Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

21 penumpang terlepas pesawat di Terminal 4 Changi semasa gangguan pelepasan imigresen bulan lalu

Anggaran Waktu Membaca:
21 penumpang terlepas pesawat di Terminal 4 Changi semasa gangguan pelepasan imigresen bulan lalu

Gambar: CNA

Diterbitkan : 21 Apr 2023 02:44PM Dikemas Kini : 21 Apr 2023 05:57PM
SINGAPURA: Seramai 21 penumpang terlepas pesawat mereka di Terminal 4 Lapangan Terbang Changi semasa berlaku gangguan pada sistem pelepasan imigresen pada 31 Mac lalu.

Menteri Negara Ehwal Dalam Negeri, Dr Muhammad Faishal Ibrahim, memberitahu Parlimen demikian pada Jumaat (21 Apr) semasa menjawab soalan-soalan daripada para Anggota Parlimen (AP) mengenai gangguan tersebut, yang menyebabkan kelengahan serta barisan beratur amat panjang di pusat-pusat pemeriksaan Singapura pada hari berkenaan.

Menurut Dr Faishal, sekitar 30,000 penumpang yang menaiki 113 penerbangan keberangkatan dan 111 penerbangan ketibaan melepasi imigresen tatkala gangguan tersebut berlaku.

21 penumpang, yang telah melepasi imigresen tetapi terlepas untuk menaiki pesawat mereka di Terminal 4, kemudian ditawarkan untuk menempah semula penerbangan alternatif dalam tempoh seminggu tanpa dikenakan sebarang bayaran tambahan, tambah Dr Faishal.

Di pusat pemeriksaan darat di Woodlands dan Tuas pula, para pelawat mengalami kelengahan sehingga 30 minit sejurus setelah insiden berlaku, kata Dr Faishal.

Bagaimanapun, di Pusat Pemeriksaan Woodlands, terdapat kelengahan selama satu lagi jam bagi kereta-kereta memandangkan zon ketibaan kereta perlu ditukarkan untuk mengurus pelepasan bagi motosikal secara manual.

Sekitar 55,000 pelawat melepasi kedua-dua pusat pemeriksaan darat semasa gangguan tersebut berlaku.

"BEBAN TERUK TERHADAP SISTEM"

Gangguan tersebut berlaku disebabkan "beban teruk terhadap sistem " setelah uji cuba yang dijadualkan bagi mempertingkatkan sistem Pengesanan Biometrik 'BioScreen-Multi-Modal' (MMBS), kata Dr Faishal.

Uji cuba tersebut dilakukan sekitar pukul 10.40 pagi pada 31 Mac.

MMBS mengendalikan pelepasan imigresen automatik dengan menggunakan biometrik para pelawat.

Lantaran itu, lorong pelepasan automatik di dewan keberangkatan di Lapangan Terbang Changi serta lorong automatik tertentu di Pusat Pemeriksaan Woodlands dan Tuas terjejas. Lorong automatik yang lain, termasuk yang di pusat pemeriksaan laut, kekal beroperasi.

"Uji cuba pada 31 Mac 2023, apabila insiden berkenaan berlaku, adalah percubaan pada luar waktu sibuk, yang dilaksanakan dari jam 10.00 pagi hingga 2.00 petang. Vendor-vendor dalam keadaan tunggu sedia di lapangan dan rancangannya adalah untuk memulihkan sistem tersebut dalam tempoh 30 minit sekiranya percubaan tersebut tidak berjalan dengan lancar," jelas beliau.

"Percubaan tersebut menyebabkan sistem penyimpanan terlalu terbeban sekitar pukul 10.40 pagi dan proses tersebut dihentikan dengan serta-merta. Namun, tahap beban itu lebih teruk daripada yang dijangkakan dan vendor-vendor yang berada di lapangan perlu bekerjasama dengan pasukan sokongan global mereka untuk mendiagnosis serta but semula pelayan (server)."

Proses pemulihan tersebut mengambil masa sekitar empat setengah jam dan MMBS kembali pulih kira-kira jam 3.00 petang.

SEMAK SEMULA PENDEKATAN

ICA sedang menyemak semula pendekatan yang diambil terhadap kerja peningkatan sedemikian berikutan insiden tersebut, kata Dr Faishal.

"Kami memohon maaf kepada para pelawat yang terjejas atas sebarang kesulitan dan mengucapkan terima kasih kepada mereka kerana memahami. Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada para pegawai ICA dan kakitangan CAG yang bekerja bertungkus lumus, tanpa mengeluh, bagi menangani keadaan tersebut," ujarnya.

Dalam pada itu, ICA sedang dalam proses untuk melaksanakan rancangan berbilang tahun, yang dikenali sebagai Konsep Pelepasan Baru (NCC), untuk mengubah pelepasan imigresen di semua pusat pemeriksaan, kata Dr Faishal.

Di bawah NCC, semua kaunter manual dan lorong automatik akan digantikan secara berperingkat-peringkat dengan gerbang Sistem Pelepasan Sempadan Automatik (ABCS) generasi akan datang, yang akan membolehkan para pelawat untuk terus menggunakan pelepasan automatik meskipun operasi MMBS lumpuh.
Sumber : CNA/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan