Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

23,000 pemandu kereta sewa privet belum dapatkan lesen vokasional

Tinggal seminggu sahaja sebelum tarikh tutup, namun 23,000 pemandu privet belum mendapatkan lesen vokasional mereka.

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 22 Jun 2018 01:39PM Dikemas Kini : 22 Jun 2018 08:40PM

SINGAPURA: Tinggal seminggu sahaja sebelum tarikh tutup, namun 23,000 pemandu privet belum mendapatkan lesen vokasional mereka.

Demikian menurut Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) hari ini (22 Jun).

Mereka yang gagal mendapatkan Lesen Vokasional Pemandu Kereta Sewa Privet (PDVL) sebelum 30 Jun tidak akan dibenarkan menawarkan khidmat kereta sewa selepas tarikh itu.

Para pemandu terjejas hanya memiliki Kebenaran untuk Memandu (ATD), yang membolehkan mereka menawarkan khidmat sehingga 30 Jun. Mereka dalam kalangan 42,900 pemandu kereta sewa privet yang membuat permohonan PDVL sebelum 1 Julai tahun lalu, dan menerima konsesi ATD serta diberi sekurang-kurangnya setahun untuk mendapatkan PDVL.

LTA menyatakan bahawa ia sudah mengeluarkan beberapa peringatan sejak awal tahun ini kepada para pemandu yang terjejas.

Bagi memudahkan permohonan untuk menempah tempat bagi latihan dan ujian PDVL, LTA menyatakan bahawa ia melantik syarikat teksi ComfortDelGro sebagai penyedia baru latihan itu pada Disember lalu. Institut Pekerjaan dan Daya Kerja pula dipilih sebagai pusat ujian yang baru.

Langkah ini tambahan kepada pusat latihan dan ujian yang sedia ada di Akademi Teksi Singapura.

LTA menyatakan sekitar 19,900 pemegang konsesi ATD sudah menghadiri dan lulus ujian tersebut sejauh ini.

"Setakat 17 Jun 2018, lebih 80 peratus daripada baki 23,000 pemegang konsesi ATD belum mendaftarkan diri untuk menduduki ujian itu meskipun sekali. LTA, Grab dan Persatuan Kenderaan Sewa Privet Nasional sudah mengingatkan mereka beberapa kali," menurut LTA.

"Lebih 90 peratus pemegang konsesi ATD yang belum pernah mencuba ujian juga tidak menghadiri latihan PDVL."

Pemegang konsesi ATD yang belum lagi memperolehi PDVL mereka, namun mahu terus menawarkan khidmat selepas 30 Jun perlu membuat permohonan sekali lagi bagi PDVL pada harga S$40.

Pemegang PDVL yang sudah mendaftarkan diri bagi latihan dan ujian sebelum 30 Jun, tetapi hanya akan menduduki ujian pada awal Julai, tidak perlu membuat permohonan semula. Para pemandu ini akan dibenarkan berkhidmat sebaik sahaja mereka memperoleh PDVL, menurut LTA.

LATIHAN DAN UJIAN PDVL

Sejak pelaksanaan PDVL, sekitar 70 peratus pemohonnya yang menduduki ujian tersebut sudah lulus, menurut LTA.

"Para pemandu perlu berkomunikasi dengan para penumpang mereka setiap hari. Oleh itu, mereka haruslah mampu berbahasa Inggeris supaya mereka dapat berhubungan dengan mereka secara berkesan.

"Para pemandu juga perlu tahu membaca bahasa Inggeris supaya mereka dapat mencari jalan ke destinasi penumpang, yang rata-ratanya dalam bahasa Inggeris."

Para pemandu yang memerlukan bantuan untuk memperbaiki penggunaan Bahasa Inggeris mereka digalak untuk mendaftarkan diri dalam program Kelayakan Kemahiran Tenaga Kerja (WSQ) yang relevan.

LTA menambah, ia juga terus menyemak semula kurikulum latihan dan ujian bagi memastikan ia relevan.

Pemandu kidmat kereta sewa privet yang tidak mempunyai lesen vokasional yang sah boleh didenda sehingga S$1,000 dan dipenjara sehingga tiga bulan. Pesalah berulang boleh didenda sehingga S$2,000 dan dipenjara sehingga enam bulan. 

Sumber : CNA/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan