Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

2,000 pasangan Islam SG manfaatkan program dan perkhidmatan Projek ARIF Yayasan Temasek (TF)

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Sejak dimulakan pada 2020, lebih daripada 3,200 pasangan telah dinikahkan oleh Kadi dan Naib Kadi terlatih di bawah Projek ARIF Yayasan Temasek (TF).

Daripada jumlah tersebut, sekitar 2,000 pasangan telah meraih pelbagai manfaat melalui program dan perkhidmatan yang ditawarkan oleh Projek ARIF-TF.

Antara perkhidmatan yang disediakan termasuk klinik laktasi dan ceramah pendidikan awam yang membincangkan topik penting seperti perancangan keluarga, pelaburan untuk masa depan, dan persediaan kehamilan.

'

Projek ARIF-TF membantu pasangan Melayu/Islam membuat persiapan menyeluruh, bermula dari sebelum mendirikan rumah tangga hingga bersedia menimang cahaya mata dan memperkukuh perkahwinan.

Inisiatif itu merupakan usahasama antara Yayasan Temasek, Hospital Wanita dan Kanak-Kanak (KKH), Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS), dan AMP Singapura.

Sebagai sebahagian daripada Program Bersamamu, ia juga merupakan inisiatif di bawah M³ yang menyokong perkahwinan, keibubapaan, dan pembangunan awal kanak-kanak.

Perkembangan itu dikongsi Menteri Negara Pembangunan Negara merangkap Ehwal Dalam Negeri, Dr Faishal Ibrahim di satu acara bagi menyambut perkembangan Projek ARIF-TF di Hotel Furama Riverfront pada Ahad (22 Sep).

2,000 PASANGAN RAIH MANFAAT PROJEK ARIF-TF; KINI ADA 23 KADI DAN NAIB KADI TERLATIH

Dalam ucapannya, Dr Faishal juga menggariskan peranan yang dimainkan oleh masjid-masjid di Singapura yang turut mengambil bahagian dalam Projek ARIF-TF.

"Sebanyak 18 masjid di seluruh negara telah ditetapkan sebagai masjid ARIF, dengan Pegawai Agama Masjid yang merupakan Naib Kadi, serta kakitangan dan program yang memberi penekanan lebih kepada keluarga dan keibubapaan. Dua daripada masjid tersebut juga berfungsi sebagai Pusat Sumber ARIF, di mana mereka dapat memberikan penjagaan peribadi dalam bentuk nasihat perubatan untuk ibu dan anak-anak di persekitaran masjid. Terima kasih kepada semua yang telah menyertai dan menyumbang untuk pasangan-pasangan kita; saya menghargai usaha keras yang telah dilakukan," kata Dr Faishal.

'

Pelbagai agensi telah bergabung untuk memberikan bantuan dan kepakaran untuk projek tersebut.

"Sepanjang empat tahun lalu, Projek ARIF-TF telah melibatkan lebih banyak doktor dan pekerja sosial perubatan. Kini, kami juga mempunyai 24 Kadi dan Naib Kadi yang terlatih dalam Projek ARIF-TF. Kadi-kadi ini menjadi sumber rujukan agama bagi pasangan-pasangan, dan mereka juga dapat menilai jika pasangan memerlukan sokongan tambahan untuk perjalanan sebelum hamil, semasa hamil, dan selepas melahirkan anak," kata beliau lagi.

PENYELIDIKAN PROJEK ARIF TF TINGKATKAN KESIHATAN IBU DAN ANAK

Dr Faisal turut berkongsi tentang satu tinjauan yang dijalankan baru-baru ini yang melibatkan 106 ibu.

Tujuan penyelidikan itu adalah untuk menilai sama ada sokongan awal kepada pasangan pengantin baru melalui penglibatan langsung dan pemantauan dapat meningkatkan pengetahuan mengenai literasi kesihatan ibu dan perkembangan anak dalam 1,000 hari pertama kehidupan.

Ini termasuk menilai keberkesanan Projek ARIF-TF dalam meningkatkan hasil kesihatan ibu dan anak.

Hasil penyelidikan mendapati bahawa semua 67 bayi yang dilahirkan dalam dua tahun lalu sedang berkembang dengan baik dan telah mencapai tonggak perkembangan serta mendapatkan vaksinasi yang diperlukan.

'

Penemuan awal menunjukkan bahawa pasangan merasa lebih yakin setelah mereka menyertai ARIF, berkat sistem sokongan yang disediakan.

Mereka juga lebih yakin untuk menjadi ibu bapa yang lebih baik kepada bayi mereka.

"Projek ARIF-TF memberikan sumber-sumber utama dari segi cara hendak menjaga kehamilan itu, menyediakan diri untuk bersalin dan juga apabila selepas bersalin. Apabila mereka menjadi ibu bapa mereka akan lebih mudah untuk menangani apa apa masalah dan menerusi Projek ARIF-TF pun, para naib kadi, pekerja sosial dan juga para doktor dan jururawat akan dapat memberikan lebih perhatian," kata Ketua dan Konsultan Kanan, Jabatan Ginekologi dan Obstetrik di KKH, Profesor Madya (AP) Suzanna Sulaiman.

KADI DAN NAIB KADI MAINKAN PERANAN PENTING DALAM PROJEK ARIF TF

Dua Naib Kadi, Ustaz Ahmad Khushairi Abidin dan Ustaz Mohamed Tajuddin Noor, yang berpusat di AMP Singapura, diberikan peluang untuk mengasah kemahiran kaunseling dan klinikal mereka dengan sokongan daripada AMP.

Di bawah bimbingan kakitangan klinikal yang terlatih dan berpengalaman, mereka dapat mempraktikkan kemahiran tersebut secara langsung.

'

Ustaz Ahmad berkata: "Saya dapat menguatkan lagi ilmu dalam kaunseling sebab di AMP, juga ada para kaunselor lain dalam membimbing kita sama ada kita melakukan kaunseling dengan ilmu dan teknik yang betul. Pendekatan saya kepada para pasangan lebih membantu apabila lebih diasah lagi teknik-teknik saya, dengan adanya latihan tambahan supaya saya dapat kendalikan proses kaunseling dan mendekati pasangan dengan lebih baik."

Beliau juga berpendapat bahawa Projek ARIF-TF memainkan peranan penting dalam mengukuhkan institusi keluarga.

Menurut Ustaz Ahmad, setiap anggota dalam pasukan Projek ARIF-TF sentiasa memantau setiap pasangan dan berusaha untuk membantu menyelesaikan masalah yang timbul.

"Contohnya, ada pasangan yang tidak boleh mendapatkan anak, saya boleh sahaja mengesyorkan untuk menghubungi doktor. Tetapi apabila saya sendiri yang mengikuti mereka berjumpa, mereka lihat kita sebagai keluarga yang ingin melihat kebaikan untuk mereka."

"Ia boleh memberi kesan yang negatif kalau sekiranya pasangan ini tidak memahami masalah mereka dengan secara holistik, tidak mendapat sokongan yang memenuhi keperluan mereka, atau tidak ada orang yang membantu mereka di waktu yang memerlukan. Lantas, Projek ARIF-TF dapat bukan sahaja menghasilkan anak-anak yang sihat tetapi juga keluarga yang lebih harmoni," tambah Ustaz Ahmad.

PASANGAN IBU BAPA MUDA TIMBA PELBAGAI PENGETAHUAN, TERIMA KHIDMAT SOKONGAN MENERUSI PROJEK ARIF

Antara pasangan yang telah meraih manfaat daripada Projek ARIF-TF ialah Encik Muhammad Amirul Shah Imran dan isterinya, Nur Amalina Anuar.

Pasangan yang mempunyai seorang anak lelaki itu menyertai Projek ARIF-TF sekitar setahun lalu setelah diperkenalkan kepada program tersebut oleh Ustaz Ahmad.

'
Cik Amalina, 28 tahun berkata: "Pengetahuan tentang keibubapaan, kami ibu bapa baharu, banyak yang kita tidak tahu. Kalau ada pun mungkin ia adalah pengetahuan yang dikongsi ibu bapa, adanya pertemuan kesihatan, kita dapat tahu daripada individu-individu yang lebih pakar."

"Kami juga dapat mesej para pekerja sosial, apa-apa tentang perjalanan keibuan saya. Beliau akan kongsikan soalan-soalan saya ke sumber yang betul seperti Ustaz atau doktor," tambah beliau lagi.

Encik Amirul menyatakan bahawa mereka telah menerima pelbagai nasihat mengenai cara menjaga hubungan antara suami dan isteri.

"Ia membantu kita dari segi komunikasi. Hubungan antara satu sama lain, bagaimana untuk memperbaiki komunikasi. Kadang-kadang apabila kita sibuk dengan kehidupan, kita lupa yang kita ada pasangan yang juga ada matlamat mereka tersendiri. Jadi menerusi program-program, kita diingatkan tentang ini juga," kata Encik Amirul kepada wartawan Nurhelmy Hakim.

Encik Amirul juga menerangkan bahawa beliau banyak menimba pengalaman menerusi program-program fizikal untuk kedua-dua golongan ibu dan bapa.

Beliau berkata: "Baru-baru ini juga ada program 'Men on the Move' di mana golongan bapa akan berkumpul dan lakukan kegiatan bersama. Yang terkini saya sertai acara mendaki di Mt Faber. Ustaz lain pun sertai dan mereka kongsi pengalaman sebagai bapa dan ketua keluarga. Dari situ saya dapat pelajari lebih."

"Saya dapat jumpa ibu-ibu yang lain menerusi acara-acara fizikal. Dengan adanya golongan ibu yang lain juga membantu dalam perjalanan saya sebagai ibu, dan kami boleh kongsi masalah kepada satu sama lain," tambah Cik Amalina.

Pasangan tersebut merasakan bahawa Projek ARIF-TF telah meningkatkan keyakinan mereka, kerana adanya sumber yang dapat membantu mereka jika menghadapi sebarang masalah.

Sumber : BERITA Mediacorp/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan