22 lelaki didakwa halang keadilan; bocor operasi serbuan di WhatsApp
Seramai 22 lelaki didakwa pada Rabu (6 Jul) atas kesalahan menghalang keadilan daripada dilaksanakan dengan mendedahkan maklumat dalam kumpulan sembang WhatsApp tentang operasi penguatkuasan undang-undang yang sedang dijalankan.

Gambar: AFP
Semua lelaki, berusia antara 29 hingga 49 tahun, dituduh menghantar mesej apabila mereka tahu bahawa ahli kumpulan sembang berkenaan berkemungkinan mengambil langkah untuk mencegah kesalahan di kawasan berkenaan daripada dikesan pihak berkuasa.
Enam belas daripada tertuduh dipercayai menghantarkan mesej mereka kepada sebuah kumpulan sembang bernama "Night Owl" antara Januari dengan April 2019, dari lewat malam hingga waktu dini hari.
Mesej-mesej tersebut, dinyatakan dalam kertas tuduhan, mendedahkan nama rumah urut dan kelab malam di mana serbuan dijalankan, termasuk nombor plat kenderaan serta lokasi dan jumlah pegawai penguat kuasa yang terlibat.
Sekumpulan lagi tiga lelaki dituduh menghantar mesej yang serupa kepada kumpulan sembang yang dipanggil "UncleValet" pada 1 Februari 2020.
Sementara itu, dua lelaki lain didakwa menghantar mesej serupa kepada kumpulan sembang "Rolex Movement" pada April 2019.
Antara mesej itu berbunyi: "Kenalan saya memberitahu saya operasi CNB, (bakal) dijalankan sepanjang tiga hari di seluruh negara," merujuk kepada Biro Narkotik Pusat (CNB).
Seorang lelaki lain didakwa mengirimkan mesej serupa kepada sebuah kumpulan sembang dengan nama Cina yang diterjemahkan kepada "rejimen meriam" pada 6 Februari 2020.
Sesiapa yang didapati bersalah dengan sengaja menghalang keadilan daripada dilaksanakan boleh dipenjara sehingga tujuh tahun, didenda atau kedua-duanya sekali.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.