2018 tahun kelapan paling panas bagi S'pura
Tahun 2018 adalah tahun kelapan yang paling panas bagi Singapura sejak suhu cuaca direkodkan pada 1929. Demikian menurut Jabatan Kaji Cuaca Singapura (MSS).
(Gambar: Roslan Rahman/AFP)
SINGAPURA: Tahun 2018 adalah tahun kelapan yang paling panas bagi Singapura sejak suhu cuaca direkodkan pada 1929. Demikian menurut Jabatan Kaji Cuaca Singapura (MSS).
Ini adalah "tanda-tanda cuaca panas jangka panjang di Singapura," menurut MSS dalam Laporan Penilaian Iklim tahunan yang dikeluarkan pada Jumaat (22 Mac).
Tahun lalu, suhu purata tahunan adalah 27.9 darjah Selsius - 0.4 darjah Selsius lebih tinggi berbanding purata jangka panjang 1981-2010, dan 0.2 darjah Selsius lebih panas berbanding 2017.
Tempoh dari 2009 hingga 2018 juga adalah dekad paling panas yang pernah direkodkan di Singapura.
Suhu purata setinggi 27.89 darjah Selsius adalah lebih tinggi berbanding dekad paling panas sebelumnya iaitu antara 1997 hingga 2006, dengan perbezaan kecil sebanyak 0.02 darjah Selsius, menurut MSS.
Suhu purata lebih tinggi daripada lazimnya dicatatkan pada semua bulan tahun lalu, kecuali Januari.
Sepanjang bulan itu, Singapura mengalami cuaca lebih sejuk selama lima hari berturut-turut dari 10 Jan hingga 14 Jan.
Ini disebabkan oleh hujan yang kerap berlaku akibat monsun dan hujan lebat berserta guruh.
Meskipun suhu cuaca pada awal tahun 2018 lebih rendah, namun cuaca lebih panas dialami pada hujung tahun. Suhu cuaca pada bulan Disember adalah 27.6 darjah Selsius, iaitu 1.2 darjah Selsius lebih tinggi daripada suhu purata jangka panjang.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.