakat.
Sekitar 8,300 bahan maklumat Pakej Generasi Merdeka yang merangkumi kad-kad Generasi Merdeka sudah diberikan di acara-acara serata negara hari ini.
Warga senja lain yang layak akan menerimanya dalam acara-acara masyarakat akan datang atau menerusi pos mulai akhir Jun sehingga hujung Julai.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.