Skip to main content

Singapura

200 jemaah dirikan solat hajat di Masjid Sultan bagi keamanan dunia, konflik Israel-Hamas

Dalam dunia yang penuh ketidakstabilan, umat Islam perlu lebih kuat berpegang kepada nilah rahmah dan keihsanan.

Anggaran Waktu Membaca:
200 jemaah dirikan solat hajat di Masjid Sultan bagi keamanan dunia, konflik Israel-Hamas
Diterbitkan : 09 Jun 2024 05:29PM Dikemas Kini : 09 Jun 2024 06:24PM

SINGAPURA: Dalam dunia yang penuh ketidakstabilan, umat Islam perlu lebih kuat berpegang kepada nilah rahmah dan keihsanan.

Demikian pesanan yang disampaikan Mufti Negara, Dr Nazirudin Mohd Nasir dalam tazkirah yang disampaikan di Masjid Sultan pada Sabtu malam (8 Jun).

Tazkirah itu disampaikan kepada 200 jemaah yang menghadiri 'Majlis Fi Rihabi Rahmah' yang bererti majlis dalam tautan rahmah.

Majlis itu dianjurkan bersama oleh Pejabat Mufti, SalamSG, PERGAS dan Masjid Sultan bagi memperkasa kehidupan beragama masyarakat Singapura dengan memupuk nilai-nilai rahmah dan keihsanan.

PARA JEMAAH DIINGATKAN TENTANG KEISTIMEWAAN BULAN ZULHIJJAH, PENTINGNYA PUNYAI NILAI RAHMAH DAN KEIHSANAN

Majlis tersebut dimulakan dengan bacaan Al-Quran oleh juara Majlis Tilawah dan Tahfiz Al-Quran 2023 kategori kanak-kanak, qari Muhammad Uwais Qarni Hezrul Iskandar, .

Para asatizah termasuk Anggota Jawatankuasa Fatwa, Fathurrahman Dawoed menyampaikan tazkirah berkenaan kelebihan bulan Zulhijjah manakala Presiden PERGAS, Muhammad Tarmizi Abdul Wahid pula menyampaikan tazkirah berkenaan doa.

Tazkirah terakhir pula disampaikan oleh Dr Nazirudin di mana beliau berkongsi tentang ketabahan masyarakat dalam menghadapi cabaran semasa dan kegenjotan dunia.

"Ia menjadi tanggungjawab kita lagi dalam suasana kehidupan kita hari ini yang penuh dengan kekecohan - mungkin kurang di Singapura yang kita rasa tetapi kita tahu apa yang berlaku bukan sahaja yang berlaku di luar tetapi ketakutan ataupun kekhuatiran kesannya ke atas kita juga mungkin berlaku," kata Dr Nazirudin.

"Kekecohan ketidakstabilan di sana sini, masalah yang berlaku manusia hidup dalam keadaan kucar-kacirnya lebih dahsyat keadaan umat manusia lebih kuat kita harus berpegang dengan rahmat yang dibawa oleh agama kita," tambah beliau lagi.

Dr Nazirudin juga menekankan bahawa umat Islam patut mencontohi akhlak yang baik dan menolak kezaliman.

"Orang yang benar-benar beriman sayangkan Rasulullah saw tidak kenal perkataan kezaliman. Ini perlu jelas. Biar tidak ada sebarang keraguan kita sebagai umat Islam tentang apa yang kita percayai dan ingin memperjuangkan iaitu keamanan dan rahmah," ujar Dr Nazirudin.

Selepas tazkirah-tazkirah disampaikan, Ustaz Tarmizi pula memimpin solat hajat bersama para jemaah bagi mendoakan kesejahteraan dan keamanan sejagat, terutama sekali bagi masyarakat yang ditindas dalam konflik Israel-Hamas.

Dr Nazirudin berkata, "Kita membawa mesej penting keamanan sebab keadaan dunia dan geopilitik hari ini, peperangan yang masih berterusan di Rafah, Gaza dan juga kekhuatiran umat Islam dan manusia secara amnya."

"Kita sentiasa mengharap agar keadaan berubah dengan segera, supaya tiada penindasan, kezaliman dan peperangan dalam dunia ini dengan cara terus berdoa kepada Allah," kata Dr Nazirudin.

Beliau juga mengharapkan agar masyarakat Melayu/Islam setempat terus menghayati nilai rahmah dan keihsanan dalam kehidupan seharian.

"Nilai-nilai ini yang selama ini kita hidupkan bersama tetapi semakin lebih ketara dalam suasana kegenjotan, kekecohan yang berlaku, agar umat Islam sentiasa dilihat sebagai umat yang membawa kebaikan dan satu hari nanti, menyebarkan kesejahteraan dan keselamatan sejagat di semua tempat," ujar Dr Nazirudin.

Majlis Fi Rihabi Rahmah itu diadakan buat kali kedua. Sebelum ini, ia diadakan di Masjid An-Nur pada Februari lalu sempena Israk Mikraj.

Sumber : BERITA Mediacorp/hk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita