200 warga emas kongsi kisah bagi projek Taman Tugu Pengasas, beri penghormatan kepada rakyat pertama SG
Pemangku Menteri Kebudayaan, Masyarakat dan Belia David Neo berucap semasa acara "Project Citizens - The First Million" yang dianjurkan oleh Taman Tugu Pengasas, di Perpustakaan Daerah Woodlands pada 18 Jun, 2025. (Gambar: CNA/Wallace Woon)
- Sebuah projek Taman Tugu Pengasas yang memberi penghormatan kepada rakyat pertama Singapura kini sudah mengumpulkan kisah-kisah pada tahun-tahun awal negara ini daripada lebih 200 warga emas.
- Dilancarkan pada April tahun ini, 'Projek Warganegara – Sejuta yang Terawal' akan berlangsung sehingga Mac 2026, untuk memperingati tahun ke-60 kemerdekaan Singapura.
- Kempen yang sedang berlangsung ini memberi penghormatan kepada generasi pengasas dengan mengumpulkan cerita-cerita yang menggambarkan nilai-nilai dipegang pada tahun-tahun awal negara ini, menurut Taman Tugu Pengasas.
- Bermula Oktober tahun ini, pameran 'Bukan Sekadar Penonton: Pembentukan Singapura yang Berbilang Budaya' di Galeri Nasional akan meneroka kerencaman budaya Singapura.
Kisah-kisah ini dipamerkan dalam pameran bergerak - dan juga akan dipaparkan dalam pameran khas di Galeri Nasional bermula Oktober - sebagai sebahagian daripada usaha untuk merakam tahun-tahun awal pembinaan negara sedang Singapura mencapai usia 60 tahun.
Dilancarkan pada April tahun ini, 'Projek Warganegara – Sejuta yang Terawal' akan berlangsung sehingga Mac 2026, untuk memperingati tahun ke-60 kemerdekaan Singapura.
Ia adalah sebahagian daripada pelibatan berterusan Taman Tugu Pengasas dengan orang ramai untuk membentuk kandungannya menjelang pembukaannya di Bay East Garden pada akhir 2028.
Taman tugu baharu itu akan meliputi pengalaman galeri dan taman bersepadu, dan dianggarkan menelan belanja S$335 juta untuk dibangunkan.
Kempen yang sedang berlangsung ini memberi penghormatan kepada generasi pengasas dengan mengumpulkan cerita-cerita yang menggambarkan nilai-nilai dipegang pada tahun-tahun awal negara ini, menurut Taman Tugu Pengasas.
Berucap di pameran 'Projek Warganegara' di Perpustakaan Daerah Woodlands pada Rabu (18 Jun), Pemangku Menteri Kebudayaan, Masyarakat dan Belia David Neo menyifatkan SG60 sebagai "peluang untuk merenung nilai-nilai yang membawa kita ke sini dan menegaskan semula komitmen kita untuk terus membina Singapura yang lebih baik".
"Ada banyak yang boleh dipelajari daripada generasi pengasas kita, terutamanya nilai-nilai mereka seperti ketahanan, kerja keras dan tekad," katanya.
"Inilah sebabnya kami memulakan Projek Warganegara, untuk merakam cerita-cerita generasi pengasas kita. Cerita-cerita yang menghidupkan nilai-nilai mereka yang telah membentuk Singapura, dan keberanian serta tekad mereka untuk membina negara baharu."
Penolong Kurator Taman Tugu Pengasas, Cik Sarina Anwar berkata kepada BERITA Mediacorp: "Objektif utama Projek Warganegara adalah untuk mengiktiraf sumbangan generasi asas dalam pembangunan Singapura pada tahun-tahun awal kemerdekaan.
"Kami berharap untuk mengumpul kisah-kisah dan pengalaman generasi pengasas dan mempamerkan kisah-kisah ini di dalam Taman Tugu Pengasas apabila ia dibuka pada tahun 2028.
"Kami juga berharap bahawa Projek Warganegara dapat mendorong generasi muda untuk merenungkan erti kewarganegaraan Singapura serta sumbangan peribadi mereka kepada Singapura sebagai warganegara.".
GENERASI PENGASAS
Dalam ucapannya, Encik Neo juga menyorot pengalaman dua rakyat Singapura yang menyaksikan tahun-tahun awal negara ini.
Encik Dileep Nair, 75 tahun, sedang menghadiri majlis perkahwinan ibu saudaranya di Singapura apabila pemisahan Singapura-Malaysia diumumkan.
"Beliau ingat perasaannya bercampur antara bangga dan bimbang, kerana kemerdekaan kini di tangan Singapura," kata Encik Neo.
Walaupun ramai rakan sekerja bapanya meninggalkan Singapura untuk ke Britain, ibu bapa Encik Nair memilih untuk terus berada di sini kerana rakan-rakan dan keluarga mereka berada di negara ini.
Encik Nair mempunyai rakan-rakan semasa zaman kanak-kanak dari pelbagai kaum, dan mengingati bagaimana rakan-rakan Cinanya akan mengalu-alukan beliau ke rumah mereka untuk makan malam bersama semasa Tahun Baharu Cina.
"Persahabatan erat ini kekal sehingga hari ini," kata Encik Neo.
Seorang lagi warga emas yang disebut oleh Encik Neo ialah Mark Wong Kim Yoke, 78 tahun, yang melalui rusuhan kaum pada 1964.
"Beliau dengan jelas mengingati satu kejadian selepas sekolah di mana beliau bimbang tentang nyawanya, dan beliau terpaksa bersembunyi daripada perusuh semata-mata untuk pulang ke rumah dengan selamat," kata Encik Neo.
Encik Wong kini merupakan sukarelawan aktif dalam pertubuhan akar umbi dan masyarakat, menganjurkan inisiatif untuk menyatukan masyarakat, seperti perhimpunan buka puasa semasa Ramadan, kata Encik Neo.
KEMPEN 3 BAHAGIAN
Kempen 'Project Citizens' yang berlangsung selama setahun terdiri daripada tiga bahagian: program pelibatan warga emas, pameran sementara di seluruh pulau dan pameran bertajuk 'Not Mere Spectators: The Makings of Multicultural Singapore' atau 'Bukan Sekadar Penonton: Pembentukan Singapura yang Berbilang Budaya'.
Dalam program yang turut melibatkan warga emas, sukarelawan membantu warga emas menceritakan dan merakam kisah mereka melalui aktiviti berpandu dan perbualan antara generasi.
Program ini dijalankan di pelbagai lokasi di Singapura, dengan kerjasama pertubuhan seperti Agensi Penjagaan Bersepadu (AIC), Persatuan Rakyat (PA), Lembaga Perpustakaan Negara (NLB) dan rakan kongsi korporat dan masyarakat.
Antara warga emas yang mengambil bahagian dalam 'Senior Engagement Programme' ialah Cik Juminah Mohamad Nor, 78 tahun.
Menurutnya, program tersebut bukan sahaja memberikannya peluang untuk bersosial dengan warga emas yang lain tetapi juga lebih mengenal adat dan budaya bangsa-bangsa lain.
"Saya suka sebab bercampur dengan kawan-kawan dalam semua peringkat umur, jadi kita belajar dalam bahasa mereka atau kita. Kita sama-sama hormat menghormati sesama kawan.
"Kita sebagai orang Singapura harus tahu apa adat mereka, bersama-sama menjayakan keharmonian kaum kita sendiri. ia amat penting untuk identiti kebangsaan kita," ujar Cik Juminah.
Dari April tahun ini hingga Mac tahun depan, pameran Projek Warganegara juga akan diadakan di lebih 20 lokasi, seperti hab masyarakat dan perpustakaan.
Pengunjung juga boleh merasai pengalaman dan melalui perjalanan generasi pengasas dalam menjadi rakyat Singapura.
Pameran ini dilancarkan di Perpustakaan Daerah Tampines dan Perpustakaan Awam Clementi, dan sejak itu telahpun berpindah ke Perpustakaan Daerah Woodlands, Perpustakaan Awam Bedok dan Festival Keluarga Nasional yang diadakan di Singapore Expo.
Bermula Oktober tahun ini, pameran 'Bukan Sekadar Penonton: Pembentukan Singapura yang Berbilang Budaya' di Galeri Nasional akan meneroka kerencaman budaya Singapura.
Ini termasuk melihat bagaimana kerencaman budaya terbentuk pada tahun 1950-an hingga 1970-an, bagaimana ia kekal penting untuk perpaduan dan kemajuan Singapura, dan bagaimana rakyat Singapura boleh memainkan peranan aktif dalam pembentukannya.
Ia akan menjadi program rintis kedua oleh Taman Tugu Pengasas untuk menguji kandungan dan pendekatan kisah-kisah yang dikongsi di galeri.
"Kita bukan sekadar pemerhati, tetapi peserta aktif yang membentuk kerencaman budaya yang unik di Singapura, di mana semua orang boleh bersatu dan kita meraikan perpaduan dalam kepelbagaian," kata Encik Neo.
Encik Lee Tzu Yang, pengerusi bersama Jawatankuasa Taman Tugu Pengasas, berkata bahawa inisiatif 'Projek Warganegara – Sejuta yang Terawal' meneruskan perjalanan yang "menghormati generasi pengasas dan pemimpin kita sambil kita mengimbas sumbangan dan pengorbanan penting mereka".
"Kami berharap kisah mereka akan memberi inspirasi kepada generasi sekarang dan akan datang untuk komited dan meneruskan jejak langkah mereka serta menyumbang kepada kisah Singapura," katanya.
"Melalui pelibatan awam yang berterusan sejak hari pertama, kami membina Taman Tugu yang mencerminkan pengalaman dan aspirasi kita bersama, membentuk identiti bersama sambil kita membawa Singapura ke hadapan."
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.