200 peserta ambil bahagian dalam Siri Perbincangan Singapura Bersama sejak Jun
Rangkaian tindakan 'Singapore Together' (SG Together) atau Singapura Bersama, akan dibangunkan daripada tema yang akan dilakarkan menerusi Siri Perbincangan Singapura Bersama.

Rangkaian tindakan 'Singapore Together' (SG Together) atau Singapura Bersama, akan dibangunkan daripada tema yang akan dilakarkan menerusi Siri Perbincangan Singapura Bersama. (Gambar: MCCY)
SINGAPURA: Rangkaian tindakan 'Singapore Together' (SG Together) atau Singapura Bersama, akan dibangunkan daripada tema yang akan dilakarkan menerusi Siri Perbincangan Singapura Bersama.
Menteri di Pejabat Perdana Menteri merangkap Menteri Kedua Kewangan dan Menteri Kedua Pembangunan Negara, Indranee Rajah berkongsi usaha membangunkan rangkaian tersebut sudah bermula dan kini jawatankuasa itu sedang dalam proses untuk membangunkannya.
Cik Indranee berkata demikian dalam sesi bertemu media selepas siri 'Singapore Together Emerging Stronger Conversations' atau Perbincangan Singapura Bersama Bangkit Lebih Kukuh yang dianjurkan pada Sabtu (15 Ogos).
Siri tersebut dipengerusikan bersama oleh Menteri di Pejabat Perdana Menteri merangkap Menteri Kedua Pendidikan dan Menteri Kedua Ehwal Luar, Dr Mohamad Maliki Bin Osman.
Dihadiri oleh sekitar 80 orang, siri perbincangan tersebut mengajak masyarakat untuk berkongsi pengalaman dan idea mereka dalam menjalani kehidupan seharian mereka dalam mengharungi pandemik COVID-19.
Turut dibincangkan adalah cara-cara bagaimana isu serta masalah yang dibangkitkan dalam siri itu boleh diatasi bersama.
Menurut jawatankuasa tersebut sejauh ini 200 peserta sudah menyertai Siri Perbincangan Singapura Bersama yang dianjurkan dari bulan Jun lalu.
DARI PERBINCANGAN KE TINDAKAN BERSAMA
Dalam ucapan pembukaannya, Dr Maliki berkata apabila pandemik COVID-19 menimpa Singapura, masyarakat tidak hanya berdiam diri, sebaliknya ramai yang sudah tampil ke hadapan untuk membantu satu sama lain.

Dr Maliki memberi contoh beberapa usaha murni tersebut termasuk 'COVID-19 Migrant Support Coalition' atau Perikatan Sokongan Pekerja Asing COVID-19, iaitu sebuah usaha bersama masyarakat yang mengumpul dana bagi memberikan keperluan asas kepada para pekerja asing di dormitori-dormitori sewaktu tempoh pemutus rantaian jangkitan COVID-19.
“Krisis ini memberikan ruang untuk kita merenung apa yang telah kita pelajari. Bayangkan Singapura yang kita mahukan, supaya kita dapat bangkit lebih kuat dan bersemangat dan lebih teguh. Ini adalah usaha seluruh negara, yang memerlukan tenaga dan idea kolektif untuk berjaya.
“Sementara kita berusaha untuk pulih dan mengatasi COVID-19, inilah waktu yang paling sesuai untuk kita bersatu merenung dan bersama-sama merancang jalan ke hadapan. Inilah topik perbualan kita pada hari ini,” kata beliau.
Menurut Dr Maliki lagi kesemua perbincangan oleh para peserta merupakan satu aspek penting yang akan dipandang serius. Rangkaian bertindak Singapura akan dibangunkan selepas satu tema yang sama dikecapi daripada siri perbincangan itu. Ia bertujuan untuk menyatukan rakan-rakan kongsi dalam pelbagai sektor dengan mengubah idea-idea untuk menjadi huraian baru.

(Gambar fail)
Mengulas lanjut Cik Indranee berkata idea dan pandangan daripada masyarakat sedang diteliti.
“Masyarakat Singapura kaya dengan bakat orang kita sendiri. Kita kaya dengan semangat. Dan kita kaya dengan kebolehan.
“Jadi siri perbincangan ini pertama sekali bertujuan untuk mendengar apa yang orang lain katakan dan apa yang mereka mahukan, tetapi tidak hanya berhenti di situ, bagaimana kita akan menjadikannya satu tindakan. Oleh kerana itulah kita membangunkan rangkaian tindakan Singapura Bersama hasil daripada siri perbincangan tersebut,” tekan Cik Indranee.
Setakat ini Pemerintah sudah membangunkan tiga rangkaian iaitu Rangkaian Kesejahteraan Mental Belia, UPLIFT dan Rangkaian Penjagaan Masyarakat SG Cares bagi menjalin kerjasama baru berkaitan isu-isu yang dianggap penting oleh penduduk.
MASA DEPAN ANTARA KEBIMBANGAN UTAMA
Ramai peserta dalam sesi tersebut melahirkan harapan untuk masa depan yang lebih baik pasca COVID-19.
Dalam masa yang sama, mereka juga tidak menafikan keadaan eknomi yang tidak menentu sekarang ini merupakan salah satu daripada kebimbangan utama mereka.
Antara cadangan yang diutarakan ialah untuk mempermudahkan penyampaian bahasa dalam mendekati golongan yang tidak mempunyai pekerjaan agar mereka mendapatkan akses kepada pekerjaaan yang tersedia dengan mudah.

Isu-isu lain yang dibincangkan termasuk gaji lebih tinggi yang perlu diberikan kepada para pekerja barisan hadapan seperti para pekerja asing dan mereka yang bekerja dalam sektor pembersihan.
Siri perbincangan yang dianjurkan itu merupakan yang kelima dianjurkan sejauh ini. Secara kesuluruhannya terdapat 12 Siri Perbincangan Singapura Bersama yang akan dianjurkan sehingga Oktober nanti.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.