21 kes COVID-19 dalam masyarakat di S'pura; kelompok baru berkait Kasino Marina Bay Sands
Sebanyak 21 kes COVID-19 dalam masyarakat dilaporkan di Singapura sehingga tengah hari Isnin (17 Mei), menurut Kementerian Kesihatan (MOH).
Kasino Marina Bay Sands (Gambar fail: Reuters)
SINGAPURA: Sebanyak 21 kes COVID-19 dalam masyarakat dilaporkan di Singapura sehingga tengah hari Isnin (17 Mei), menurut Kementerian Kesihatan (MOH).
Sebanyak 10 kes dikaitkan dengan jangkitan sebelumnya, sementara 11 kes lagi tidak berhubung kait dengan kes lain. Enam daripada 21 kes itu telah dikuarantin, menurut kementerian itu.
Terdapat juga tujuh kes import, yang dikenakan Notis Jangan Keluar Rumah setiba mereka di Singapura. Dua daripadanya adalah warga Singapura atau penduduk tetap.
Termasuk kes import, Singapura melaporkan 28 jangkitan baru koronavirus hari ini. Tiada jangkitan baru dikesan di dormitori pekerja hijrahan.
KELOMPOK BARU DIKAITKAN DENGAN PEKERJA DI KASINO MBS
Satu kelompok jangkitan baru dikesan berkait Kes 63317, seorang lelaki Malaysia berusia 36 tahun yang bekerja di Kasino Marina Bay Sands.
Salah satu kes masyarakat baru, Kes 63350, seorang rakyat Malaysia berusia 34 tahun yang kini menganggur. Beliau dikesan melalui pengawasan dan adalah kontak serumah Kes 63317.
Lelaki itu mengalami demam dan batuk pada 12 Mei, dan mendapatkan rawatan perubatan di klinik GP pada 15 Mei, di mana beliau diuji positif menerusi ujian pantas antigennya (ART).
Beliau segera diasingkan dan ujian reaksi berantai polimerase (PCR) diambil pada hari yang sama. Hasil ujiannya positif COVID-19 pada 16 Mei. Keputusan ujian serologinya belum selesai.
Lelaki itu diuji awal positif bagi varian B1617, dan sedang menunggu ujian pengesahan selanjutnya. Varian tersebut pertama kali dikesan di India.
3 LAGI KES DIUJI AWAL POSITIF VARIAN B1617
Selain Kes 63350, tiga lagi orang diuji awal positif bagi varian yang sama.
Seorang lelaki Singapura berusia 37 tahun yang merupakan guru di Sekolah Rendah Frontier dan seorang pelajar 16 tahun di Politeknik Singapura adalah dua kes tidak berhubung kait yang juga diuji awal positif bagi varian B1617.
Kes terakhir yang juga positif varian tersebut adalah seorang pegawai keselamatan penerbangan di Terminal 3 Lapangan Terbang Changi. Wanita itu dikaitkan dengan kelompok di sana.
Kes lain tanpa kaitan termasuk pelajar Singapura di Institut Pendidikan Nasional (NIE) yang juga bekerja sambilan sebagai guru tuisyen privet. Kes lain melibatkan pesara Singapura berusia 76 tahun, seorang kakitangan pentadbiran Singapura berusia 57 tahun di Pacific Law Corporation dan seorang warga Singapura berusia 22 tahun yang bekerja di Invade Industry.
Seorang warga Singapura berusia 28 tahun yang bekerja sebagai pembantu runcit di Alan Photo di Funan Mall, seorang warga Indonesia berusia 45 tahun yang bekerja dengan Clean Hub Facility sebagai pekerja pembersihan di EuHabitat, seorang warga Singapura berusia 47 tahun yang bekerja di Penguasa Hasil Mahsul Singapura, seorang warga Singapura berusia 32 tahun yang bekerja sebagai jurutera IT di AbbVie Operations Singapore dan anggota Perkhidmatan Negara sepenuh masa juga antara kes masyarakat tanpa hubung kait.
LEBIH BANYAK KES BERKAIT LAPANGAN TERBANG CHANGI
Empat lagi kes dikaitkan dengan kelompok Terminal 3 Lapangan Terbang Changi, yang kini mempunyai 78 kes kesemuanya. Ia kini kelompk aktif terbesar di Singapura.
Tiga daripada mereka telah dikuarantin dan mereka semua adalah kontak isi rumah kes terdahulu.
Mereka adalah warga Indonesia berusia 37 tahun yang merupakan pembantu rumah hijrahan, suri rumah warga Singapura berusia 63 tahun dan warga Singapura berusia lapan tahun yang merupakan pelajar di Sekolah Rendah Fuchun.
Kes yang selebihnya adalah pegawai keselamatan penerbangan di Terminal 3 Lapangan Terbang Changi yang diuji awal positif bagi varian B1617.
KELOMPOK LEARNING POINT BERTAMBAH
Dua lagi kes ditambah kepada kelompok jangkitan Learning Point.
Kes pertama, warga Singapura berusia tujuh tahun, sudah dikuarantin. Dia adalah murid di Sekolah Maha Bodhi dan juga menghadiri khidmat jagaan pelajar di Seedlings World Student Care @ Frankel, dan dikenal pasti sebagai kontak rapat kes yang disahkan sebelumnya yang juga mengikuti kelas di Learning Point.
Satu lagi ke, dikesan melalui pengawasan, melibatkan lelaki Singapura berusia 72 tahun. Pesara yang sudah menerima kedua-dua dos suntikan vaksin adalah anggota keluarga murid Sekolah Kong Hwa yang berusia sembilan tahun, dan sebelum ini disahkan positif COVID-19 pada 15 Mei.
Baki dua kes melibatkan pembantu rumah hijrahan.
Sehingga Isnin, Singapura melaporkan 61,613 kes COVID-19 kesemuanya dengan 31 kematian akibat penyakit itu.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.