Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

2022 'tahun mencabar' bagi sektor jagaan kesihatan; SG dilanda 3 gelombang jangkitan COVID-19

Anggaran Waktu Membaca:
2022 'tahun mencabar' bagi sektor jagaan kesihatan; SG dilanda 3 gelombang jangkitan COVID-19

Menteri Kesihatan Ong Ye Kung mengunjungi Hospital Besar Sengkang pada 22 Jan 2023. (Gambar: Facebook/Ong Ye Kung)

Diterbitkan : 22 Jan 2023 04:50PM Dikemas Kini : 22 Jan 2023 08:51PM
SINGAPURA: 2022 adalah tahun yang sukar dan mencabar bagi sektor jagaan kesihatan sekalipun kehidupan kembali normal bagi sebahagian besar rakyat Singapura, menurut Menteri Kesihatan Ong Ye Kung pada Ahad (22 Jan).

Encik Ong melakukan lawatan ke Hospital Besar Sengkang pada hari pertama Tahun Baru Cina untuk meluahkan penghargaannya kepada para kakitangan jagaan kesihatan yang bertugas hari ini bagi memastikan khidmat penting seperti jagaan kesihatan berjalan lancar sepanjang tempoh cuti perayaan tersebut.

Mengimbas kembali, Encik Ong menyifatkan 2022 sebagai masa yang sangat sulit dan mencabar bagi sektor jagaan kesihatan. Encik Ong turut mendedahkan bahawa Singapura menempuhi tiga gelombang jangkitan pada 2022 sedang "masyarakat menjadi lebih berdaya tahan terhadap COVID-19".

"Saya rasa rakyat Singapura boleh merasakan bahawa kehidupan (sudah) kembali normal, tetapi bagi pekerja jagaan kesihatan, ia bukan normal, (bahkan) ia (2022) adalah tahun yang paling sukar untuk mengharungi tiga gelombang jangkitan," tambah beliau.

Singapura menyaksikan tiga gelombang COVID-19 pada 2022 - subvarian BA.2 Omicron pada April, gelombang subvarian BA.4 dan BA.5 pada Julai dan kemudian gelombang varian XBB yang melanda baru-baru ini.

"Lantaran itu, pada hari ini, iaitu hari pertama Tahun Baru Cina, saya datang ke sini, meskipun hanya ke Hospital Besar Sengkang, tetapi ia sebenarnya untuk menyampaikan mesej kepada kesemua pekerja jagaan kesihatan kita, untuk mengucapkan terima kasih kepada anda, terutama sekali pada tahun lalu, atas segala pengorbanan anda," ujar Encik Ong.
Sumber : CNA/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan