Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

2024 tahun paling panas SG, suhu tertinggi dicatat pada April, Julai dan Dis

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 10 Jan 2025 01:22PM Dikemas Kini : 11 Jan 2025 12:56AM
SINGAPURA: 2024 merupakan tahun paling panas Singapura, sama dengan 2019 dan 2016, kata Perkhidmatan Kaji Cuaca Singapura (MSS) pada Jumaat (10 Jan).

Menurut laporan Iklim Perkhidmatan Kaji Cuaca Singapura 2024: Statistik Tahun, setiap bulan pada tahun lalu mencatat suhu yang sama atau melebihi purata jangka panjang masing-masing.

Fenomena El Nino 2023/24 menyumbang kepada suhu yang lebih panas di Singapura pada 2024, selain hujan yang berlaku lebih awal.

April merupakan bulan paling panas tahun lalu, dan April paling panas pernah dicatatkan.

Suhu purata bulan tersebut iaitu 29.4 darjah Celsius, adalah 1.2 darjah Celsius lebih tinggi daripada purata jangka panjang dan sama dengan suhu dicatatkan pada 2016 di mana April juga bulan paling panas pernah dicatatkan, tambah laporan itu.

Suhu purata minimum harian pada April 2024, iaitu 26.7 darjah Celsius, juga sama dengan bacaan pada 2016.

HARI PANAS

Julai adalah bulan kedua paling panas pada 2024.

Ia juga bulan Julai paling panas pernah dicatatkan, dengan suhu purata 29.3 darjah Celsius, iaitu 1.1 darjah Celsius lebih tinggi daripada purata jangka panjang bagi bulan itu, dan melebihi catatan Julai sebelum ini pada 2015, sebanyak 0.2 darjah Celsius.

Suhu purata minimum harian bagi bulan itu adalah 27.1 darjah Celsius, juga memecahkan rekod Julai sebelum ini, iaitu 26.9 darjah Celsius pada 2019.

Tahun lalu juga penduduk Singapura mengalami bulan Disember paling panas.

"Meskipun Disember 2024 adalah salah satu bulan yang lebih sejuk setiap tahun, ia adalah Disember paling panas dalam catatan dengan suhu purata bulanan 27.7 darjah Celsius, sama dengan 2015 dan 2021," tambah laporan itu.

Suhu purata maksimum harian, iaitu 31.7 darjah Celsius pada Disember memecahkan rekod sebelumnya, iaitu 31.6 darjah Celsius yang dicatatkan pada 2016 dan 2018.

Suhu maksimum harian tertinggi yang dicatatkan di stesen iklim Changi pada Disember adalah pada 7 Disember 2024, apabila stesen itu mencatat suhu 35.6 darjah Celsius. Ia melebihi catatan sebelumnya iaitu 33.9 darjah Celsius pada 1 Dis 2021, sebanyak 1.7 darjah Celsius.

Suhu tertinggi yang dicatatkan pada hari tersebut adalah 36.2 darjah Celsius di Paya Lebar, yang juga memecahkan rekod bagi suhu maksimum harian tertinggi di semua stesen bagi Disember.

Di tengah-tengah cuaca yang panas terik, Singapura mengalami gelombang haba selama 21 hari, dengan kebanyakannya berlaku pada Mac, April dan Mei.

Purata suhu tertinggi dicatatkan dalam 15 minit pada 2024 adalah 34.4 darjah Celsius, dicatat di Stadium Bishan pada 7 Mac dan Stadium Bedok pada 28 Mei.

JUMLAH HUJAN BULANAN "SANGAT BERBEZA"

Jumlah hujan yang melanda keseluruhan Singapura secara purata di semua 32 stesen negara ialah 2739.8 milimeter (mm), iaitu ke-12 tertinggi sejak 1980 dan 8.1 peratus lebih tinggi dari purata jangka panjang.

Stesen iklim Changi mencatat 2432mm air hujan pada 2024, 15.1 peratus lebih tinggi daripada purata jangka panjang.

Menurut laporan itu, jumlah hujan bulanan yang dialami Singapura "sangat berbeza".

Singapura juga mengalami tempoh kemarau selama 18 hari antara 13 dan 30 Julai 2024, dengan purata air hujan sebanyak 84.6mm, 52.7 peratus di bawah purata jangka panjang.

Cuaca kering berterusan sehingga Ogos, dengan purata jumlah hujan terkumpul sebanyak 120.88mm.

Selepas tempoh cuaca kering tersebut, November 2024 memecah rekod sebagai bulan paling banyak menerima hujan sejak 1980, dengan purata 419mm.

Ia 47.4 peratus lebih tinggi daripada purata jangka panjang dan melebihi jumlah hujan tertinggi pada November sebelumnya, iaitu 390.1mm pada 1992.

Januari 2024 juga bulan paling banyak hujan, dengan purata 407.5mm, kira-kira 83.3 peratus melebihi purata jangka panjang bulan itu.

Purata hujan yang berlaku buat tiga bulan berikutan, Februari, Mac dan April, jatuh di bawah purata jangka panjangnya.

Lebih banyak hujan dicatatkan di Singapura pada Mei dan Jun, dengan masing-masing 35.8 peratus dan 58.2 melebihi purata jangka panjangnya.

Cuaca akhir tahun lebih kering, dengan purata hujan pada Disember 2024 sebanyak 221.3mm, kira-kira 30 peratus di bawah purata jangka panjangnya.
Sumber : CNA/AE/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan