Skip to main content

Singapura

2,000 jemaah dirikan solat Jumaat terakhir di lokasi sementara Masjid Darul Makmur

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Seawal jam 11.30 pagi lagi, para jemaah sudah mula memenuhi ruang solat di lokasi sementara Masjid Darul Makmur pada Jumaat (6 Jun).

Keadaan sesak dengan sekitar 2,000 jemaah yang hadir bagi sesi solat Jumaat terakhir yang diadakan di sini.

Ini dengan pembukaan semula Masjid Darul Makmur pada pagi Aidiladha esok (7 Jun) setelah kerja-kerja peningkatan selesai dijalankan.

Namun, pengumuman itu dilakukan hanya 3 hari sebelum Hari Raya Haji.
Pengerusi Eksekutif Masjid Darul Makmur, Mohd Fairuz Abdul Manaf menjelaskan bahawa pihak masjid tidak dapat mengumumkan hal itu lebih awal kerana perlu mendapatkan Permit Pendudukan Sementara (TOP) dahulu. (Gambar: Izwan Ohtman)
Pengerusi Eksekutif Masjid Darul Makmur, Mohd Fairuz Abdul Manaf menjelaskan, "Kami tidak dapat mengumumkan dengan lebih awal kerana kami menunggu kelulusan permit TOP (Permit Pendudukan Sementara) daripada pihak berwajib. Kami juga ingin mengucapkan pihak-pihak berkuasa, pihak MUIS yang telah memberi kerjasama yang telah membolehkan masjid kita dapat dibuka pada solat Hari Raya Aidiladha."

Secara kebetulan, masjid itu juga menurut Encik Fairuz, mula-mula dibuka kepada umum pada 1987 bagi solat Aidiladha juga.

Ia kemudian ditutup pada April 2023 bagi kerja-kerja naik taraf besar-besaran.
 
Bekas tapak Sekolah Menengah Northview digunakan sebagai lokasi sementara Masjid Darul Makmur sejak Mei 2023 sehingga 7 Jun 2025. (Gambar: Izwan Ohtman)
Untuk memenuhi keperluan keagamaan penduduk di Yishun, bekas tapak Sekolah Menengah Northview digunakan sebagai lokasi sementara sejak Mei 2023 sehingga esok (7 Jun).

KESESAKAN DIJANGKAKAN DI MASJID, TETAP ADAKAN DI LOKASI SEMENTARA

Meskipun Masjid Darul Makmur akan dibuka semula dan mula menerima jemaah pada pagi Aidiladha esok, pihak pengurusan masjid tetap menganjurkan solat Aidiladha di lokasi sementara ini buat kali terakhirnya untuk memenuhi keperluan para jemaah.
 
Lokasi semnetara ini akan ditutup selepas sesi kedua solat Aidiadha pada 7 Jun. (Gambar: Izwan Ohtman)
Kesesakan dijangkakan dengan ramai yang mahu menunaikan solat di masjid tersebut.

Oleh itu, dua sesi solat akan diadakan di lokasi sementara ini pada 7.20 pagi dan 8.15 pagi esok.

Sementara itu, para penduduk juga teruja dengan pembukaan semula Masjid Darul Makmur.
Anggota Parlimen GRC Nee Soon, Dr Syed Harun Alhabsyi berkata para penduduk ghairah dan gembira atas pembukaan pembukaan semula Masjid Darul Makmur. (Gambar: Izwan Ohtman)
"Penduduk Nee Soon amat ghairah dan gembira atas pengumuman pembukaan Masjid Darul Makmur di tempat asal kerana pengubahsuaian masjid sudahpun berlaku sekadar lebih 2 tahun dan sudah kita bertempat, solat Jumaat, Hari Raya di sini sepanjang tempoh itu. Penduduk amat berterima kasih atas pertolongan pemerintah untuk melunaskan, terutama sekali agensi seperti SLA dan MUIS untuk mengadakan sementara ini," kata Anggota Parlimen GRC Nee Soon, Dr Syed Harun Alhabsyi yang turut bersama para jemaah di lokasi sementara itu.

Sesi pertama solat Aidiladha di Masjid Darul Makmur pada 7 Jun akan dipimpin oleh Mufti Negara, Dr Nazirudin Mohd Nasir dan turut disertai oleh Pemangku Menteri bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Dr Faishal Ibrahim.

Sehingga 4,600 ruang solat akan disediakan.
Sumber : BERITA Mediacorp/iz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita