Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

200 gerai Bazar Geylang Serai masih kosong; kos sewa tinggi buat sesetengah peniaga terkilan

Anggaran Waktu Membaca:
200 gerai Bazar Geylang Serai masih kosong; kos sewa tinggi buat sesetengah peniaga terkilan
Diterbitkan : 21 Mar 2023 10:51PM Dikemas Kini : 22 Mar 2023 09:08AM
SINGAPURA: Kira-kira 20 peratus gerai di Bazar Geylang Serai masih belum disewa, meskipun bazar raya yang diadakan setiap tahun itu dibuka pada 17 Mac.

Daripada 700 ruang gerai yang ditawarkan untuk disewa sempena acara tersebut, hampir 200 unit masih belum disewa.

Pihak penganjur berkata, ia disebabkan persaingan sengit daripada bazar-bazar lain di merata Singapura, selain ramai peniaga beralih ke perniagaan dari rumah (HBB) ekoran pandemik COVID-19.

Namun, para pegerai berkata kos sewa gerai di bazar itu membuat sesetengah pihak terpaksa mengundurkan diri.
GERAI KOSONG

Encik Stephen Suriyah, pengasas The Original Vadai, menarik perhatian, terdapat gerai kosong di salah satu laluan utama bazar itu.

"Saya juga agak terkejut. Ini adalah tempat-tempat yang selalunya sangat pantas ditempah, jadi anda harus menelefon penganjur untuk 'chope' tempat anda. Tetapi tahun ini, bukan itu yang berlaku, mungkin kerana kos sewa yang tinggi. (Kos sewa) tahun ini adalah salah satu daripada kos yang tertinggi yang kami perhatikan," katanya.

Gerainya sudah mengambil bahagian dalam Bazar Geylang Serai sejak 30 tahun yang lalu dan salah satu cabaran terbesar tahun ini adalah bidaan tinggi yang diperlukan untuk mendapatkan tempat.

Encik Suriyah berkata, sekitar lapan tahun yang lalu, beliau membayar antara S$8,000 hingga S$10,000 untuk ruang kedai. Hari ini, beliau mengeluarkan hampir S$18,000 untuk ruang serupa.

Sungguhpun demikian, beliau mempunyai lima gerai di bazar itu dan menaikkan harganya sebanyak 10 peratus, dengan harapan dapat meraih keuntungan.

MEMIKAT PENJUAL

Penganjur bazar tahun ini mengaitkan kadar pengambilan tempat yang rendah dengan persaingan sengit daripada sekurang-kurangnya 10 lagi bazar Ramadan lain di seluruh Singapura.

Ramai penjual juga beralih ke perniagaan dari rumah gara-gara pandemik untuk menjual produk mereka, menurut para penganjur.

Untuk mengisikan baki unit di bazar itu, pihak penganjur membenarkan perniagaan yang tidak mampu membayar sewa secara tunai untuk memberi peratusan penjualan mereka kepada penganjur setelah acara tamat kelak.

Penganjur acara Mustaffa Shah berkata: "Misalnya, untuk setiap S$10, kami mengambil S$2 atau S$3, bergantung kepada nilai ruang gerai tersebut."

Kos membangunkan bazar itu hampir mencecah S$2.5 juta tahun ini, dedah beliau.

Walaupun kosnya lebih tinggi, para pengunjung ghairah menikmati suasana bazar.
"Berbanding tahun-tahun sebelum ini, saya rasa harga naik, tetapi masih berpatutan bagi saya," kata seorang pengunjung.

Seorang lagi pengunjung memberitahu Mediacorp: "Rasanya macam baru. Pada tahun-tahun sebelum ini, tiada banyak tempat duduk. Terdapat lebih banyak gerai, tetapi tempat duduk tidak mencukupi. Jadi ramai orang duduk di tepi jalan. Jadi saya rasa ia adalah satu perkara yang lebih baik pada tahun ini."

Tempoh bazar tahun ini adalah yang terpanjang pernah diadakan, beroperasi selama 36 hari sehingga 21 April.
Sumber : CNA/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan