22 lelaki diberkas dalam operasi sasar eksploitasi seks budak bawah umur
Seramai 22 lelaki berusia antara 19 dengan 52 tahun diberkas dalam satu operasi yang menyasarkan kegiatan ekploitasi seksual kanak-kanak online, menurut Pasukan Polis Singapura (SPF) pada Sabtu (30 Okt).

(Gambar hiasan)
SINGAPURA: Seramai 22 lelaki berusia antara 19 dengan 52 tahun diberkas dalam satu operasi yang menyasarkan kegiatan ekploitasi seksual kanak-kanak online, menurut Pasukan Polis Singapura (SPF) pada Sabtu (30 Okt).
"Mereka disyaki memiliki atau mendapat akses kepada bahan penganiayaan kanak-kanak, mengedarkan bahan penganiayaan, mengedar bahan lucah dan memiliki bahan lucah," menurut SPF dalam satu kenyataan media.
"Lagi enam lelaki juga sedang membantu polis dalam siasatan terhadap bahan lucah dan kesalahan di bawah Akta Filem."
Para pegawai dari Jabatan Siasatan Jenayah (CID) membuat penangkapan itu semasa satu operasi selama empat minggu di beberapa tempat termasuk Tampines Street, Hougang Street, Choa Chu Kang Grove dan Dakota Crescent.
Serbuan juga dilancarkan di Compassvale Walk, Pasir Ris Street, Bukit Batok East dan Boon Lay Drive.
"Peranti elektronik termasuk komputer, telefon bimbit dan cakera padat dirampas," menurut polis.
Di bawah Kanun Jenayah, sesiapa yang didapati bersalah kerana memiliki atau mendapat akses kepada bahan penganiayaan kanak-kanak dan tahu atau mempunyai alasan untuk percaya bahawa bahan tersebut adalah bahan penganiayaan kanak-kanak, boleh dipenjara sehingga lima tahun serta didenda atau disebat.
Mereka yang didapati bersalah mengedarkan, menjual atau menawarkan bahan penaniayaan kanak-kanak untuk dijual atau secara sedar memiliki bahan penganiayaan kanak-kanak untuk tujuan seumpama itu boleh dipenjara sehingga tujuh tahun serta didenda atau disebat.
Bagi mengupah, mengedar, menghantar melalui kaedah elektronik, mempamerkan secara terbuka mahupun menyebarkan dalam apa bentuk sekalipun atau untuk tujuan sedemikian memiliki mana-mana bahan lucah dalam simpanannya, pelaku yang didapati bersalah boleh dipenjara sehingga tiga bulan, didenda atau kedua-duanya.
Kesalahan di bawah Akta Filem membawa denda sehingga S$20,000, hukuman penjara sehingga enam bulan atau kedua-duanya.
"Polis akan terus mengambil tindakan penguatkuasaan tegas terhadap kegiatan eksploitasi seksual kanak-kanak online, termasuk pemilikan dan pengedaran bahan penganiayaan kanak-kanak," menurut SPF.
"Mereka yang didapati terlibat dalam kegiatan sedemikian akan ditangani dengan tegas mengikut undang-undang."
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.