Skip to main content

Singapura

2,000 pekerja hijrahan dijamu dalam 'Iftar with Migrant Brothers' anjuran IMYouth

Anggaran Waktu Membaca:
2,000 pekerja hijrahan dijamu dalam 'Iftar with Migrant Brothers' anjuran IMYouth

2,000 pekerja hijrahan dijamu juadah buka puasa di Pusat Riadah Penjuru. (Gambar: IMYouth)

Diterbitkan : 17 Mar 2025 09:09PM Dikemas Kini : 17 Mar 2025 10:03PM

SINGAPURA: Sekitar 2,000 pekerja hijrahan dijamu juadah berbuka puasa di Pusat Riadah Penjuru pada Ahad (16 Mac) dalam acara 'Iftar with Migrant Brothers' anjuran pertubuhan belia Muslim India, IMYouth.

Inisiatif itu, yang memasuki edisi ketiga, bertujuan memupuk semangat inklusif serta menghargai kerja keras dan sumbangan pekerja hijrahan kepada masyarakat Singapura.

Acara tahun ini mencatat penyertaan terbesar, dengan kehadiran pekerja hijrahan meningkat seganda berbanding dua tahun sebelumnya.

Related article image
Para sukarelawan membuat persiapan untuk 'Iftar with Migrant Brothers'. (Gambar: IMYouth)

Semangat para sukarelawan dari pelbagai latar belakang yang berganding bahu dalam persiapan iftar turut menambahkan kemeriahan acara.

"Sejak pandemik COVID-19, kita dapat menyaksikan sokongan dan keprihatinan awam terhadap pekerja hijrahan meningkat. Oleh kerana itu, memandangkan mereka sedang menyumbang kembali kepada masyarakat, kita juga patut mempertimbangkan mereka pada bulan Ramadan dan melakukan sesuatu untuk mereka. Jadi ini sebabnya inisiatif ini dimulakan," kata Ketua Projek IMYouth, Encik Ashraf Ibrahim.

"Untuk tahun ini, kita sasarkan 1,500 pekerja hijrahan, dan Alhamdulillah, kita berjaya melakukannya untuk 2,000 pekerja hijrahan dengan sokongan yang kita terima daripada masyarakat," tambahnya.

ACARA IFTAR HIMPUNKAN 60 SUKARELAWAN BERBILANG KAUM DAN AGAMA

Related article image
Para sukarelawan dari pelbagai latar belakang berganding bahu dalam persiapan untuk 'Iftar with Migrant Brothers'. (Gambar: IMYouth)

Menjayakan acara iftar dalam skala yang lebih besar bukanlah tugas yang mudah dan penuh dengan cabaran.

Untuk memastikan kelancaran acara, IMYouth menghimpunkan sekitar 60 sukarelawan dari pelbagai pertubuhan serta rakan masyarakat berbilang kaum dan agama.

"Cabaran terbesar ialah logistik dan koordinasi. Kita mempunyai banyak pihak berkepentingan yang datang bersama untuk memastikan acara ini berjaya. Jadi menyelaraskan mereka bersama dan mendapatkan barang-barang yang diperlukan sama ada bahan menu atau lokasi, logistik dan sukarelawan sendiri untuk memastikan mereka hadir dan menyumbang kepada acara ini, saya rasa ini cabaran terbesarnya," ujar Encik Ashraf.

Acara ini turut diserikan dengan kehadiran Timbalan Mufti, Ustaz Dr Mohammad Hannan Hassan.

Related article image
Timbalan Mufti, Ustaz Dr Mohammad Hannan Hassan. (Gambar: BERITA Mediacorp)

Selain menghargai sumbangan pekerja hijrahan kepada Singapura, beliau juga menyanjung usaha belia Muslim Singapura yang telah merealisasikan acara ini.

"Saya rasa bahawa Ramadan adalah peluang terbaik untuk kita melatih sifat rahmah dan sifat peduli kepada orang lain. Dalam bulan ini, demikian saya berharap bahawa Ramadan ini akan menjadi pencetus perubahan ini, Insya-Allah," kata Ustaz Dr Hannan kepada BERITA Mediacorp.

PEKERJA HIJRAHAN SUDAH BERI SUMBANGAN BESAR KEPADA SINGAPURA

Related article image
Para pekerja hijrahan di acara 'Iftar with Migrant Brothers'. (Gambar: BERITA Mediacorp)

Ustaz Dr Hannan turut mengajak masyarakat untuk terus mendampingi dan menyokong para pekerja hijrahan, yang telah banyak menyumbang kepada Singapura.

"Ayuh kita jadi hos yang baik kepada teman-teman kita, para pekerja hijrahan. Mereka telah memberi sumbangan yang besar kepada masyarakat Singapura, kepada negara kita dan juga kehidupan beragama kita. Sebagai hos terbaik, kita harus membantu mereka untuk membuat mereka rasa bahawa ini adalah rumah mereka. Inilah tempat mereka dan kita mengalu-alukan sumbangan dan kehadiran mereka bersama kita pada hari ini," ujar beliau.

Beliau turut menekankan kepentingan peranan masyarakat dalam memastikan pekerja hijrahan merasa diterima dan dihargai.

"Alhamdulillah, kita lihat mereka bersama kita, anak-anak kita membantu mereka untuk merasakan bahawa ini adalah rumah mereka dan Insya-Allah di masjid-masjid atau di mana-mana juga, mereka adalah sebahagian daripada kita, dan kita adalah sebahagian daripada mereka," tambahnya.

PEKERJA HIJRAHAN GEMBIRA DAPAT BUKA PUASA BERSAMA-SAMA

Related article image
Pekerja hijrahan, Encik Yousub Md Abu. (Gambar: BERITA Mediacorp)

Usaha itu disambut baik dan dihargai oleh para pekerja hijrahan, yang hidup berjauhan daripada keluarga mereka.

"Hari ini, saya gembira. Semua kawan-kawan saya datang bersama untuk iftar bersama. Jadi saya sangat, sangat gembira," kongsi Encik Yousub Md Abu, salah seorang pekerja hijrahan yang hadir.

Related article image
Pekerja hijrahan, Encik Ullah Ata. (Gambar: BERITA Mediacorp)

Bagi Encik Ullah Ata, suasana kebersamaan yang terjalin dalam acara ini begitu bermakna.

"Semua di sana adalah keluarga saya. Jadi dengan iftar ini, kita semua dapat bersama untuk beriftar bersama," ujarnya.

Acara iftar itu diakhiri dengan solat Maghrib berjemaah yang dipimpin oleh Ustaz Dr Hannan.

Sumber : BERITA Mediacorp/nj
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita