229 set baucar barang dapur Belanjawan 2020 dilaporkan dicuri; 55 tangkapan dibuat
Kurang 0.2 peratus, atau 229 set baucar barangan dapur Belanjawan 2020 yang dikirimkan kepada lebih 150,000 rakyat Singapura pada bulan lalu, dilaporkan dicuri setakat 28 Oktober, kata Menteri Kedua Kewangan Indranee Rajah pada Isnin (2 Nov).
Baucar barangan dapur yang dicuri dari peti surat. (Gambar: Pasukan Polis Singapura)
SINGAPURA: Kurang 0.2 peratus, atau 229 set baucar barangan dapur Belanjawan 2020 yang dikirimkan kepada lebih 150,000 rakyat Singapura pada bulan lalu, dilaporkan dicuri setakat 28 Oktober, kata Menteri Kedua Kewangan Indranee Rajah pada Isnin (2 Nov).
Siasatan terhadap kes-kes pencurian ini sedang dijalankan, dengan polis sudah melakukan 55 tangkapan sejauh ini, kata Cik Indranee di Parlimen hari ini.
Baucar-baucar barangan dapur itu merupakan sebahagian daripada Pakej Bantuan Keluarga Pemerintah yang pertama kali diumumkan pada Februari. Inisiatif tersebut bertujuan untuk meringankan beban keluarga-keluarga berpendapatan rendah dalam tempoh mencabar ini.
Hanya mereka yang berusia 21 tahun dan ke atas tahun ini, menetap dalam flat HDB 1-bilik dan 2-bilik, serta tidak memiliki lebih daripada satu hartanah, akan mendapat baucar berkenaan. Majoriti penerima berusia 55 tahun dan ke atas, kata Cik Indranee.
Pengagihan pertama baucar, bernilai S$150 setiap set, dihantar kepada 150,000 rakyat Singapura menerusi kiriman pos berdaftar pada awal bulan lalu. Namun, berlaku kes-kes pencurian dilaporkan dan penangkapan kemudian dibuat ke atas perbuatan mencuri baucar dari peti-peti surat rumah HDB di merata Singapura.
Menjawab pertanyaan daripada Anggota Parlimen, Cik Indranee berkata "kebanyakan" baucar barangan dapur diterima para penerima "dengan lancar".
Hanya 229 set - atau kurang 0.2 peratus baucar tersebut dikatakan dicuri setakat 28 Okt.
Berdasarkan siasatan Pasukan Polis Singapura, pencurian nampaknya dilakukan tanpa perancangan dan kes-kes tersebut tidak berhubung kait dengan satu sama lain, kata Cik Indranee. Tambahnya, dalam kes-kes tertentu, ada peti-peti surat yang tidak dikunci.
"Sebilangan baucar yang dilaporkan hilang sudah dibatalkan dan baucar baru sudah diberikan kepada penerima yang layak," tambah Cik Indranee kepada Dewan.
"Kami menggesa orang ramai supaya memastikan peti surat mereka dikunci dan diperbaiki sekiranya rosak agar insiden seperti ini dapat dielak."
MENGAPA BAUCAR DIPOS?
Demi menjaga kesihatan awam di tengah-tengah pandemik, kemudahan dan keselamatan merupakan antara faktor yang perlu dipertimbangkan untuk mengirimkan baucar barangan dapur kepada penerima yang layak. Baucar digital, misalnya, bukan satu pilihan kerana sesetengah penerima tidak mempunyai telefon bijak atau melanggani khidmat data, terang Cik Indranee.
"Jika baucar digital digunakan, lebih banyak masa dan tenaga diperlukan untuk menyediakan peranti-peranti digital, sebelum para penerima dapat menerima sokongan yang akan membantu mereka menampung perbelanjaan barangan dapur," jelas Cik Indranee lagi.
"Sungguhpun begitu, apabila warga emas Singapura semakin celik digital, kita boleh menimbangkan baucar digital untuk golongan ini pada masa hadapan."
Meminta penerima untuk mengambil baucar dari kelab-kelab masyarakat terdekat juga dipertimbangkan. Bagaimanapun, ia akan menyulitkan warga emas, terutama sekali mereka yang sukar bergerak. Kesesakan juga boleh berlaku di pusat-pusat pengambilan baucar, kata Cik Indranee.
"Selepas membuat pertimbangan, kami mengirimkan baucar-baucar tersebut menerusi kaedah pos berdaftar demi kemudahan penerima," tambahnya.
Singapore Post sudah melaksanakan penghantaran tanpa kontak awal tahun ini - di mana kiriman pos berdaftar diletakkan di dalam peti-peti surat - selaras dengan langkah-langkah jarak selamat.
Ia akan "memantau dan mengesahkan kiriman sudah diletakkan dalam peti surat para penerima dengan menghantar gambar sebagai bukti," ujar Cik Indranee.
Demi mencegah penipuan dan pencurian, setiap baucar mempunyai ciri-ciri khas yang membolehkan pihak berkuasa untuk mengenal pasti penerima dan menjejaki penggunaan baucar.
"Kami akan terus menyemak pengagihan untuk mengimbangi keselamatan dan kemudahan bagi penerima."
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.