Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

2022 bawa tekad baru; perlu terus waspada terhadap COVID-19, kata Dr Maliki

Tahun baru 2022 membawa harapan bahawa keadaan akan menjadi lebih baik sedang kita mengalu-alukan ekonomi yang semakin pulih dan lebih banyak kegiatan sosial disambung semula.

Anggaran Waktu Membaca:
 2022 bawa tekad baru; perlu terus waspada terhadap COVID-19, kata Dr Maliki

Menteri Kedua Ehwal Luar merangkap Pendidikan Dr Maliki Osman. (Gambar fail)

SINGAPURA: Tahun baru 2022 membawa harapan bahawa keadaan akan menjadi lebih baik sedang kita mengalu-alukan ekonomi yang semakin pulih dan lebih banyak kegiatan sosial disambung semula, meskipun dengan berhati-hati untuk membendung penularan COVID-19 dalam kalangan masyarakat.

Demikian menurut Menteri Kedua Pendidikan Dr Maliki Osman dalam mesej Tahun Baru beliau yang dimuat naik ke laman Facebook.

Beliau menambah, tahun 2021 menjadi satu lagi tahun yang mencabar untuk Singapura sedang kita mencari jalan keluar daripada COVID-19.

Namun, pengalaman itu menunjukkan bahawa "ada bermacam-macam kemungkinan yang boleh dicapai sebagai sebuah negara selagi kita benar-benar bertekad untuk mengecapinya", menurut Dr Maliki.

"Meski keadaan ekonomi dan sosial masih tidak menentu dek COVID-19, kita tetap meneruskan peralihan ke arah pembukaan ekonomi dan pemulihan yang stabil, " ujar beliau, sambil merujuk kepada dua norma baru di SIngapura, iaitu penggunaan TraceTogether dan aturan bekerja dari rumah dengan berkesan.

Ini juga menyerlahkan yang terbaik daripada rakyat Singapura sedang sumber-sumber digembleng untuk membantu mereka yang paling terjejas dan mendampingi mereka yang berisiko mengalami pengasingan sosial menerusi pelbagai platform.

"Kita berada di sini kerana kita semua bekerjasama untuk memastikan ia dikecapi. Mematuhi langkah-langkah pengurusan sosial dan mendapatkan vaksinasi," tambah Dr Maliki.

Sedang kanak-kanak yang berusia lima tahun dan ke atas, mula mendapatkan vaksin dan orang dewasa menerima suntikan dos penggalak, risiko penularan dalam masyarakat boleh dikurangkan lagi, kata beliau.

Dr Maliki juga menggalak anak-anak yang bersekolah supaya tidak berputus asa dan memanfaatkan kemungkinan yang tiada batasnya di hadapan mereka.

Ini termasuk mencari kekuatan-kekuatan baru dalam diri dengan melangkah keluar daripada zon keselesaan dan meneroka bidang-bidang baru.

"COVID-19 sudah memperkukuh ketabahan dan daya bingkas dalam diri kita, yang boleh kita manfaatkan sepenuhnya pada tahun baru ini," kata Dr Maliki.

Beliau juga melahirkan harapan agar tahun 2022 menjadi tahun lebih baik untuk meraih pencapaian lebih cemerlang, dan untuk Singapura menjadi tempat lebih baik untuk didiami.

"Setiap akhir tahun membuka lembaran baru untuk memperkuat semangat dan membulatkan tekad. Sentiasa percaya diri dan berani untuk mencapai segala yang anda inginkan.

"Saya ingin mengucapkan kepada semua orang agar sihat dan makmur pada tahun baru ini. Selamat Tahun Baru," kata beliau.

Sumber : BERITA Mediacorp/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan