Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

200 karyawan muda bincang isu; kongsi idea majukan masyarakat Melayu/Islam

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Masyarakat Melayu/Islam telah mencapai kemajuan yang signifikan dari segi pendidikan dan pendapatan isi rumah berbanding sedekad yang lalu.

Presiden Halimah Yacob berkata demikian dalam ucapannya Persidangan Masyarakat Gemilang MENDAKI pada Sabtu (8 Jul).

Kemajuan itu, kata beliau, adalah hasil usaha sama masyarakat dan menyeru lebih ramai anak muda agar tampil menyumbang tenaga untuk membantu lebih anggota masyarakat mencapai aspirasi mereka.

Seawal 9 pagi, sekitar 200 pemimpin masyarakat, belia dan karyawan muda hadir ke Wisma Geylang Serai (WGS).

Selain membincangkan isu-isu yang dihadapi masyarakat Melayu/Islam, para peserta turut ketengahkan idea tentang tiga ciri yang perlu dibina masyarakat Melayu/Islam tempatan ke arah membina Masyarakat Gemilang.

"Kita dapat berbincang masalah-masalah masyarakat kita sekarang ini. Tiga topik yang telah kita bincangkan. Pertama ialah mengenai mandiri, mantap dan maju. Di sini memberikan mereka peluang untuk berjumpa satu sama lain berbincang dan mengetahui apakah aset-aset atau resources yang ada pada national level dan juga community kita sekarang ini," kata Datuk Bandar CDC Tenggara, Fahmi Aliman.

Sepanjang lebih tiga jam, 13 pertubuhan termasuk individu berkongsi beberapa projek dan inisiatif mereka dalam usaha membangunkan masyarakat.

Antaranya termasuk Yaa Bunayya SG, 4PM, PERTAPIS, AMP Singapura dan Majlis Belia Kebangsaan Singapura (NYC).

Antara isu yang diutarakan termasuk soal kecelikan kewangan, sokongan kesihatan mental, peluang pekerjaan dan program pementoran.

MENDAKI sudahpun mengorak langkah untuk membangunkan rangkaian lebih luas yang melibatkan pelbagai sektor seperti teknologi, perbankan dan kewangan.

"Saya pernah menjadi seorang mentor belia dalam MENDAKI pada tahun 2021 dan saya dapat melihat sendiri kesusahan belia Melayu. Sebagai contoh keluarga yang tidak mempunyai ibu atau bapa dan tidak mempunyai wang untuk ke sekolah. Sebab itulah saya janji dengan diri saya sendiri untuk kembali ke MENDAKI dalam acara seperti hari ini untuk sentiasa membantu masyarakat belia Melayu Singapura," kata seorang peserta, Nur Ameerah Mohamed Hanifah, 26 tahun, seorang lulusan Universiti Sains Sosial Singapura (SUSS) dalam bidang undang-undang.

Berkongsi pandangan serupa ialah Fawwaz Azhar, 31 tahun, seorang pereka urban dan seni bina: "Para pemuda kita di masyarakat kita ini ada aspirasi besar. Mereka ada hasrat menjadi seorang karyawan atau usahawan. Tapi mereka tidak ada keyakinan atau keberanian untuk mengejarnya kerana takutkan risiko yang tinggi. Jadi saya rasa menerusi acara sebegini mereka lebih terdedah kepada bantuan yang ada sebenarnya."

PRESIDEN HALIMAH SERU LEBIH RAMAI BELIA SERTAI RANGKAIAN KARYAWAN MENDAKI

Tetamu Terhormat Presiden Halimah Yacob memuji kemajuan besar yang dicatatkan masyarakat Melayu/Islam sejauh ini.

Sedang masyarakat Melayu/Islam bertambah maju, beliau menyeru agar lebih ramai anak muda untuk tampil sebagai relawan.

Puan Halimah berkata hampir 420 karyawan muda sudah menyertai Rangkaian Profesional MENDAKI dan beberapa lagi akan ditubuhkan tahun ini.

"Saya berbesar hati melihat ramai para belia menyahut undangan untuk menghadiri Persidangan Masyarakat Gemilang
tahun ini. Sebagai generasi pelapis, anda memainkan peranan penting dalam memacu kemajuan masyarakat kita. Saya menggalak anda agar menyumbang idea dan masa untuk menyertai atau memperkembangkan inisiatif-inisiatif seperti Rangkaian Karyawan yang telah ditubuhkan MENDAKI. Sebagai
satu masyarakat, marilah kita berganding bahu dan saling membantu, satu sama lain untuk memanfaatkan peluang-peluang yang ada demi membentuk masyarakat gemilang," kata Presiden Halimah.

Sumbangan Presiden Halimah turut disanjung menerusi sebuah montaj video dan persembahan deklamasi sajak dalam Bahasa Inggeris berjudul 'Striving to be a Servant Leader' oleh Koordinator Program di Kelab HEAL, Cik Sumaiyah Mohamed.

Ia turut diiringi dengan alunan merdu biola daripada Cik Noryn Sazali, penerima Anugerah Belia Cemerlang MENDAKI 2018.

Acara turut disertai Menteri Bertanggungjawab Ehwal Masyarakat Islam dan Pengerusi MENDAKI, Masagos Zulkifli, Menteri Negara Ehwal Dalam Negeri, Dr Muhammad Faishal Ibrahim Menteri Negara Kanan, Zaqy Mohamad, Setiausaha Parlimen Kanan, Rahayu Mahzam dan beberapa Anggota Parlimen Melayu/Islam termasuk , Encik Saktiandi Supaat, Cik Nadia Ahmad Samdin, Encik Sharael Taha dan Encik Zhulkharnain Abdul Rahim.

Persidangan itu diadakan serentak dengan pameran Raikan Ilmu@Heartlands yang berlangsung di WGS.
Sumber : BERITA Mediacorp/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan