Skip to main content

Singapura

210 pelajar terima biasiswa SgIS, rekod tertinggi sejak 2012

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 29 Jul 2026 07:28PM Dikemas Kini : 09 Sep 2026 06:49PM
SINGAPURA: Seramai 210 mahasiswa daripada universiti-universiti tempatan menerima Biasiswa Industri Singapura (SgIS) tahun ini, iaitu jumlah tertinggi sejak SgIS ditubuhkan pada 2012.

Biasiswa-biasiswa tersebut ditaja oleh 146 syarikat penaja daripada 16 sektor utama Singapura.

SgIS merupakan satu-satunya biasiswa merentas pelbagai industri yang ditawarkan menerusi kerjasama antara pemerintah dengan industri-industri tempatan.

Ia bertujuan membangunkan teras pemimpin industri tempatan yang akan menerajui pembangunan sektor-sektor strategik utama negara.

Menteri Pendidikan, Desmond Lee, berkata, biasiswa yang ditaja bersama oleh pemerintah dan industri-industri ini membantu syarikat-syarikat membina saluran bakat tempatan sambil membekalkan pelajar-pelajar tempatan dengan kemahiran-kemahiran yang relevan kepada industri masing-masing, serta pengalaman dan keyakinan untuk menyumbang sedang syarikat-syarikat Singapura menelusuri perubahan.

"Dengan bekerjasama, kita boleh mempersiapkan siswazah tempatan kita dengan lebih baik lagi untuk sebuah ekonomi dinamik. Ini kemenangan besar untuk para siswazah, syarikat-syarikat dan Singapura," kata Encik Lee.
Related article image
Encik Lee mengalu-alukan kerjasama antara mahasiswa, industri dan pemerintah Singapura melalui SgIS (Gambar: Kementerian Pendidikan)
Berucap di majlis penganugerahan SgIS di Universiti Teknologi dan Reka Bentuk Singapura (SUTD) pada Rabu (28 Jul), Encik Lee juga menggesa para penerima biasiswa untuk mempersiapkan diri bagi era baharu yang digerakkan oleh Kecerdasan Buatan (AI) sambil terus membangunkan kemahiran-kemahiran kemanusiaan.

"Anda memerlukan kemahiran-kemahiran teras kehidupan untuk menempuhi tempat kerja masa hadapan. Ilmu pengetahuan mendalam dan kemahiran-kemahiran teknikal kekal penting. Namun, kecekapan kemanusiaan dan nilai-nilai yang tidak mudah digantikan oleh AI akan menjadi lebih penting untuk anda dan kerjaya anda," tambah beliau.

Majlis tersebut turut dihadiri para pemimpin industri yang menyampaikan biasiswa-biasiswa tersebut kepada para pelajar.

Sebagai sebahagian daripada program biasiswa tersebut, para penerima biasiswa akan diberikan peluang latihan amali dan bimbingan bersama mentor yang dikendalikan oleh syarikat-syarikat penaja. Mereka juga berpeluang menghadiri forum-forum bersama para pemimpin industri serta aktiviti-aktiviti yang membangunkan kemahiran kepimpinan dan insaniah.

MENERUSKAN LEGASI TIGA GENERASI DALAM INDUSTRI PENERBANGAN

Salah seorang penerima biasiswa pada majlis tersebut ialah Haqqan Yaqeen Abdul Rahim yang ditaja oleh Singapore Airlines (SIA) Limited.

Pelajar Tahun 2 Analitik Perniagaan dari Universiti Teknologi Nanyang (NTU) itu merupakan generasi ketiga yang menyumbang kepada industri penerbangan Singapura. Allahyarham datuknya dahulu berkhidmat di SATS selama lebih 25 tahun. Kini, bapanya sedang bekerja di SATS sementara bapa saudaranya pula bekerja di SIA Engineering.
Related article image
Haqqan Yaqeen Abdul Rahim mula berminat kepada industri penerbangan setelah mendengar kisah-kisah ahli keluarganya yang bekerja dalam industri tersebut (Gambar: BERITA Mediacorp/Athirah Karim)
"Melalui pengalaman-pengalaman dan cerita-cerita yang mereka sering kongsi dengan saya, minda saya terbuka dan saya memahami yang industri penerbangan ini amat luas. Kami sebagai orang awam sering fikirkan dan memberikan pujian kepada pramugara, pramugari dan juga juruterbang. Namun, kami selalu mengabaikan sumbangan-sumbangan mereka yang berada di belakang industri ini. Jadi, dengan latar belakang saya sebagai seorang penuntut di NTU yang sedang mempelajari analitik perniagaan, saya mahu menggunakan kemahiran saya dan juga menyambungkan legasi keluarga saya untuk berkhidmat di industri ini," kongsi penerima biasiswa pertengahan penggal itu.

Haqqan juga berkongsi bahawa SIA merupakan syarikat penaja impiannya setelah melihat daya tahan syarikat tersebut mengharungi cabaran-cabaran yang dibawa COVID-19.

"SIA merupakan jenama yang sering mengharumkan nama negara kami atas kecemerlangan operasinya dan juga tahap perkhidmatan tinggi yang diberikan oleh syarikat pesawat ini. Jadi, saya rasa saya juga ingin menyumbang kepada kecemerlangan syarikat ini," ujarnya.

Sebagai penerima biasiswa SgIS, Haqqan akan diberi peluang meneroka jabatan-jabatan berbeza di SIA. Namun, sebagai pelajar Analitik Perniagaan yang gemar mengkaji data, jabatan Perancangan Rangkaian Penerbangan yang banyak menjalankan kajian tentang perkembangan dunia serta citarasa penumpang menarik perhatiannya.

Walau berjaya menerima biasiswa dari syarikat penaja impiannya, Haqqan bertekad untuk melaksanakan tanggungjawab yang diberikan dengan sebaik mungkin.

"(Saya) sedar bahawa ini adalah satu amanah yang amat besar kerana syarikat Singapore Airlines telah memberikan kepercayaan yang amat besar bagi saya untuk meneruskan belajar untuk terus meningkatkan diri saya supaya dapat menyumbang dengan bermakna pada masa yang akan datang. Jadi, walaupun saya bahagia, saya tetap merendahkan diri saya (dan) tetap fokus untuk mendalami kefahaman saya tentang industri ini," ungkap Haqqan.
Related article image
Haqqan menerima biasiswa SgIS daripada syarikat penaja impiannya, SIA Limited (Gambar: BERITA Mediacorp/Athirah Karim)
Haqqan merupakan antara lapan penerima biasiswa SgIS tajaan SIA tahun ini. Sejak penubuhan SgIS pada 2012, lebih 2,000 biasiswa telah dianugerahkan kepada pelajar-pelajar cemerlang daripada tujuh universiti tempatan.
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita