21 diberkas sambung semula kegiatan gereja Shincheonji secara sembunyi: MHA
21 orang diberkas di Singapura kerana dipercayai mengadakan semula kegiatan-kegiatan yang berkaitan dengan kumpulan Shincheonji Church of Jesus.
Seorang pegawai polis memberkas seorang suspek. (Gambar fail: Hanidah Amin)
SINGAPURA: 21 orang diberkas di Singapura kerana dipercayai mengadakan semula kegiatan-kegiatan yang berkaitan dengan kumpulan Shincheonji Church of Jesus.
Kumpulan gereja itu berpangkalan di Korea Selatan dan awal tahun ini, para anggotanya di Singapura dikenakan amaran tegas supaya menghentikan kegiatan-kegiatan mereka.
Lima rakyat Korea Selatan yang dikenal pasti memegang jawatan-jawatan utama, dihantar pulang ke negara mereka.
Kumpulan itu terkait dengan tuduhan sebagai sebuah kumpulan pemujaan di beberapa negara kerana ajaran-ajarannya yang tidak diterima umum.
Mereka yang diberkas pada Isnin (9 Nov) ialah sembilan lelaki dan 12 wanita, berusia antara 21 dengan 49 tahun.
Sebelas yang lain sedang membantu dalam siasatan polis.
Kementerian Ehwal Dalam Negeri menyatakan, kumpulan tempatan Shincheonji itu menyambung semula kegiatan mereka secara sembunyi-sembunyi, di bawah arahan kumpulan utamanya di Korea Selatan.
Mereka yang didapati bersalah kerana menjadi anggota persatuan haram berdepan dengan hukuman penjara tiga tahun dan denda S$5,000.
Gereja itu juga menarik liputan meluas di Korea Selatan tahun ini.
Ia menjadi pusat penularan virus COVID-19, dengan lebih 5,000 anggotanya dijangkiti virus tersebut.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.