Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

2023 ‘tahun bestari’; terus timba & teroka pengetahuan baru, kata Mufti

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Tahun 2023 akan menjadi tahun bestari, iaitu tahun untuk meneruskan apa yang sudah diketahui dan meneroka pemahaman serta pengetahuan baru yang akan menjadikan kita lebih dekat dengan Tuhan dan lebih baik kepada orang lain.

Demikian menurut Mufti Negara Dr Nazirudin Mohd Nasir dalam ucapan Tahun Baru beliau menerusi catatan Instagram pada Sabtu (31 Dis).

Dr Nazirudin berkata demikian sebagai pengajaran yang diraih daripada pandemik COVID-19.

Menyingkap tahun 2022, Mufti berkata terdapat banyak perkara yang perlu disyukuri.

"Tidak dinafikan, ia merupakan tempoh sangat mencabar sejak pandemik melanda. Sesetengah daripada kita kehilangan insan tersayang dan ramai yang jatuh sakit. Sebahagian kesakitan kita sudah sembuh namun ada sebahagiannya mungkin tidak akan pernah hilang. Malah masa depan kita pula dibelenggu keadaan tidak menentu.

"Sekalipun demikian, kita terpaksa mengharungi salah satu cabaran terbesar untuk mengembalikan keimanan kita, menghidupkannya dan untuk bersikap belas ihsan dengan orang lain di sekeliling kita. Kita tidak sesekali melupakan kemaslahatan lebih besar demi kepentingan diri sendiri, kerana prinsip agama dan nilai-nilai kita memberi panduan kepada kita tentang apa yang penting dan apa yang tergugat," menurut Dr Nazirudin.

Beliau menambah, daya tahan yang dipelajari pada 2020 dan perpaduan yang ditonjolkan masyarakat pada 2021 sudah membantu kita bangkita daripada krisis sebagai masyarakat yang lebih baik dan lebih bersatu padu.

Semua ini sedang dunia semakin bergolak dan pantas berubah-ubah.

"Dunia akan terus membawa isu-isu rumit kepada kita dan menguji kerohanian kita sampai pada hadnya. Kita mungkin sangsi dengan diri sendiri dan keupayaan kita, sekali lagi, untuk menghadapi cabaran-cabaran ini."

"Namun, apabila kita semua bersatu, apabila setiap jiwa benar-benar ikhlas menyayangi satu sama lain, keberanian dan keyakinan kita akan semakin utuh untuk membuka laluan ke arah masa depan."

"Saya sendiri melihatnya dalam kalangan ramai asatizah, pemimpin dan sukarelawan di institusi agama kita dan dalam kalangan masyarakat agama lain," kata Dr Nazirudin.

Beliau juga secara khusus menzahirkan penghargaan kepada Jawatankuasa Fatwa, Lembaga Pengiktirafan Asatizah, MUIS dan pasukannya di Pejabat Mufti.

"Mereka mendukung saya mengharungi masa-masa susah dan senang dalam krisis ini. Anda menyerlahkan keinginan dan komitmen luar biasa untuk membantu meningkatkan masyarakat dan memelihara kehidupan sosio-agama kita yang progresif. Usaha anda kini diiktiraf di peringkat nasional dan antarabangsa. Saya sentiasa berterima kasih atas sokongan dan galakan anda. Dengan rendah hatinya, kami terima pengiktirafan ini sebagai lambang kepercayaan dan suntikan keyakinan supaya kami membawa lebih banyak kebaikan kepada masyarakat kita," tambah beliau.

Kepada para pemimpin agama lain, Dr Nazirudin berkata mereka juga menjalin hubungan "persahabatan dan perpaduan yang tidak ternilai".

Beliau menambah, bersama-sama mereka berjaya "menjadikan kerencaman kita kepada satu kekuatan dan aset".

"Usaha kita bersama sudah membantu Singapura menjadi tempat tinggal unik dan tenang dan makmur. Terima kasih atas persahabatan, kasih sayang dan keprihatinan anda kepada kesejahteraan masyarakat kami," ujar beliau.

Kepada masyarakat Melayu/Islam Singapura, Mufti mengucapkan terima kasih kerana memahami dan atas rasa tanggungjawab sosial yang mendalam untuk menjaga orang lain seperti mana mereka menjaga kesejahteraan diri sendiri.

"Ini adalah peran contoh keimanan kita dan teladan unggul."

Tahun 2022 ternyata tahun yang penuh dengan rasa kesyukuran kepada Allah dan tahun untuk berterima kasih kepada semua orang atas usaha baik yang sudah dilakukan.

"Saya menantikan tahun kerja yang baru dengan aspirasi untuk terus meningkatkan pemahaman dan penghargaan masyarakat kita kepada kekayaan warisan dan tradisi intelek kita, dan bagaimana ia berinteraksi dengan dunia kita hari ini, supaya kita ada keyakinan dan diperkasa untuk menawarkan huraian-huraian baru dalam dunia yang banyak berubah," kata Mufti.
Sumber : BERITA Mediacorp/HY/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan