22 disiasat terbabit dalam perjudian haram, langgar peraturan COVID-19
Polis menangkap 22 orang kerana disyaki terbabit dalam kegiatan perjudian haram, pertaruhan lumba kuda haram dan didakwa melanggar peraturan COVID-19.
(Gambar: SPF)
SINGAPURA: Polis menangkap 22 orang kerana disyaki terbabit dalam kegiatan perjudian haram, pertaruhan lumba kuda haram dan didakwa melanggar peraturan COVID-19.
Dua puluh satu lelaki dan seorang wanita berusia antara 20 dengan 74 tahun ditangkap dalam tiga serbuan baru-baru ini di Woodlands, Marsiling dan River Valley, menurut polis dalam satu kenyataan media pada Jumaat (29 Okt).
Pegawai Divisyen Polis Woodlands menjalankan dua operasi penguatkuasaan pada 20 Oktober dan 27 Oktober masing-masing di Woodlands dan Marsiling.
Seorang lelaki berusia 67 tahun diberkas dalam satu operasi penguatkuasaan di kolong blok di Woodlands Street 82. Lelaki itu dipercayai bertindak sebagai penerima taruhan kepada tiga lelaki berusia antara 59 dengan 69 tahun.
Polis turut memberkas seorang lelaki berusia 74 tahun dalam satu operasi susulan di kolong blok di Marsiling Road. Dia juga didapati bertindak sebagai penerima taruhan kepada tiga lelaki lain berusia antara 54 dengan 73 tahun.
Polis merampas wang tunai melebihi S$750, tiga telefon bimbit dan perkakas pertaruhan semasa kedua-dua operasi itu. Kesemua lapan lelaki itu sedang membantu dalam siasatan.
Pegawai dari Divisyen Polis Tanglin turut menyerbu sebuah unit rumah kedai di River Valley Road pada 26 Oktober yang disyaki menjalankan aktiviti perjudian.
Seorang wanita berusia 25 tahun dipercayai mengendalikan rumah perjudian dalam unit berkenaan, manakala 13 lelaki didakwa sedang berjudi.
Perkakas berkaitan perjudian turut dirampas untuk siasatan.
Seramai 14 individu diberkas kerana kesalahan berhubung kait perjudian haram. Mereka juga disiasat kerana melanggar peraturan jarak selamat COVID-19.
Sesiapa didapati bersalah kerana terbabit sebagai penerima taruhan boleh didenda antara S$20,000 dengan S$200,000 dan dihukum penjara sehingga lima tahun.
Mereka yang didapati bersalah kerana membuat taruhan dengan penerima taruhan boleh didenda sehingga S$5,000, dihukum penjara sehingga enam bulan atau kedua-duanya sekali.
Mereka didapati bersalah mengendalikan tempat yang dijadikan tempat perjudian boleh didenda antara S$5,000 dengan S$50,000 serta dipenjarakan sehingga tiga tahun.
Individu yang tidak mematuhi langkah jarak selamat boleh dihukum penjara sehingga enam bulan, didenda sehingga S$10,000 atau kedua-duanya sekali.
Polis menyatakan mereka akan terus mengambil tindakan penguatkuasaan tegas terhadap aktiviti perjudian haram dan pertaruhan lumba kuda haram. Orang ramai dinasihatkan supaya memandang serius peraturan jarak selamat.
"Mereka didapati terbabit dalam kegiatan haram atau melanggar peraturan jarak selamat, akan ditangani mengikut undang-undang."
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.